Tak Mahu Hipokrit, Akhirnya Bertambah Dosa  

Posted by: ~princess Islam~ in


SOALAN

Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.

Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).

Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.

Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.

Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.

Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.

Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...

- Diera -

JAWAPAN

Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-

1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh.

Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-

Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.

Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.

Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.

Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.

Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.

Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!

Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.

Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.

Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.

Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.

Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.

Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.

Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.

Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum

Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung.

Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.

Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.

Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.

Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'

Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.

Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha

Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.

Sabda Nabi :-

خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..

Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.

Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.

Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.

Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.

Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama, saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :

Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.

Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.

Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan iaitu seksi.

Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.

Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.

4) BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH?

Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.

Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.

Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.

Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.


Dipetik dari :

www.zaharuddin.net


Mengenali Tokoh Ilmuwan Islam Terulung  

Posted by: ~princess Islam~ in

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah ialah nama yang tidak asing lagi di sisi para pendukung dan pencinta al-Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, mengingatkan sumbangannya yang begitu besar di dalam meneruskan kesinambungan usaha memelihara dan mendakwahkan al-Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada umat manusia serta berusaha gigih memeliharanya dari sebarang unsur luar yang menghakis ketulenannya.

Siapakah Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah ?

Nama penuh beliau ialah Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Ab al-Salam al-Harani, merupakan seorang Imam Mujtahid yang dilahirkan pada tahun 661H dan meninggal dunia pada tahun 728H di Damsyik. Beliau terkenal sebagai seorang yang bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu-ilmu agama sehingga akhirnya beliau telah menjadi seorang yang amat pakar di dalam bidang keilmuan seperti bidang usul, hadis, tafsir, fiqh, bahasa, syari’at, mantik, falsafah, perbandingan agama dan pelbagai lagi. Beliau juga begitu terkenal sebagai seorang ulamak Islam yang banyak berkarya sehingga mencapai beratus-ratus judul (diterangkan bahawa beliau memiliki lebih kurang 300 buah karya) dan kitab beliau yang paling terkenal adalah bertajuk Majmu’ al-Fatwa.

Pandangan tokoh-tokoh Islam ke atas Syaikhul Islam.

Setelah kita mengetahui serba sedikit mengenai latar belakang Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah, maka ada baiknya kita melihat pula apakah pandangan para imam muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih ke atas Syaikhul Islam.

· Pertama: Pujian al-Hafiz al-Zahabi rahimahullah (w.748H), seorang tokoh agung dalam Ilmu Hadis - yang juga merupakan murid Ibn Taimiyyah – menyenaraikan gurunya itu di dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz yang dikhaskan untuk para hafiz dalam hadis. Beliau memuji Ibn Taimiyyah dengan pujian yang sangat hebat juga menggelarnya dengan gelaran Syaikhul Islam, antara lain katanya:

"Ibn Taimiyyah: Seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim), al-hafiz (dalam hadis), seorang yang kritis, mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau adalah syaikhul Islam….dari lautan ilmu, dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh penyokong dan penentang." [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3); dalam edisi e-book, Hafiz Firdaus Abdullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2005), ms. 115].

· Kedua: Pujian al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani rahimahullah (w.852H) dalam kitabnya al-Durar al-Kaminah menceritakan mengenaikan fitnah yang dikenakan kepada Ibn Taimiyah, sehingga beliau menyebut:

"Ibn Taimiyyah terus dipenjara sehingga kembali ke rahmat Allah. Kepada Allah juga kembali segala urusan. Dia memerhatikan mereka yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada. Hari kematian Ibn Taimiyyah itu menjadi bukti, manusia memenuhi jalan menyambut jenazahnya, orang Islam datang dari serata pelusuk. Mereka mengambil keberkatan dengan menghadiri jenazahnya, pada hari yang ditegakkan bukti, mereka semua ingin memegang kerandanya sehingga patah kayunya …… Ibn Taimiyyah imam kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan ulama, pewaris para anbiya." Sehinggalah beliau juga menggelarnya sebagai “Syeikhul Islam”. [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3), ms. 116].

