OBJEKTIF PUASA & ANTI VIRUS DOSA  

Posted by: ~princess Islam~



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya :

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa ( Al-Baqarah : 183)

Ada dua perkara yang suka untuk saya terangkan di sini secara ringkas.

OBJEKTIF PUASA & ANTI VIRUS DOSA

Kalimah ‘La'alla' di dalam ayat di atas boleh diterjemah kepada maksud, ‘agar' atau ‘semoga' atau ‘mudah-mudahan'

Kalimah ini menjadi tanda bahawa apa yang selepasnya adalah objektif kepada puasa. Kalimah ini memberi makna, pelaksanaan ibadah puasa mampu membawa seseorang untuk memiliki sifat taqwa, sebuah antivirus kepada segala jenis penyakit hati dan dosa.

Di dalam dunia fizikal dan material. Tanpa anti virus, swine flu, brid flu, Aids dan pelabagai lagi virus boleh menjadi asbab kepada kematian manusia.

Tanpa antivirus taqwa, iman dan islam seseorang juga akan mati, sama ada dia seorang kanak-kanak, remaja, dewasa atau tua.

Tanpa antivirus taqwa, manusia hari ini menjadi kelam kabut serta hina tanpa pedoman, hidup sering berpura-pura.

Anak berpura-pura baik di hadapan ibu ayah,

Murid dan pelajar berpura-pura di hadapan guru dan pensyarahnya,

Ibu ayah berpura-pura baik di hadapan anak dan para ustaz,

Para ustaz dan ustazah berpura-pura baik di hadapan khalayak ramai

Isteri berpura-pura baik di hadapa suami,

Suami berpura baik di hadapan isteri

Dan berpanjanganlah senarainya. Semua akibat ketiadaan antivirus dosa, iaitu TAQWA.

Kebaikan dan ibadah menjadi bertempat dan bertempoh, tiada istiqamah serta konsisten. Keredhaan dan pujian manusia lain menjadi objektif tertinggi, menyeleweng dari objektif sebenar.

Tatkala itulah hadirnya musim pemulihan, Allah swt sediakan peluang bagi manusia yang sifatnya asyik berdosa dan berpura-pura agar kembali membetulkan punca salah, bajai akar kehidupan dengan iman, sirami ia dengan air TAQWA selaku pencegah kepada kepura-puraan dan kecintaan kepada nikmat sementara dunia serta perbuatan dosa.

ILMU KEBAL, ISTIQAMAH DAN ‘KEKUATAN'

Pernahkah kita menjadi ibu bapa yang buntu serta terfikir, apakah caranya untuk mengajar anak agar tidak menjadi baik hanya dihadapan kita? Ingin kita berikan mereka ilmu kebal iman?

Pernahkah kita inginkan suami atau isteri yang kebal dengan dugaan nafsu, syahwat dan dosa di luar sana.?

Pernahkah kita ingin diri kita, untuk sentiasa mampu menjauhkan diri dari dosa dan maksiat?

Selalukah kita berdoa dan berkata"agar diberi kekuatan oleh Allah untuk terus itu ini..jauhi itu dan ini?

Sedarilah, inilah masa untuk mencipta ilmu kebal, mendapat anti virus dosa dan meraih ‘kekuatan' yang sentiasa kita ungkap-ungkapkan dalam ucapan dan tulisan kita. Jangan terleka dan terlalai!, Musimnya sudah tiba. Bulan Ramadhan dan ibadah puasa inilah jalannya, caranya, kaedahnya dan formulanya.

Taqwa inilah yang diwasiatkan oleh Allah awal-awal lagi kepada Nabi Adam a.s

يا بنى آدم قد أنزلنا عليكم لباسًا يوارى سوآتكم وريشًا، ولباس التقوى ذلك خير

Ertinya : Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian TAQWA itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat ( Al-A'raf : 26)

ERTI TAQWA

Kalau sudah mengerti, taqwa itulah objektif, apa pula taqwa itu sendiri?

