Asalkan Hatinya Baik?  

Posted by: ~princess Islam~

[ Perkongsian dari Ust Pahrol Juoi. Dipetik dari laman genta-rasa.com ]

Anak muda di hadapan saya terus mengasak saya dengan hujah-hujah logiknya. Senang melihat anak muda yang berani dan berterus-terang begitu. Hujahnya tajam dan menikam.

“Tidak semestinya wanita yang menutup aurat itu baik, “ tegasnya.

“Saya kenal beberapa orang wanita yang menutup aurat… perangai mereka ada yang lebih buruk berbanding wanita yang tidak menutup aurat,” tambahnya lagi.

Saya diam melihat dia berhujah dengan akal dan pengalaman. Namun pengalamannya agak terbatas. Berapa ramai wanita yang dikenalinya dalam usia semuda itu? Dan akalnya juga terbatas – aqal perlu dirujuk kepada naqal. Mesti memahami prinsip ilmu wahyu terlebih dahulu, kemudian barulah kita bebas menggunakan fikiran dan pengalaman tanpa terbabas.

“Sebenarnya, apa yang cuba awak sampaikan?” tanya saya lembut.

“Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat.”

“Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?” jolok saya melayan pola logiknya berfikir.

“Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak.”

“Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?” kilas saya tiba-tiba.

“Jujur, terus-terang, pemurah, lemah-lembut…”

“Itu sahaja?”

“Ya. Pada ustaz pula apa ukurannya?”

“Kita hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas. Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru dibuatnya.”

“Mengapa?”

“Kerana setiap manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Saya bimbang nilai kebaikan akan menjadi suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga seperti kebenaran… ia suatu yang objektif dan mutlak, ” akui saya terus-terang.

“Habis, untuk apa kita diberi akal? Kita harus rasional dan logik!”

Saya cuba senyum lantas berkata,” akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran mesti merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Itu kan lebih tepat… Ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas.”

“Jadi akal kita untuk apa?” desaknya lagi.

“Untuk memikirkan apa hikmah kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana melaksanakannya dalam kehidupan.”
“Ertinya akal kita terikat?”

“Akal kita bebas, tetapi dalam lingkungan syariat. Sama seperti bumi yang sedang ligat berpusing ini… tetapi tetap pada paksinya.”

“Bukankah agama ini untuk orang yang berakal?”

“Betul. Tetapi tidak semua perkara dapat dicapai oleh akal. Lebih-lebih lagi perkara-perkara yang ghaib, tidak akan terjangkau oleh akal. Syurga, Neraka, Titian Sirat, Mahsyar misalnya, wajib dipercayai dan diyakini tanpa perlu dilogik-logikkan lagi. Itulah iman.”

“Ah, jauh kita menyimpang. Bukankah tadi kita berbincang tentang wanita yang baik? Saya ulangi, wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat, betulkan?”

“Separuh betul,” jawab saya.

”Kalau dia wanita yang jujur, terus-terang, pemurah dan lemah lembut… ya dia ‘baik’ di sudut itu. Tetapi jika dia mendedahkan auratnya, dia telah melanggar perintah Allah di sudut yang lain. Dia ‘tidak baik’ di sudut berpakaian, kerana hukum menutup aurat telah termaktub dalam Al Quran.”

Anak muda di hadapan saya muram. Nampaknya dia belum berpuas hati.

“Tetapi dia jujur, amanah…”

“Orang yang baik menurut Islam ialah orang yang baik hubungannya dengan Allah dan manusia. Menutup aurat perintah Allah.”

Anak muda di hadapan saya masih tidak puas hati. Perlahan-lahan saya tusuk dengan hujah yang memujuk, “namun percayalah jika benar-benar hatinya baik, insyaAllah lambat laun dia akan menutup aurat juga.”

“Apa hujah ustaz? Pengalaman? Fikiran atau telahan?”

“Masih merujuk kepada Al Hadis.”

“Hadis yang mana?”