· Ketiga: Pujian al-Imam Sayuti rahimahullah (w.911H) juga menyenaraikan Ibn Taimiyyah dalam senarai para huffaz hadis (para hafiz hadis), iaitu dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz. al-Imam Sayuti yang bermazhab Syafi’i itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut:

"Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syeikhul Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini …… salah seorang tokoh terbilang …… memberi perhatian dalam bidang hadis, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadis (kecacatan tersembunyi hadis) juga fiqh hadis, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan." [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3), ms. 116-117].

· Keempat: Pujian al-Imam al-Subki rahimahullah (w.756H), iaitu seorang ahli tafsir dan ahli dalam medan debat terkemuka bermazhab Syafi'e. Beliau berkata mengenai Ibn Taimiyyah semasa menjawab surat gurunya, al-Hafiz al-Zahabi yang memarahinya di atas perkataannya terhadap Ibn Taimiyyah sebelum ini dimana dia berkata:

"Adapun apa yang tuan katakan mengenai al-Syaikh Taqiyuddin (Ibn Taimiyyah), maka hamba ini (saya) telah pun pasti ketinggian kemampuannya, limpahan dan keluasan lautan ilmunya dalam naql (al-Qur'an dan al-Sunnah) dan akal, kehebatan dan kebijaksanaan dan ijtihadnya, juga dia mencapai kesemuanya itu lebih dari yang disifatkan. Hamba ini (saya) sentiasa akan mengakuinya. Nilainnya (Ibn Taimiyyah) pada diri ini lebih besar dan mulia dari segalanya. Dengan apa yang telah Allah himpunkan padanya dari sifat zuhud, warak, kuat beragama, membela dan menegakkan agama kebenaran semata-mata kerana Allah. Dia melalui perjalanan ulamak salaf dengan sepenuhnya, sangat asing orang sepertinya pada zaman ini bahkan di mana-mana zaman pun." [Dinukil daripada buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor, 2005), ms. 123].

Demikianlah beberapa pujian dan pengiktirafan yang diberikan oleh para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terhadap Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Sungguhpun demikian pujian dan pengiktirafan yang telah diberikan oleh para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ke atas beliau rahimahullah, namun di sebalik itu semua masih ada lagi segolongan manusia yang dilihat begitu tegar di dalam memerangi dakwah Syaikhul Islam.

Oleh : Mohd Hairi bin Nonchi

Begitulah adat perjuangan, fitnah dan tohmahan menjadi tabiat dalam memperjuangkan yang haq..semoga kita mencontohi perjuangan dan mengambil iktibar dari ketokohan Syeikhul Islam, insyaAllah..

Berbanggalah Menjadi Hamba ALLAH!  

Posted by: ~princess Islam~ in

Alhamdulillah..tika ini aku masih lagi diberi kesempatan oleh Allah untuk menghirup udara segar secara percuma ini. dan tika ini aku baharu sahaja melepaskan kekusutan yang bersarang di mindaku. Ku sedar, ini semua adalah ujian dari Allah. Masakan orang beriman itu mengaku beriman sedangkan dia tidak diuji? Ku capai al-Quran di hadapanku lalu ku memerhatikan ayat ini.

Firman Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud, "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "kami telah beriman", dan mereka tidak diuji?".

Tiada siapa pun yang mampu menolak ayat ini. Menitis air mataku. Subhanallah! Ayat-ayat al-Quran seolah2 memujukku. Diteruskan lagi sehingga ayat yang ketujuh seolah menusuk kalbuku.

Firman Allah dalam al-ankabut ayat 7," Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, pasti akan Kami hapus kesalahan2nya dan mereka pasti akan Kami beri balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.."

Nah!inilah janji Allah. Wahai diri, akuilah hakikat yang tersurat, semuanya ada hikmahnya. Tika ini juga, saya terjumpa satu artikel yang amat bermanfaat untuk dikongsi bersama yang mana telah ditulis oleh Ustaz Zaharuddin ,"Berbangga Menjadi Hamba Allah.."Ya!Saya berbangga menjadi hamba ALLAH!! Selamat membaca!