Erti taqwa dari sudut letal adalah takut atau sentiasa jauh dan berhati-hati.

Namun taqwa dalam konteks istilah khas di dalam Islam, tidak hanya terhad kepada makna takut dan menjauh, tetapi ia juga membawa maksud cinta dan mendekat.

Taqwa ini tidak berbentuk fizikal, tiada bentuk hexagon, bujur, bulat atau bersegi, tidak pula bertablet dan berkapsul. Ia adalah satu SIRAMAN KEIMANAN DAN KEYAKINAN bentuk spiritual. Tiada terlihat dek mata, hidu oleh hidung dan terdengar di telinga.

Nabi s.a.w pernah menerangkan bahawa taqwa itu tempatnya di dalam hati. Bukan hati fizikal di dalam jasad, tetapi hati nurani di dalam diri.

Imam Ibn Kathir menerangkan di dalam tafsirnya, bahawa Umar Al-khattab r.a pernah satu ketika bertanya kepada sahabat Ubay bin Ka'ab r.a tentang erti taqwa, lalu dijawabnya:[1]

أما سلكت طريقاً ذا شوك . قال: بلى. قال: فما عملت.

قال: شمرت واجتهدت.

قال: فذلك التقوى،


Ertinya : Pernahkah engkau melalui satu jalan berduri?

Jawab Umar : pernah

Ubay : Bagaimana kamu lakukan?

Umar : Aku sentiasa bersedia, peka dan berhati-hati dengan penuh usaha agar tidak terpijak duri

Ubay : itulah juga sifat taqwa ( Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/163)

Tepat sekali, itulah tanda taawa sudah tersemat di dalam diri, kesannya boleh dilihat dari perumpamaan yang diberi oleh Umar tadi. Apabila seseorang mempunyai kekuatan untuk terus berhati-hati dalam setiap tingkah laku, percakapan, tulisan, ibadah, niat, kerjaya, pelaburan, dan semua aspek, agar TIDAK MENCALAR redha dan hukum Allah swt, TIDAK mengundang murka Allah swt, tatkala itu. Antivurs dosa, iaitu TAQWA sedang berfungsi molek di dalam dirinya. Namun, tentulah kepenatan dan perlukan usaha bersungguh untuk tujuan itu?.

Tentu kerana baginda Nabi s.a.w telah menyebut bahawa lalau ke syurga adalah dengan duri-duri, sedangkan lorong ke neraka adalah dengan keseronokan dan syahwat.

Seorang lagi sahabat, iaitu Abu Darda r.a berkata :

تمام التقوى :أن يتقى الله العبد حتى يتقيه من مثقال ذرة، وحتى يترك بعض ما يرى أنه حلال ، خشية أن يكون حرامًا

Ertinya : Kesempurnaan taqwa itu adalah sentiasa seorang hamba itu sentiasa berjaga-jaga dengan Allah ( arahan dan larangannya) walau dalam hal sekecil zarah, sehingga dia akan meninggalkan sesuatu yang halal sekalipun, kerana takut jatuh di dalam yang haram.

Apa yang dikatakan oleh Abu Darda ini BERSUMBERKAN sebuah hadis nabi, yang ertinya :

لا يبلغ العبد أن يكون من المتقين حتى يدع ما لا بأس به حذرًا مما به بأس

"Tidak akan sampai seorang hamba ke darjat orang bertaqwa sehingga dia meninggalkan yang hal kecil yang mungkin tidak mengapa, kerana bimbang jatuh di dalam yang ditegah Allah' ( Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari dalam At-tarikh)

Ali Bin Abi Talib merumuskan ciri taqwa itu sebagai :

التقوى هي الخوف من الجليل والإيمان بالتنزيل والرضا بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل

Ertinya : Taqwa itu adalah :

a. TAKUT kepada (azab dan murka) Al-Jalil (Allah)

b. YAKIN teguh dengan apa yang diturunkan (seluruh inti Al-Quran)

c. REDHA dengan sedikit (nikmat dunia)

d. SEDIA menghadapi hari pemergian kematian)

Apabila semua yang disebut di atas sudah mampu diwujudkan, hidup akan menjadi lebih indah, tiada kepuraan, tiada banyak dukacita, tiada banyak kesedihan kerana dunia.