“Hadis riwayat Bukhari mengisahkan seorang wanita pelacur berbangsa Yahudi yang telah memberi minum seekor anjing yang kehausan. Atas sebab sifat belas kasihannya itu dia mendapat hidayah lalu menjadi wanita yang solehah.”

“Apa kaitan cerita itu dengan subjek yang kita bincangkan ini?”

“Secara tidak langsung itu menunjukkan bagaimana jika hati seseorang mempunyai sifat-sifat baik seperti kasih sayang, belas kasihan dan pemurah, sekalipun kepada anjing, itu boleh menjadi sebab Allah kurniakan hidayah untuk dia beriman seterusnya menjadi wanita solehah.”

“Maksud ustaz?”

“Jika seorang wanita itu benar-benar baik hatinya insya-Allah lambat laun dia akan menutup aurat walaupun sebelumnya tidak menutup aurat.”

“Oh, begitu. Kenapa ya?”

“Allah menilai pada hati. Jika hati itu baik, lambat laun hal-hal luaran pasti mengikutnya jadi baik.”

“Apa pula pendapat ustaz tentang wanita yang menutup aurat tetapi akhlak dan perangainya buruk?”

“Bab aurat dia telah selamat. Alhamdulillah, kewajiban menutup aurat telah dipatuhinya. Apa yang tinggal… dia perlu membaiki akhlak dan perangainya. Dia perlu terus berusaha.”

“Jika ada berpura-pura? Menutup aurat hanya untuk menunjuk-nunjuk atau sekadar tuntutan fesyen dan trend?”

“Hati manusia kita tidak tahu. Kita tidak tahu hati wanita yang menutup aurat tu jahat atau tidak, samalah seperti kita tidak tahu samada hati wanita yang tidak menutup aurat itu baik atau tidak. Soal hati hak Allah…”

“Tetapi katalah hati wanita yang menutup aurat itu benar-benar jahat…”

“Jika hatinya benar-benar jahat… lambat laun dia akan mendedahkan auratnya semula.”

“Mengapa?”

“Menutup aurat adalah pakaian wanita yang solehah. Wanita yang jahat tidak akan mampu memakai pakaian wanita solehah.”

“Patutlah saya lihat ada wanita yang dulunya memakai tudung labuh, tapi kemudiannya tudungnya semakin singkat, lama kelamaan mula memakai seluar ketat, kemudian berubah kepada memakai baju T sendat… lama-kelamaan bertudung ala kadar sahaja.”

“Perubahan luaran gambaran perubahan hati. Yang tidak menutup aurat… akhirnya perlahan-lahan meningkat untuk menutup aurat kerana hatinya beransur jadi baik. Sebaliknya, yang menutup aurat… secara beransur-ansur akan mendedahkan auratnya jika kualiti hatinya semakin merosot.”

“Siapa wanita yang paling baik?” tiba-tiba anak muda di hadapan saya bertanya sambil merenung muka saya. Serius dan tajam renungannya.

“Tentulah isteri-isteri dan anak-anak nabi Muhammad s.a.w.” jawab saya pasti.

“Bagaimana pakaian mereka?”

“Tentu sahaja mereka menutup aurat. Dan mereka juga pasti memiliki hati yang baik. ”

Kali ini dia pula terdiam. Melihatnya begitu saya terus mengasak, “kalaulah hati yang baik sahaja jadi pernilaian Allah, tentulah isteri-isteri dan anak-anak perempuan Rasulullah tidak perlu menutup aurat. Hati mereka sudah baik. Namun tidak begitu, hati yang baik bukan alasan untuk mendedahkan aurat.”

“Wanita yang baik mesti menutup aurat?”

“Ya.”

“”Wanita yang jahat mesti mendedah aurat?”

“Tidak semestinya, kerana ada wanita yang berhati baik tetapi belum menutup aurat kerana mungkin dia sedang berusaha untuk mengatasi halangan-halangan luaran dan dalamannya untuk menutup aurat.”