BERBANGGA MENJADI HAMBA ALLAH

Saya masih ingat ketika pertama kali membaca rantaian sanad yang menghubungkan diri saya dengan kitab “Sunan Al-Tirmidzi”. Saya begitu gembira melihat nama-nama ulama yang tercantum di dalamnya sambil membayangkan kebesaran jiwa dan ketinggian ilmu mereka. Salah satu dari nama itu sangat saya kenali, iaitu Abdul Wahab bin Ahmad Al-Sya’rani.

Beliau seorang ulama Mesir yang dilahirkan pada tahun 898 H dan wafat pada tahun 973 H. Beliau sempat berjumpa dengan Imam ahli hadis di Mesir, Jalaluddin Al-Suyuthi, dan belajar dengan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Zakaria Al-Anshari, Nashiruddin Al-Laqani, Syihabuddin Al-Ramli dan lain-lain. Singkat cerita, Asy Sya’rani kemudian terkenal sebagai seorang ulama Mesir yang memiliki ramai murid. Bukan hanya itu, tokoh-tokoh besar kerajaan juga sering berkunjung ke tempatnya.

Saya teringat suatu kisah. Suatu hari Perdana Menteri Ali Pasya berkata kepadanya, “Besok aku akan menghadap sultan. Jika engkau mempunyai hajat yang hendak disampaikan kepadanya, beritahukan kami.” Apakah jawapan al-Sya’rani? Sebagai ulama yang bangga dengan kedudukannya di sisi Allah, beliau hanya tersenyum lalu berkata, “Alhamdulillah, kami tidak memerlukan apa-apa daripada sultan. Namun jika engkau mempunyai hajat yang hendak disampaikan kepada Allah, beritahukan kami.”

Mendengar itu, Ali Pasya menunduk beberapa lama. Dia lalu berkata, “Astaghfirullah. Kalian sangat bergantung kepada Allah, sementara kami sangat bergantung kepada hamba-Nya. Kalian yang lebih benar. Sebab Allah memiliki semua kerajaan di langit dan di bumi.”

Tingkatan Golongan Faqih

Kebanyakan manusia pada hari ini begitu buta mata hatinya sehingga mereka melihat kelebihan duniawi satu-satunya ukuran kemuliaan dan kebanggaan. Harta dan pangkat menentukan status sosial; semakin banyak hartanya dan semakin tinggi pangkatnya, maka semakin tinggi kedudukannya di dalam pergaulan masyarakat.

Semua orang tahu dan yakin bahawa semua kenikmatan duniawi ini tidak abadi, oleh sebab itu tidak layaklah ia menjadi ukuran kemuliaan. Sebab mengapa berbangga dengan kemuliaan yang hanya beberapa saat sahaja dan diikuti dengan kehinaan selama-lamanya? Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Pada hari kiamat nanti, akan didatangkan seseorang penduduk dunia yang paling berbahagia. Dia akan dilalukan ke dalam Neraka beberapa saat, dan ditanyakan kepadanya, “Pernahkah engkau merasakan kenikmatan walau hanya sedikit?” Ia menjawab, “Tidak pernah wahai tuhan.” Demikian hadis riwayat Muslim dari Syaddad bin Aus.

“Laluan” sesaat di neraka ternyata dapat melupakan semua kenikmatan yang dirasakan sepanjang hidupnya di dunia.

Atas dasar ini, orang yang terbuka mata hatinya tidak pernah bangga dengan kelebihan duniawi yang dimilikinya. Dan jika melihat orang lain yang memiliki kelebihan, dia tidak akan rasa kagum apalagi iri hati hendak menyamainya. Dia selalu teringat ucapan Al-Hasan Al-Basri (w. 110 H) katanya, “Jika seseorang berusaha mengalahkanmu dalam urusan dunia, maka kalahkanlah dia dalam urusan akhirat.” (Riwayat Imam Ahmad dalam kitab Al-Zuhd ).