Sumber : http://www.zaharuddin.net/


B.I.G. K.U.A.K. H.U.L.U. (Siri 1)  

Posted by: ~princess Islam~

Dekat dihatiku

Hatiku kembali tersentuh
Membisik untuk pulang ke sana
Di balik pergunungan itu
Di laman kedamaian kita

Biarpun ku jauh di sini
Namun tak pernah lupakanmu
Itulah sebagai tandanya
Hiasan sanubari ini
Hanya kau yang amat ku sayang

Andai kau dengar lagu ini
Walau di mana dikau berada
Yang hidup atau yang telah tiada
Mengertilah wahai saudaraku
Dikaulah yang amat ku rindu
Yang ku sayang buat selamanya

Tapi apalah daya diriku
Tak terucap lagi di bibir
Walau air mata mengalir
Ku tabahkan demi mereka
Kerna ku tahu ku kan pulang jua

Subhanallah..Alhamdulillah..Allahu akbar!

Sayunya hati bila mendengar lagu ini. Teringat kepada keluarga angkat yang baru semalam berpisah dengan mereka, Berpisah di mata, tapi bukan di hati. Kami semua cukup seronok bila dikhabarkan kami akan ke Pengkalan Hulu di hulu negeri Perak bagi menyelesaikan komponen wajib setiap semester iaitu program Bina Insan Guru.

Program BIG yang dijalankan pada kali ini agak berlainan daripada sebelum ini kerana kali inilah 1st time saya akan menerima keluarga angkat. Suasana Kampung Kuak Hulu agak berbeza dengan kebanyakan kampong. Suasananya subur dengan nilai-nilai Islam membuatkan diriku terasa berat untuk meninggalkannya. Masjid di sana aktif dengan aktiviti dan kuliah agama, masjid penuh dengan jemaah, dan ramai dalam kalangan mereka merupakan kaki masjid. Penduduknya juga sangat ramah dan sangat memuliakan tetamu.

Di sana, saya bersama 2 sahabat saya (Nur Syazwani & Nurfarhan) telah menerima keluarga angkat dari keluarga Encik Redzuan dan Pn Hafizah. Tanpa segan silu, kami membiasakan diri untuk memanggil Abah dan Ummi memandangkan semua anak-anaknya memanggil dengan panggilan sedemikian walaupun pada anggapan kami Abah dan Ummi terlalu muda untuk panggilan tersebut. Walaupun sempat kenal selama 2 hari, saya terasa seperti sudah lama kenal. Layanan yang diberikan kepada kami sangatlah istimewa. Bertuah dapat kenal keluarga ini yang agak sporting.

Hari pertama kami ke sana, kami sudah dihidang dengan bermacam-macam makanan sehinggakan kami tersenyum sesama sendiri. Bermula dari kami sampai jam 4.30 petang hinggalah jam 6.30 petang, mulut tidak berhenti mengunyah. Durian pelbagai versi kami makan, pulut durian, donut, dan macam-macamlah lagi! Apakan daya kami untuk menolaknya.

Haa! Yang ni my favourite. Durian kod 101.