“Apa yang boleh kita katakan kepada wanita begitu?”

“Dia sedang berusaha menjadi wanita yang baik.”

“Bagaimana pula dengan wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangainya? Wajarkah mereka mendedahkan aurat supaya tidak hipokrit.”

“Perangai yang buruk bukan alasan mendedahkan aurat. Bagi mereka ini, tuntutan menutup aurat sudah ditegakkan, alhamdulilah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak… itu sahaja yang perlu dilaksanakan. Satu selesai, tinggal lagi satu. Namun bayangkan jika disamping perangai buruk, mereka juga turut mendedahkan aurat … Itu lebih buruk lagi. Dua perkara tak selesai, bab aurat dan bab perangai!”

“Jadi apa kita nak kata tentang wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangai ni?” Sekali lagi dia mengajukan soalan yang sama.

“Wallahua’lam. Boleh jadi mereka juga sedang berusaha mengatasi halangan dalaman dan luarannya untuk memperbaiki perangainya. Dan nauzubillah, boleh jadi juga iman mereka sedang merosot sehingga menjejaskan akhlak mereka… yang lama kelamaan jika tidak diatasi akan menyebabkan mereka kembali mendedahkan aurat!”

Dia senyum. Alhamdulillah.

“Saya tahu apa yang saya akan lakukan sekarang…”

“Kenapa? Mengapa? Punya kekasih tidak bertudung tetapi baik hatinya? Atau dikecewakan oleh wanita bertudung tetapi buruk perangainya?”

Soalan akhir itu tidak terluahkan oleh saya. Saya simpan sahaja di dalam hati. Biarlah anak muda ini belajar dari pengalamannya… insyaAllah esok apabila dia mengalaminya sendiri, dia akan ingat satu persatu apa yang didengarnya pada hari ini!

Menjana "Ahsanu 'Amala" Dalam Kehidupan  

Posted by: ~princess Islam~ in



Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Maha suci Allah yang menguasai (segala) kerajaan. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.” –QS Al-Mulk ayat 1-2-

Dalam menjelaskan firman Allah ni, Al-Fudhail bin ‘Iyadh berkata : “ Orang yang terbaik amalnya adalah yang paling ikhlas dan paling benar amalnya. Maksud ikhlas di sini ialah amal yang dilakukan hanya kerana Allah, manakala amal yang benar maksudnya amal yang mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w.”

Amal yang benar tanpa niat yang ikhlas tidak akan diterima Allah. Begitu juga sekiranya amal yang dikerjakan secara ikhlas, tetapi dibuat bukan dengan cara yang benar, tidak juga diterima. Allah hanya menerima amalan yang benar dan ikhlas.

Contoh yang paling mudah untuk dilihat ialah ibadah solat. Mari kita lihat tiga situasi ini:

1. Si A solat dengan niat yang ikhlas dan mengikut segala rukun solat dan menjaga sah batalnya solat itu sebagaimana yang diberi panduan melalui sunnah yang mulia, maka solatnya diterima Allah.

2. Si B pula solat dalam keadaan bukan berniat kerana Alah, tetapi berniat utuk menunjuk-nunjuk, menunjukkan diri baik di hadapan orang, atau mengerjkannya sebagai satu aktiviti rutin riadah, maka solatnya tidak diterima.

3 Si C pula solat kerana Allah namun tidak pula menjaga rukun-rukun dan sah solat yang betul, maka solatnya juga tidak diterima.

Sekiranya dipandang dari sudut zahir, semuanya sama sahaja tetapi yang tersirat nilaiannya sangat berbeza. Mari kita singkap kisah para Sahabat, sekiranya mereka ingin melakukan satu-satu kebaikan, mereka tidak akan membuatnya secara sambil lewa, 'acuh tak acuh’, atau ‘biasa-biasa’ tetapi mengerjakannya dengan cara yang paling baik, agar amalan mereka dipandang bukan dari segi kuantiti yang banyak tetapi ‘high quality’! Begitulah cara didikan Rasulullah kepada para sahabat degan menanamkan dalam diri para sahabat amalan yang dilakuan benar-benar menjdi luar biasa atau ‘ahsanu ‘amala’!

