Mengenali Tokoh Ilmuwan Islam Terulung  

Posted by: ~princess Islam~ in

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah ialah nama yang tidak asing lagi di sisi para pendukung dan pencinta al-Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, mengingatkan sumbangannya yang begitu besar di dalam meneruskan kesinambungan usaha memelihara dan mendakwahkan al-Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada umat manusia serta berusaha gigih memeliharanya dari sebarang unsur luar yang menghakis ketulenannya.

Siapakah Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah ?

Nama penuh beliau ialah Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Ab al-Salam al-Harani, merupakan seorang Imam Mujtahid yang dilahirkan pada tahun 661H dan meninggal dunia pada tahun 728H di Damsyik. Beliau terkenal sebagai seorang yang bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu-ilmu agama sehingga akhirnya beliau telah menjadi seorang yang amat pakar di dalam bidang keilmuan seperti bidang usul, hadis, tafsir, fiqh, bahasa, syari’at, mantik, falsafah, perbandingan agama dan pelbagai lagi. Beliau juga begitu terkenal sebagai seorang ulamak Islam yang banyak berkarya sehingga mencapai beratus-ratus judul (diterangkan bahawa beliau memiliki lebih kurang 300 buah karya) dan kitab beliau yang paling terkenal adalah bertajuk Majmu’ al-Fatwa.

Pandangan tokoh-tokoh Islam ke atas Syaikhul Islam.

Setelah kita mengetahui serba sedikit mengenai latar belakang Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah, maka ada baiknya kita melihat pula apakah pandangan para imam muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih ke atas Syaikhul Islam.

· Pertama: Pujian al-Hafiz al-Zahabi rahimahullah (w.748H), seorang tokoh agung dalam Ilmu Hadis - yang juga merupakan murid Ibn Taimiyyah – menyenaraikan gurunya itu di dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz yang dikhaskan untuk para hafiz dalam hadis. Beliau memuji Ibn Taimiyyah dengan pujian yang sangat hebat juga menggelarnya dengan gelaran Syaikhul Islam, antara lain katanya:

"Ibn Taimiyyah: Seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim), al-hafiz (dalam hadis), seorang yang kritis, mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau adalah syaikhul Islam….dari lautan ilmu, dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh penyokong dan penentang." [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3); dalam edisi e-book, Hafiz Firdaus Abdullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2005), ms. 115].

· Kedua: Pujian al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani rahimahullah (w.852H) dalam kitabnya al-Durar al-Kaminah menceritakan mengenaikan fitnah yang dikenakan kepada Ibn Taimiyah, sehingga beliau menyebut:

"Ibn Taimiyyah terus dipenjara sehingga kembali ke rahmat Allah. Kepada Allah juga kembali segala urusan. Dia memerhatikan mereka yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada. Hari kematian Ibn Taimiyyah itu menjadi bukti, manusia memenuhi jalan menyambut jenazahnya, orang Islam datang dari serata pelusuk. Mereka mengambil keberkatan dengan menghadiri jenazahnya, pada hari yang ditegakkan bukti, mereka semua ingin memegang kerandanya sehingga patah kayunya …… Ibn Taimiyyah imam kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan ulama, pewaris para anbiya." Sehinggalah beliau juga menggelarnya sebagai “Syeikhul Islam”. [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3), ms. 116].

· Ketiga: Pujian al-Imam Sayuti rahimahullah (w.911H) juga menyenaraikan Ibn Taimiyyah dalam senarai para huffaz hadis (para hafiz hadis), iaitu dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz. al-Imam Sayuti yang bermazhab Syafi’i itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut:

"Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syeikhul Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini …… salah seorang tokoh terbilang …… memberi perhatian dalam bidang hadis, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadis (kecacatan tersembunyi hadis) juga fiqh hadis, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan." [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3), ms. 116-117].

· Keempat: Pujian al-Imam al-Subki rahimahullah (w.756H), iaitu seorang ahli tafsir dan ahli dalam medan debat terkemuka bermazhab Syafi'e. Beliau berkata mengenai Ibn Taimiyyah semasa menjawab surat gurunya, al-Hafiz al-Zahabi yang memarahinya di atas perkataannya terhadap Ibn Taimiyyah sebelum ini dimana dia berkata:

"Adapun apa yang tuan katakan mengenai al-Syaikh Taqiyuddin (Ibn Taimiyyah), maka hamba ini (saya) telah pun pasti ketinggian kemampuannya, limpahan dan keluasan lautan ilmunya dalam naql (al-Qur'an dan al-Sunnah) dan akal, kehebatan dan kebijaksanaan dan ijtihadnya, juga dia mencapai kesemuanya itu lebih dari yang disifatkan. Hamba ini (saya) sentiasa akan mengakuinya. Nilainnya (Ibn Taimiyyah) pada diri ini lebih besar dan mulia dari segalanya. Dengan apa yang telah Allah himpunkan padanya dari sifat zuhud, warak, kuat beragama, membela dan menegakkan agama kebenaran semata-mata kerana Allah. Dia melalui perjalanan ulamak salaf dengan sepenuhnya, sangat asing orang sepertinya pada zaman ini bahkan di mana-mana zaman pun." [Dinukil daripada buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor, 2005), ms. 123].

Demikianlah beberapa pujian dan pengiktirafan yang diberikan oleh para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terhadap Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Sungguhpun demikian pujian dan pengiktirafan yang telah diberikan oleh para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ke atas beliau rahimahullah, namun di sebalik itu semua masih ada lagi segolongan manusia yang dilihat begitu tegar di dalam memerangi dakwah Syaikhul Islam.

Oleh : Mohd Hairi bin Nonchi

Begitulah adat perjuangan, fitnah dan tohmahan menjadi tabiat dalam memperjuangkan yang haq..semoga kita mencontohi perjuangan dan mengambil iktibar dari ketokohan Syeikhul Islam, insyaAllah..

This entry was posted on 2:05 AM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments

Post a Comment