Hari kedua ke sana kami banyak menghabiskan masa bersama mereka. Pagi-pagi lagi Abah membawa kami meronda sekitar Pengkalan Hulu. Kami bertiga sebenarnya dah merancang apa yang akan kami buat untuk berkhidmat, tetapi Abah dan Ummi lagi hebat! Mereka dah merancang sebelum kami lagi. Mahu atau tidak, kami ikut dengan hati yang gembira. Setibanya di rumah, kami menolong Ummi dan Mak Teh (kakak Abah) untuk sediakan hidangan tengah hari. Kata Abah, kita nak pergi berkelah. Ingatkan berkelah di rumah, berkelah di Lata Pelangi rupanya. Apa lagi, kami ikut je lah. Habis satu family ikut, Mak Long, Pak Teh, Mak Teh, Kak Chik, dan semua anak-anak mereka. Kehadiran mereka memeriahkan lagi ‘Family Day’ kami di Lata Pelangi. Layanan mereka membuatkan kami tidak merasa kekok.

Berkhidmat serba sedikit. Sebab sekitar rumah dah bersih!

Berkelah di Lata pelangi.

Sepulangnya kami dari Lata Pelangi, kata Abah, “Ok, siap-siap la, nanti kita ke Baling..” Kami bertiga berpandangan sesama sendiri, semuanya tersenyum, mengiyakan ajakan Abah. Lagi sekali Abah berkhidmat kepada kami. Kami ke Pekan Baling yang terletak lebih kurang 30 minit dari Pengkalan Hulu. Kami di bawa berjalan-jalan sekitar pekan Baling. Pulang sahaja dari Baling, jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang, kami kembali ke SK Kuak Hulu.


Di pekan Baling

Kami tidak akan pernah lupa kepada semua adik-adik kami, Along (Iqmal), Angah (Iqbal), Kakak(Ayuni), dan Adik (Iqram). Seronok melayan kerenah adik-adik walaupun mereka agak segan pada mulanya. InsyaAllah, kakak-kakak semua mendoakan Along bakal pilot, Angah bakal saintis, kakak bakal guru, dan Adik bakal Imam Muda. Tidak kering gusi bila dengar cerita dari Abah dan Ummi tentang kerenah adik-adik. Anak-anak Abah dan Ummi semuanya pandai-pandai, mendengar kata, dan sangat menjaga solat. Kami malu sendiri bila melihat telatah adik-adik walaupun dalam usia yang masih muda.

Along (bakal pilot)

Angah (bakal saintis) dan Adik (bakal Imam Muda)

Kakak (bakal pendidik bangsa)

Baru semalam Abah menghantar mesej, “Saintis menangis kakak-kakak semua dah balik..”

Alahai, sedihnya kakak-kakak di sini baca mesej tu. InsyaAllah, ada masa, panjang umur, kakak-kakak datang balik ke sana. Kenangan manis tiada pahit bersama kalian ku abadikan dalam memori hidupku. Semoga Allah memberkati Abah sekeluarga. Semoga berjumpa lagi, kalau bukan di dunia, di akhirat sana sama2 kita berkumpul semula, bagaikan sebuah keluarga kandung, InsyaAllah!

Pengalaman yang ditimba semuanya diharap memberi iktibar kepada seorang hamba. Bila dinilai dengan kekuasaan Allah, banyak benda yang boleh dipelajari dan disyukuri, subhanallah! Allah berkuasa menyatukan hati-hati yang tiada talian persaudaraan untuk berkasih saying atas dasar ukhuwwah Islamiyyah!

Inilah keluarga kami..

Sama-sama kita merenung satu hadis Rasulullah s.a.w. maksudnya :

“Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit”.

Orang mukmin akan menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri. Begitulah hebatnya kasih saying dalam Islam, berkasih sayang semata-mata keranaNya, kerna itulah satu-satunya CINTA yang HAKIKI!

Back To Islamic Healthcare  

Posted by: ~princess Islam~ in


Madu Lebah: Penyembuh Dalam Wahyu

Oleh : Ahmad Zakir Bin Mohd Amin



Sabda Baginda Rasulullah S.A.W:

“Madu adalah penawar kepada setiap penyakit dan Al-Quran adalah penawar kepada penyakit jiwa. Madu dan Al Quran adalah sebaik-baik penawar bagi segala jenis penyakit, maka adanya kedua-dua penawar adalah yang terbaik bagi kamu.”