Imam al-Sya’rani melakukan itu dengan ucapan tegas, namun masih ada sopannya kepada pejabat tertinggi kerajaan. Ketika orang ini tertipu dengan membanggakan kedudukannya di sisi manusia, al-Sya’rani menyandarkan dirinya dengan membanggakan kedudukannya di sisi Allah. “Alhamdulillah, kami tidak memerlukan apa-apa dari sultan. Namun jika engkau mempunyai hajat yang hendak disampaikan kepada Allah, beritahu kami.”

Kata-kata ini hanya lahir dari hati yang benar-benar faqih. Sebab sebagaimana makna asalnya, fiqh bererti memahami bentuk dan roh ajaran agama dengan mendalam. Abu Hamid al-Ghazali dalam Ihya berkata, “Darjat paling rendah seorang faqih (pakar fiqh) ialah dia meyakini bahawa akhirat lebih baik daripada dunia.”

Semakin mendalam pengetahuannya tentang agama, semakin hatinya menyandari kebesaran Allah s.w.t. sehingga melahirkan rasa hormat, takut dan cinta kepada-Nya. Mujahid bin Jabr (w. 101 H) berkata, “Faqih (ahli fiqah) adalah orang yang takut kepada Allah s.w.t.” Imam al-Hasan al-Basri (w. 110 H) juga berkata, “Faqih ialah orang yang zuhud terhadap dunia, selalu mengharapkan akhirat, menyedari dosa-dosanya dan sentiasa beribadah kepada Allah s.w.t.” Semua ini diriwayatkan Imam Ahmad dalam kitab Al-Zuhd.

Indahnya menjadi Hamba Allah

Semakin hatinya mengenal Allah, semakin ia bangga menjadi hamba-Nya. Sebab Allah adalah tuhan pemilik alam semesta dan seisinya. Pangkat-Nya berada jauh di atas semua pangkat. Dan menjadi hamba-Nya, apalagi diakui sebagai hamba yang berbakti, merupakan kehormatan besar bahkan kedudukan paling berpengaruh di semesta raya wujud ini.

Itu rahsianya mengapa Allah menyebut Muhammad s.a.w. sebagai hamba-Nya dalam ayat yang bercerita tentang perjalanan Isra’ dan Mi’raj. “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al- Masjidil Haram ke al-Masjidil Aqsha.” (Surah Al-Isra: 1).

Itu juga sebabnya mengapa Allah memanggil kaum mukminin kesayangan-Nya dengan sebutan hamba-hamba-Ku. “Wahai hamba-hamba-Ku, tiada kekhawatiran terhadapmu pada hari ini dan tidak pula kamu bersedih hati.” (Surah Al-Zukhruf: 68).

Pakar Tafsir terkenal dari Tunisia Syeikh M. Thahir bin ‘Asyur berkata: “Allah sering kali menyebut kaum mukmin dengan gelaran hamba yang di-mudhaf-kan kepada-Nya untuk menunjukkan kehormatan dan hampir.”

Aduhai betapa indah menjadi hamba Allah s.w.t. lalu mendengar panggilan Ilahi, “wahai hamba-Ku”. Keindahan itu melahirkan kepuasan dan kenikmatan di dalam hati melebihi kenikmatan apa pun yang ada di muka bumi ini.

Bangga Menjadi Muslim

Kenikmatan dan kebahagiaan yang dirasai seorang faqih jauh lebih tinggi daripada kenikmatan yang dirasai manusia mana pun. Ibrahim bin Adham pernah berkata: “Andai raja-raja dan putera-putera mahkota mengetahui kebahagiaan dan kenikmatan hidup kami, nescaya mereka akan berusaha merebutnya walau harus dengan pedang.”

Maka tidak mungkin seorang faqih seperti ini melihat tokoh-tokoh dunia dengan mata kagum, lalu mencari berbagai cara untuk mendekatkan diri kepadanya walau harus dengan menjual idealisme dan kesucian agamanya. Abdullah bin ‘Amr (seorang sahabat Nabi s.a.w.) berkata: “Barang siapa yang membaca al-Quran, namun ia masih merasa bahawa orang lain memiliki sesuatu yang lebih berharga daripada apa yang dimilikinya, maka ia telah menghina sesuatu yang Allah hormati dan menghormati sesuatu yang Allah hinakan.” Demikian seperti yang diriwayatkan Ibn Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd.

