Peranan Dakwah Muslimah  

Posted by: ~princess Islam~

Penglibatan Muslimah di dalam gerakan dakwah bukan sesuatu yang asing. Contoh yang telah dibuktikan oleh Muslimah terdahulu seperti Saydatina Khadijah binti Khuwailid sebagai manusia pertama yang menyahut seruan Iman dan Islam, Sayidatina Aisyah sebagai gedung ilmu dan pusat sumber maklumat, Ummu Ammarah Nusaibah binti Ka’ab yang bermati-matian di medan Uhud dan Sumaiyah Ali Yaasir sebagai orang yang pertama mendapat gelaran syahid-ah adalah bukti yang jelas bahawa peranan Muslimah sangat memberikan impak besar kepada sejarah Islam.

Fenomena yang mengancam pemikiran ramai manusia dalam memisahkan peranan Muslimah di dalam medan perjuangan adalah merupakan sebahagian dari karat-karat penjajahan. Akibat dari gejala ini, salah faham terhadap Islam berlaku dan Islam ditohmah sebagai satu ajaran agama yang menindas kaum wanita.

Sifat Islam sebagai Deenul Fitrah (agama fitrah) yang datang untuk menjadi panduan kepada manusia samada lelaki mahupun perempuan adalah merupakan satu bukti yang nyata bahawa tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dipikul bersama oleh Muslimin dan Muslimat.

Kebanyakan perintah-perintah yang terdapat dalam Al Quran adalah bersifat umum yang merangkumi lelaki dan perempuan, manakala Islam sama sekali tidak membezakan mereka dari segi tanggungjawab di atas muka bumi mahupun pembalasan di akhirat nanti.

Oleh itu, setiap individu Muslimah mestilah berusaha untuk memanggil ke arah pelaksanaan cita-cita Iman dan Islam tadi ke dalam reality. Keindahan, kesempurnaan Islam tidak akan terbukti jika hanya setakat teori dan cita-cita yang tidak dicernakan ke dalam waqi’ (reality). Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak manusia bersama untuk beriman inilah yang dikenali sebagai dakwah.

Di dalam konteks dakwah, di sana ada 3 marhalah (peringkat) yang mesti dilalui untuk menjamin keberkesanan usaha yang dilaksanakan. Marhalah-marhalah tersebut adalah marhalah ta’rif(pengenalan), marhalah takwin (pembentukan), marhalah tanfiz (perlaksanaan).

Kita akan cuba muzakarahkan peranan Muslimah sebagai da’ieah dalam mengisi ketiga-tiga marhalah tadi.

Marhalah Ta’rif

Yang dimaksudkan sebagai ta’rif adalah pengenalan dalam konteks penyediaan individu Muslimah yang faham, beramal dengan apa yang difahaminya dan seterusnya berjihad, istiqamah pula dalam jihadnya. Untuk mengisi tuntutan ini maka hendaklah setiap Muslimah tadi berusaha untuk :

  • Melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah Taala dengan pembentukan iman dan aqidah yang benar. Proses ini berlaku apabila Muslimah tadi bersungguh-sungguh dalam beribadat dan menjaga hubungannya dengan Allah azza wa jal melalui ketaatan seperti yang telah diwajibkan.
  • Melahirkan insan yang faham akan konsep Iman dan Islam yang menyeluruh sepertimana firman Allah Taala,“Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak-jejak syaitan”. (Al Baqarah: 208)
  • Melahirkan insan yang memiliki syakhsiah Islamiyyah (personality Muslimah) yang contoh ikutannya adalah Rasulullah S.A.W. Syakhsiah ini adalah berbentuk kamil wa mutakamil(lengkap lagi melengkapi) dan setiap pendakwah hendaklah menyedari bahawa kita sekarang sedang membawa risalah, maka setiap gerak geri kita sentiasa diperhatikan.

Pastikanlah bahawa syakhsiah kita tadi tidak akan menimbul fitnah terhadap Islam yang hendak kita serukan menerusi tarbiyyah yang kita lalui.