Keistimewaan Tersendiri Madu

Madu merupakan cecair pekat yang berkhasiat dan mengenyangkan serta mengandungi bahan-bahan penting yang diperlukan oleh badan kita.Madu juga adalah bahan utama dalam pembuatan ubatan melalui penambahan antioksida ‘polyphenoplic’ didalam darah, justeru mengurangkan kesan kerosakan akibat pendedahan kepada radikal bebas semenjak zaman Mesir purba lagi.

Terdapat beberapa perbahasan tentang faedah yang terdapat pada madu yang dijalankan di University of California, Davis. Satu contoh yang boleh diberikan dari kesimpulan perbahasan tersebut adalah seperti berikut :

“Dengan pengambilan madu lebah setiap hari dapat meningkatkan ketahanan badan dari diserang penyakit. Hasilnya kita akan memiliki tubuh badan yang sihat dan jasad yang kuat…”

(All sail Therapeutic Alternative Medicine,University of California, Davis March 2004)

Dalam pada itu, Dr Muhammad Abdul Aziz al-Humairi, Presiden Pejabat kumpulan Asy-Syifa’, Yaman pula berkata,” Sebelum kita bercerita mengenai madu, kita mestilah mengetahui maknanya terlebih dahulu seperti terkandung di dalam Surah an-Nahl ayat 68-69.

Dari dua ayat ini dapat diketahui bahawa madu itu adalah cecair yang mengenyangkan dan merawat melalui perantaraan lebah dengan perintah Allah. Dan inilah yang membezakan madu dengan cecair yang lain.


Riwayat Berkenaan Madu


“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah Engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan Yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari Segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang Engkau sukai), serta Turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu Yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (dengan itu) akan keluarlah dari Dalam badannya minuman (madu) Yang berlainan warnanya, Yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada Yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang Yang mahu berfikir.” (An-Nahl : 68-69)


Di dalam satu riwayat hadis yang dinukilkan oleh Abu Sa’id Al Khudri r.a, beliau berkata,”Seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah s.a.w untuk mengadu tentang sakit perut.” Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada beliau,”Berilah dia meminum madu.” Lalu lelaki itu pun memberikan madu untuk diminum oleh saudaranya itu. Kemudian beliau datang lagi untuk bertemu Rasulullah s.a.w dan berkata,”Aku telah memberikannya minum madu,tetapi perutnya masih sakit.” Rasulullah s.a.w telah bersabda,”Berikanlah ia minum madu.” Kemudian lelaki itu datang lagi dengan pengaduan bahawa penyakit perut saudaranya masih juga belum sembuh. Demikianlah yang dilakukannya sehingga tiga kali. Rasulullah s.a.w masih menyuruhnya meminum madu. Namun demikian lelaki itu tetap juga datang dengan pengaduan yang serupa. Dengan yang demikian,Rasulullah s.a.w telah bersabda.”Allah Maha Besar, perut saudaramu telah berdusta.” (Riwayat Muslim)


Daripada Aisyah r.a katanya, “Madu adalah makanan kesukaan Rasulullah s.a.w.”

Ibnu Abbas r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Penawar itu terdapat tiga perkara. Bekam, meminum madu, dan mencos (membakar) diri dengan besi panas (dengan tujuan membunuh kuman ) dan aku menegah umatku dari melakukan pembakaran badan dengan besi panas (al kay).” (Riwayat Bukhari)


Tradisi Kualiti Turun Temurun


Pengambilan MADU LEBAH secara berterusan banyak memberi manfaat kepada kesihatan serta mampu menghindari dari pelbagai jenis penyakit seperti :-