Amal ‘biasa-biasa’ pun boleh jadi ahsanu ‘amala

Betul ke? Ya, amalan yang biasa boleh menjadi luar biasa kerana nilai sebenar amal soleh terletak pada niat. Ingatkah anda pada kisah dua anak Nabi Adam, Habil dan Qabil, apabila diperintahkan untuk mengerjakan ibadah korban, mereka patuh, kata orang “sami’na waatha’na.” Namun apa yang berlaku? Hanya korban Habil sahaja dterima Allah kerana Habil melakukannya kerana Allah dan memilih ternakan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada Rabbul Jalil. Malang pula bagi Qabil yang tidak dterima Allah akan korbannya kerana niatnya yang tidak ikhlas dan memilih hasil ternakan yang kurang elok untuk dikobankan. Qabil menyahut perintah Allah, tetapi tidak mempersembahkannya dengan cara yang terbaik, tetapi dibuat secara ‘sambil lewa’. Maka korbannya tidak mendatangkan hasil apa-apa melainkan hanya penat lelah yang diperoleh. Rugilah bagi diri yang mempunyai nasib seperti Qabil.

Daripada kisah Habil dan Qbil, mungkin bilangan ternakan mereka sama banyak atau lebih kurang banyak sahaja, namun itu tidak dipandang Allah, Allah menerima korban hambaNya dari sudut ‘kualiti’, bukan hanya ‘kuantiti’!

Bagaimana niat boleh menjana Ahsanu ‘Amala?

  1. Niat lebih baik dari amal.

Sabda Rasulullah s.a.w. : “ Niat orang mukmin itu lebih baik daripada amal perbatannya.” {HR Thabrani dari Sahl bin saad). Imam Ghazali rahimahullah mengibaratkan niat itu seperti tiang, katanya : “ Tiang amal itu niat. Amal memerlukan niat supaya dengan niat itu, ia menjadi kebajikan. Dan niat itu sendiri adalah kebajikan walaupun amal perbuatan itu terhalang dengan sesuatu halangan.”

  1. Amal jadi besar kerana niat

Amalan yang kecil skali pun akan menjadi besar di sisi Allah jika diniatkan keraa Allah, dengan syarat amalan yang baik, bukannya amalan yang keji. Malah amalan yang ‘biasa-biasa’ akan menjadi luar biasa sekiranya niat tulus kerana Allah. Tetapi amal yang baik tanpa niat yang ikhlas walaupun pada hakikat zahirnya nampak baik, tidak akan dinilai oleh Allah. Berpahala atau tidak, diredhai atau tidak, dipandang besar atau kecil di sisi Allah adalah berdasarkan pada keikhlasan niat.

  1. Satu kebaikan, banyak pula ganjarannya

“ Boleh ke satu kebaikan membuahkan banyak ganjaran?” Ya, dengan memperbanyakkan niat yang baik-baik, akan menjadi ‘nilai tambah’ atau ‘pemangkin’ (catalyst) kpada amalan yang satu tadi ibarat satu serampang tapi banyak mata! Kata Imam Ghazali, “ Banyaknya niat yang baik membawa kepada berlipat ganda kelebihan.” Malangnya bagi seseorang yang hanya sibuk dengan nikmat dunia yang tidak ada cita-cita akhirat kerana sukar untuk meniatkan yang ‘baik-baik’ kerana mata mereka hanya dikaburi kebendaan.