Sebaliknya, kita selalu menyaksikan jiwa besar para ulama yang selalu menjaga kehormatan diri dan agamanya. Bagi mereka, nikmat Islam satu-satunya kebanggaan yang patut disyukuri. Ibn Abi Syaibah di al-Musannaf dan Al-Hakim di al-Mustadrak meriwayatkan ucapan Umar bin Al-Khattab yang sangat faqih: “Allah telah memuliakan kita dengan Islam. Jika kita cuba memuliakan diri dengan selainnya, Allah akan menghinakan kita.”

Hammad bin Zaid bercerita, “Ayyub pernah bersahabat dengan Yazid bin Al-Walid. Ketika Yazid menjadi khalifah, Ayyub berdoa: Ya Allah, buatlah dia melupakan diriku.” Kisah ini dapat ditemui dalam kitab Tazkiratul Huffaz karya Al-Dzahabi. Ayyub yang dimaksud di sini ialah Ayyub bin Abi Tamimah al-Sakhtiani, seorang ulama tabiin pakar hadis dan fiqah di Basrah. Beliau salah seorang guru hadis Imam Malik; Al-Bukhari dan Muslim yang banyak sekali meriwayatkan hadis melalui salurannya.

Dalam kitab Manaqib Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn al-Jauzi meriwayatkan dari Said bin Ya’qub katanya, “Ahmad bin Hanbal pernah menulis surat kepadaku (isinya): bismillahirrahmanirrahim. Dari Ahmad untuk Ya’qub. Amma ba’du. Dunia ini penyakit, penguasa penyakit, dan ulama adalah doktornya. Jika engkau melihat seorang doktor menarik penyakit kepada dirinya, maka jauhilah ia.Wassalam.”

Jiwa Pendakwah

Setiap al-da’i ilallah (pendakwah yang mengajak manusia kembali kepada Allah) wajib bersifat faqih dan meyakini kebaikan dakwahnya. Alasannya sederhana; seorang penjual harus meyakini kelebihan barang jualannya. Jika tidak begitu, dia tidak mungkin menjadi penjual yang berjaya. Wallahu a’lam.

Finished!  

Posted by: ~princess Islam~

Travelog Seorang Daie
Karya : Abdul Rahman Mohamed


“Kisah benar liku-liku perjalanan seorang pendakwah guna mencari kekuatan sebagai bekal dalam perjuangan”.

"Aku persembahkan buku ini untuk berkongsi dengan para pembaca di kalangan kaum Muslimin dan Muslimat. Padanya aku coretkan segala pahit manis hidupku sejak kecil, alam persekolahan, menyertai kumpulan samseng sehingga aku mendapat hidayah, bertugas di masjid, difitnah kefahaman wahabi hingga terpaksa dibawa ke mahkamah, jatuh bangun sebagai peniaga dan akhirnya dapat berdiri tegun dengan inayah Allah swt."

“Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.”
Biar kita susah dahulu agar kita mendapat kesenangan di kenudian hari. Aku harapkan dengan coretan ini segala pengalamanku dijadikan perbandingan dan pengajaran. Aku mahu jelaskan kepada sekalian pembaca dan percayalah kesusahan hidup bukan hukuman, sebaliknya ia adalah ujian untuk mendapatkan yang terbaik. Firman Allah, “Sesungguhnya beserta kesusahan itu ada kesenangan“

p/s : Novel yang sangat bagus untuk sesiapa sahaja yang bergelar daie..