Marhalah Takwin

Setelah proses ta’rif, Muslimah hendaklah berpindah pula kepada marhalah takwin. Di dalam marhalah ini mad’u (mereka yang didakwahkan) hendaklah dibawa mengenali konsep amal jamaie (bergerak dalam bentuk jamaah). Islam tidak akan dapat ditegakkan oleh seorang individu atau pengasingan diri dari masyarakat. Individu tadi mesti memiliki intima’ dan iltizam (komitmen) yang menyeluruh terhadap Islam, dakwah dan harakah Islamiyyah (gerakan Islam).

Dalam peringkat ini hendaklah dibentuk sifat mas’uliyyah fardiah (tanggungjawab kendiri) yang tinggi. Hal ini kemudiannya akan disusuli sifat muraqabah (merasa bahawa Allah sentiasa memerhatikannya) yang akan membuatkan seseorang individu itu tadi cenderung untuk bersifat jujur pada diri, jujur pada Allah dan jujur pada perjuangan yang didokonginya.

Kita tidak mahu dalam marhalah ini akan timbul permasalahan furu’ (cabang) dibawa menjadi isu yang mengakibatkan kita menjadi golongan yang mutasaqitun (golongan yang gugur). Dalam marhalah ini kewujudan baitul muslim (rumah tangga Islam) adalah nucleus terpenting dalam gerakan Islam, malah menjadi satu tuntutan bagi mereka yang memahaminya.

Muslimah ini akan berperanan untuk memastikan rumahtangganya hidup dalam suasana Islam dalam semua aspek. Menjadi zaujah as solehah (isteri yang solehah), yang taat dan menjadi pendorong utama kepada perjuangan Islam suaminya.

Mereka juga turut berperanan utama untuk memastikan tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anaknya) berjalan dalam suasana yang Islamik.

Marhalah Tanfiz

Marhalah ini adalah marhalah yang terpenting yang merupakan ujian sebenar terhadap komitmen seseorang Muslimah terhadap pengisian dan kefahamannya terhadap Islam. Islam yang hanya sekadar diteorikan tidak akan mendatangkan sebarang hasil. Dalam marhalah ini, 3 unsur utama yang harus diperhatikan iaitu :

  • Al Iman al ’amiq (Iman yang mendalam)
  • Tanzim ad daqiiq (Penyusunan organisasi gerak kerja yang teratur lagi menyeluruh)
  • Al amal mutawasil (Kerja dan komitmen yang dibuat berterusan dan bukan hanya kerana masa yang tertentu, kawan atau suasana).

Dalam marhalah ini, Muslimah tidak lagi dapat menyendiri untuk membawa risalah Islam. Panduan Al Quran dengan jelas memerintahkan pejuang Islam untuk berada dalam satu saf yang tersusun rapi,“Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berjuang di jalanNya dalam satu saf seolah-olah batu-bata yang tersusun rapi…” (As Saff: 3)

Marhalah ini mengajak Muslimah untuk keluar di tengah-tengah medan dan bersama mengangkat panji-panji Islam untuk ditegakkan di tengah-tengah kejahilan ummah. Marhalah ini adalah marhalahmuwajahah (berdepan) dengan reality perjuangan yang akan mengajak kepada erti pengorbanan yang sebenarnya.

Tiada di sana sebarang perjuangan tanpa pengorbanan. Pengorbanan dalam dakwah adalah terlalu luas dan banyak bidangnya yang mengajak kita untuk mengurus, mentadbir diri kita ini dengan sebaik-baik tanzim.

Penutup

Setelah kita melihat segala tuntutan ini dengan jelas menunjukkan bahawa tanggung jawab yang ada di bahu kita adalah lebih banyak dari kemampuan yang kita miliki, maka dengan demikian Rasulullah S.A.W bersabda, “Lazimkanlah diri kamu dengan jemaah Islam dan Imam (pimpinan) mereka…” –Sahih Muslim-

Apa yang dinasihati Baginda adalah petunjuk yang jelas mengajak kita semua untuk bersatu bersama jemaah, bahawa ikrar “sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku” hanya kerana Allah akan hanya teruji kalau kita bersama dengan harakah Islamiyyah.

Perjuangan yang tidak bersifat haraki adalah perjuangan yang tidak menepati contoh yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan cita-cita Islam tidak akan tercapai kalau kita hanya menyatakan bahawa Islam itu benar, indah dan sempurna tetapi kebenaran, keindahan dan kesempurnaan itu tidak kita jihadkan dan tidak kita dakwahkan.

This entry was posted on 6:19 PM . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments

Post a Comment