  1. Allah tolong mengikut kadar niat

Sudah semestinya manusia beriwa hamba memerlukan Tuhan dalam hidupnya. Manusia yang yakin dengn ganjaran daripada Allah akan berusaha memperbaiki niat dan amalannya untuk dipersembahkan kepada Khaliqnya iaitu Allah Azzawajalla. Khalifah Umar Abdul Aziz ketika diutuskan surat dripada Salim bin Abdullah, membaca akan isinya yang berbunyi, “ Ketahuilah bahawa pertolongan Allah kepada hambaNya atas kadar niatya. Maka siapa yang sempurna niatnya, maka sempurnalah pertolongan Allah kepadanya. Dan jika kurang, nescaya berkuranglah kadarnya.” Jika amalan yang kecil pun boleh jadi besar, apatah lagi amalan yang besar, sudah pasti akan lebih besar ganjarannya. Betapa Allah Maha Pengasih terhadap hamba-hambaNya. Maka semua amalan tu akan menjadi amal taqwa yang mendekatkan seorang hamba kepada Allah. Semakin dekat dengan Allah, semakin dekatlah dia dengan rahmat dan kasih sayang Allah.


Mendapatkan ahsanu ‘amala dalam gerak kerja

Secara ringkasnya, dalam menjana ahsanu ‘amala dalam gerak kerja terutamanya gerak kerja dakwah dari pelbagai aspek kehidupan sama ada dari sudut pendidikan, ekonomi, politik, sosial, ada beberapa kriteria yang perlu dititikberatkan :

1. Memaksimumkan kelebihan atau potensi yang dimiliki
Setiap individu yang dilahirkan di atas muka bumi ini sudah pastinya memiliki kelebihan dan potensi masing-masing. Bohonglah sekiranya seseorang yang berkata, “ Saya tidak dapati apa pun keistimewaan pada diri saya.” Sekalipun banyak kekurangan yang dmiliki, pasti ada kelebihan sama ada tersurat mahupun tersirat. Seseorang mungkin hebat dari segi penyampaiannya, yang lain pula hebat dari segi penulisannya, yang lain pula hebat dari segi memberikan pandangan bernas, semuanya saling melengkapi sekiranya diadun sekali sebagaimana ‘cucur udang’ yang diadun dengan bermacam bahan untuk menjadikannya bertambah sedap! Oleh sebab itu, dalam mendapatkan kerja yang optimum, semuanya harus menggunakan sepenuhnya potensi yang ada.

2. Dibuat dengan hati yang ikhlas, lapang, dan bahagia.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Jika kebaikanmu membuatmu bahagia, dan keburukanmu membuatmu susah, maka kamu adalah Mukmin" (HR.Ahmad) Sikap berlapang dada sesama manusia dan pandangan sangat penting, tambahan pula bagi yang mengerjakan gerak kerja dakwah. Bayangkan sekiranya hati tidak ikhlas, tidak dapat menerima teguran orang lain, saling bermasam muka, bagaimana mungkin hati dapat dipujuk untuk melakukan kerja yang terbaik. Belajarlah untuk membuat sesuatu untuk ‘menghargai’, bukan hanya untuk ‘dihargai’!

3. Bersyukur dan Doa kepada Allah, Yang Maha Menguasai segala sesuatu
Setiap usaha harus disertai dengan doa dan tawakkal kepada Allah, serahkan semua urusan kepada Allah yang berkuasa mempermudah segala urusan. Setiap muslim haruslah menyedari bahawa semua kebaikan dan potensi yang ada pada diri kita adalah anugerah dan rahmat dari Allah Ta'ala dan tidak pula merasakan bahawa semua kebaikannya adalah karena dirinya dan usahanya. Manakan dapat seseorang manusia hidup dan mencapai kejayaan tanpa kudrat dari Tuhannya??


”Bagi pemimpin dalam dakwah, mereka mempunyai hak seperti bapa dalam ikatan hati, guru dalam faedah keilmuan, sebagai Syeikh dalam pendidikan kerohanian, sebagai ketua dalam memutuskan siasah umum bagi dakwah. Malahan dakwah kita menghimpunkan seluruh pengertian ini.”

-AsSyahid Imam Hassan Al-Banna-