Syabab Musafir Kasih
Karya : Fatimah Syarha Mohd Noordin



"Syabab Musafir Kasih" mengisahkan tentang seorang kanak-kanak kecil bernama Syabab yang hidupnya seperti kanak-kanak terbiar kerana kurangnya perhatian daripada seorang ibu tunggal. Syabab anak bongsu dalam keluarganya, mempunyai sifat yang berbeza daripada adik-beradiknya yang lain. Kelincahan Syabab di kampung tempat tinggalnya kadang-kadang mengundang rasa kurang selesa penduduk kampung tersebut.

Banyak ibu bapa yang melarang anak-anak mereka bergaul dengan Syabab kerana anak kecil itu agak nakal dan sentiasa mencetuskan masalah. Seorang jiran bernama Mumtazah yang sanggup memberikan perhatian kepada Syabab seperti adik kandung sendiri. Perhatian yang diberi kadang-kadang melebihi perhatian terhadap adik sendiri sehingga mencetuskan rasa cemburu di hati seorang adik. Walau bagaimanapun, perhatian yang diberi akhirnya membesarkan Syabab dalam suasana Islam.

Syabab membesar menjadi seorang pemuda yang hebat, menjadi salah seorang pejuang Islam di kampung halamannys yang penuh dengan pemuda yang kurang faham tentang Islam. Tanggungjawab Syabab agak besar untuk membimbing pemuda kampungnya ke arah kehidupan yang lebih bermakna termasuk adik-beradiknya sendiri agar mereka tidak terus hanyut dengan kehidupan dunia yang melalaikan.

Memilih Mumtazah yang lebih tua darinya sebagai suri hidup banyak membantu dalam perjuangannya sebagai seorang mujahid. Jika ingin tahu lebih lanjut bagaimana Mumtazah boleh menjadi isterinya sedangkan gadis itu lebih tua darinya, pernah berkahwin dan mempunyai anak, dapatkan novel ini di www.telagabiru.net.my ataupun di kedai-kedai buku terkemuka di kawasan anda.

p/s : Novel yang mengisahkan kehidupan seorang remaja dalam mengharungi liku2 hidup. Sangat menarik!

Hikayat Seorang Puteri  

Posted by: ~princess Islam~ in

Tanggal 20 Disember 1990, lahirlah seorang bayi perempuan hasil perkongsian hidup Mohd Amin Majid dan Fauziah Ismail. Hingar sebuah bilik di Hospital Besar Kota Bharu dengan tangisan seorang bayi perempuan. Kelahirannya disambut dengan senyuman dan penuh kesyukuran dari ayah ibunya. Tiada apa yang mampu diucapkan oleh ibu ayahnya melainkan tahmid memuji Allah swt. Bayi comel ini merupakan cahaya mata kelima bagi kedua-dua pasangan ini. Mereka berasa bersyukur kerana dikurniakan lagi rezeki penyejuk hati mereka.

Mereka selalu mendoakan anak-anak mereka menjadi anak-anak soleh dan solehah yang akan menjadi kebanggaan umat dan menyumbang jasa kepada umat. Mereka memegang erat amanah dan tanggungjawab dari Allah untuk mendidik dan mentarbiah anak mereka sebaik mungkin. Kerana mereka percaya dengan sabda Rasulullah saw, "Anak-anak itu lahir dalam keadaan suci seperti kain putih, terpulang kepada ibu bapanya untuk mencorakkan anak mereka menjadi Yahudi, Majusi, atau Nasrani.."Sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk mencorak anak-anak mereka, sama ada mencalit dengan dakwah putih atau hitam. Ternyata mereka mengambil langkah yang tepat dan betul.

Puteri comel ini selesa berada di pangkuan ibu ayahnya yang tidak pernah jemu melayan kerenahnya. Dia dididik dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Hidupnya ceria tanpa duka dengan ditemani dua kakak dan dua abangnya yang menjadi teman sepermainannya. Puteri ini semakin membesar dengan pendidikan yang sempurna yang ditaja sepenuhnya oleh kedua ibu bapanya. Dia sangat bertuah kerana dia hidup dalam suasana tarbiah dari ibu ayahnya. Tambahan pula, dia dikurniakan empat orang lagi adik. Kehadiran adik-adiknya menambahkan lagi seri dalam hidupnya. Hidupnya terasa begitu sempurna dengan ditemani ibu, ayah, dua kakak, dua abang, dua adik perempuan, dan dua adik lelaki. Semuanya anugerah dari Allah. Namun, dalam kesenangan, Allah tetap menguji keluarganya.

Pada usianya 11 tahun, ayahnya pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya. Ternyata Allah lebih menyayangi ayahnya. Doanya tidak pernah putus mendoakan ayahnya dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beramal soleh. Dia juga tidak lupa mendoakan keluarganya tabah dan diberi kekuatan untuk meneruskan hidup seperti biasa. Tidak lupa juga dia mendoakan agar keluarganya dapat bersatu semula di akhirat kelak di syurga Allah swt(amin..). Dia yakin ini semua adalah ujian dari Allah.

Tika dan waktu ini, puteri ini menginjak dewasa. Telah disemat dalam dirinya untuk belajar bersungguh-sungguh dan membalas jasa dan pengorbanan ibunya yang tidak pernah mengeluh dalam membesarkan dia dan adik-beradiknya. Di usinya sebegini, dia tidak akan menghampakan harapan ibunya. Matlamatnya hanya satu, mendapat keredhaan Allah. Sekarang, dia sedang menuntut di sebuah Institut Pendidikan Guru di Malaysia. Cita-citanya untuk menjadi pendidik mewarisi minat ayah ibunya untuk menabur bakti dan berjasa kepada masyarakat. 4 tahun akan datang, dia bakal memegang amanah tersebut. Dia bukan sahaja ingin menjadi mu'allim yang mengajar semata-mata, namun besar tanggungjawabnya untuk menjadi murabbi pendidik ummah.

Hari ini, genaplah umurnya 19 tahun. Sudah 19 tahun dia memijak muka bumi ini dan berteduh di bawah teduhan langit Allah ini. Bila-bila masa sahaja dia akan dipanggil mengadap Tuhannya. Dia berazam untuk mencontohi para ulamak yang pendek usianya tapi berkat umurnya. Dia percaya tiada yang lebih bernilai melainkan mendapat cinta dan keredhaan Allah.

Itulah diriku.


Doakan aku sentiasa di bawah lembayung rahmat Allah dan dikurniakan umur yang berkat. Semakin menginjak umur kita, semakin hampir kita menuju ketetapan itu yakni kematian.

Kunci Kejayaan Minda  

Posted by: ~princess Islam~ in


Kunci 1
Betulkan niat dan Fokus

Kunci 2
Ikut orang yang berjaya

Kunci 3
Tiada kejayaan semanis madu tanpa pengorbanan sepahit hempedu

Kunci 4
Yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang

Kunci 5
Gagal bukan bermakna tewas

Kunci 6
Jejaki kejayaan para sahabat

Kunci 7
Tuntutlah ilmu

Kunci 8
Cuba menghasilkan karya walaupun anda tidak berbakat

Kunci 9
Persiapan untuk alam akhirat

Kunci 10
Ambil iktibar keberkatan umur ilmuwan tersohor

Kunci 11
Miliki kemuliaan dalam hidup

Kunci 12
Sabar dalam menggapai cita-cita

Kunci 13
Buang sifat malas jauh dan suka tidur jauh-jauh

Kunci 14
Matlamat memandu cita-cita

Kunci 15
Kenal pasti potensi diri anda

Kunci 16
Perdalami ilmu pengetahuan

Kunci 17
Contohi tokoh-tokoh unggul

Kunci 18
Berusahalah ke tahap optimum

Kunci 19
Tiada kemahuan tiada jalan

Kunci 20
Bertawakallah

Kunci 21
Harungi ranjau jika mahukan kejayaan

Kunci 22
Kecapi manisnya kejayaan

Kunci 23
Jangan menempa kegagalan

Kunci 24
Sedia mengkoreksi diri

Kunci 25
Jika anda pelajar, jadilah pelajar berjaya

Kunci 26
Jika anda guru, jadilah guru terbilang

Kunci 27
Jika anda ibu bapa, jadilah ibu bapa teladan

Kunci 28
Jika anda seorang penulis, jadilah penulis yang produktif

Kunci 29
Jika anda cendekiawan, jadilah cendekiawan cemerlang

Kunci 30
Jika anda seorang pendakwah, jadilah pendakwah yang ideal

Kunci 31
Jika anda seorang mufti, jadilah mufti yang berdedikasi'

Kunci 32
Jika anda seorang pengurus, jadilah pengurus berinovatif dan kreatif

Kunci 33
Jika anda seorang penasihat, jadilah penasihat yang berpengaruh


"Angin yang bertiup secara percuma daripada Tuhan kita gunakan sebagai sumber tenaga. Lautan yang luas terbentang bersedia menjadi rel laluan yang kita sendiri tentukan. Matlamatnya ialah pelabuhan kejayaan."

Seminar + Hebahan  

Posted by: ~princess Islam~ in


Assalamualaikum wbt..
Alhamdulillah, kali ini aku berkesempatan untuk mencoretkan sesuatu setelah lama membiarkan blog ini bersarang. Semalam, aku berkesempatan untuk menghadiri satu seminar pemantapan aqidah. Akan ku kongsi komentar ringkas dari pengisian yang ku timba dari seminar tersebut.

SEMINAR PEMANTAPAN AQIDAH PERINGKAT NEGERI KELANTAN

Tarikh : 10 Disember 2009 (Khamis)

Tenpat : Dewan Besar Balai Islam, Lundang



Pembentangan Kertas Kerja Pertama :

Aqidah Islam : Asas Perpaduan Ummah dan Cabaran

Dr Johari Mat -Ketua Eksekutif KIAS

KOMENTAR :

Pembentangan yang dibuat oleh Dr Johari begitu berkesan mengenai asas pegangan aqidah dalam seluruh aspek kehidupan. Perkara ini ditekankan memandangkan masalah kebejatan sosial yang berlaku pada hari ini berpunca dari aqidah yang longgar. Betapa peri pentingnya pegangan aqidah dalam kehidupan kita untuk mencapai matlamat sebenar hidup kita iaitu menggapai redhaNya. Untuk mencapai addin yang sebenar, hendaklah mempunyai pegangan aqidah yang utuh dan mempunyai sistem hidup berlandaskan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah.



Pembentangan Kertas Kerja Ke-2 :

Bahaya Ajaran Syiah Kepada Akidah, Syariah, Akhlak, Ummah & Negara

Ust Ahmad Nasim B Abdul Rauf
- Pusat Pengajian Al-Quran Darulkautsar

KOMENTAR :

Pembentangan yang dibuat oleh Ustaz Nasim membuka mindaku tentang bahaya Syi'ah kepada pegangan aqidah kita khususnya. Antara kita sedar atau tidak, ajaran Syiah mula disebar luas termasuk di Malaysia sendiri. Seminar ini memberi jalan kepadaku untuk mengenali Syiah dengan lebih teliti supaya tidak mudah terpengaruh dengan propaganda yang dimainkan oleh mereka terutama secara "taqiyyah". Pembentangan yang amat berkesan dari Ust Nasim memberiku impak yang besar dalam memperbaiki diri dan berusaha memantapkan aqidah dari semasa ke semasa. Masa begitu singkat, belum puas aku mendengar penjelasan, dan banyak lagi yang perlu dikupas. Namun, aku cukup berpuas hati dengan pembentangan kali ini.




Pembentangan Kertas Kerja Ke-3 :

Masalah Khilafiah Di Malaysia

YB. SS Dato' Mufti Negeri Kelantan

P/S : Untuk pembentangan kertas kerja yang ketiga. aku tidak dapat hadir disebabkan sedikit kekangan..

" Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama yang telah diwahyukan kepada Nuh, dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa, Isa, iaitu tegakkan agama, dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya.."

~ Mafhum surah asSyura :13 ~

"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hati kami atas agamaMu.."

---------------------------------------------------------------

::.HEBAHAN.::