Kencing manis ; Barah/Kanser ; Mata kelabu ; Letih/ Lesu/ Tenat ; Tenaga Batin/ Seks ; Lendir/ Kahak ; Penyeri Muka ; Awet Muda ; Pendarahan Otak ; Gastrik ; Gagap ; Bersalin senang ; Batuk ; Penyakit Kulit ; Sakit Telinga ; Lemah Jantung ; Jerawat ; Pening ; Pekak ; Lumpuh ; Uban (Berpenyakit) ; Susah Tidur ; Sakit Sendi; Sembelit ; Selsema ; Sakit Puan ; Resdung ; Darah Tinggi; Sakit Kepala; Angin ; Luka ; Keputihan; Bintik-bintik hitam ; Rambut Gugur ; Sakit Pinggang; Melecur ; Haid ; Buasir ; Batuk Kering ; Lupa ; Keracunan Makanan ; Asma/ Lelah Kurang Darah; Alahan/Allergic

Madu juga selalu dihidangkan dalam jamuan-jamuan dan keramaian. Madu dicampur dengan telur dianggap penting untuk kesuburan dan kekuatan fizikal. Oleh itu ia diberikan kepada pengantin-pengantin lelaki dan juga kepada kanak-kanak lelaki yang berkhatan.


Kandungan Madu


Vitamin A > Natrium > Vitamin E > Iodin > Karbon > Magnesium > Vitamin C > Klorin > Zat Besi > Magganasee > Vitamin B lengkap > Kalium > Kalsium Sulfur > Kuprum > Silica



Keistimewaan Madu

• Sebagai makanan pelengkap

• Sebagai penyembuh penyakit

• Sebagai antiseptic

Keistimewaan Gula Madu

• Gula ringkas : mudah hadam

• Tidak mengganggu usus

• Mudah/ cepat diserap oleh sel

• Membekalkan tenaga segera

• Mudah diproses oleh buah pinggang

Peringatan

• Jangan menyimpan madu di dalam peti sejuk untuk mengekalkan kualiti madu

• Simpan madu pada suhu bilik

• Elakkan terkena pancaran matahari

• Jauhkan daripada cas elektrik

Cara Pemakanan

• Dua kali sehari- pagi dan malam

• Makan ketika perut kosong- sebelum makan & sebelum tidur

• Gunakan sudu plastic- untuk mengekalkan kualiti madu

Minumlah Madu Bagi Menarik Kekuatan Baru

Para pengkaji telah mendapati bahawa madu asli amat berguna kepada kesihatan manusia dari segi pembekalan vitamin, pemberian tenaga, penyembuhan, anti penyakit, kecergasan dan tenaga pengingat.

Di samping ianya dapat mewujudkan tenaga baru sesudah keletihan, maka ia juga dengan izin Allah dapat menahankan rasa lapar dan dahaga kira-kira selama dua jam sesudah meminumnya.Bagi memulihkan tenaga kekuatan baru, madu asli hendaklah diminum dua sudu besar secara begitu sahaja tanpa dicampur dengan bahan-bahan lain dan tanpa air kosong.

Bagi orang yang telah berumur 50 tahun ke atas, lebih baik baginya meminum madu sebelum atau selepas bekerja kuat, bersenggama dan sebagainya.

Bagi ahli sukan (atlit) atau pelumba lari, gunakan madu sebelum atau sesudah sesuatu acara atau sewaktu berehat seketika bagi menjaga kejayaan pasukan atau kejuaraan.

Oleh sebab madu itu bahan makanan atau minuman (cairan) ia tetap menjadi minuman sebab manisnya dan ia pula menjadi ubat penyembuh dengan sebab kandungan vitaminnya yang berkhasiat. Oleh kerana itu ia tidaklah berbahaya bila diminum dengan banyak, di mana Rasulullah s.a.w. pernah meminumnya semangkuk di waktu pagi.

Walau bagaimanapun dikatakan berbahaya minum madu secara serentak dengan buah tembikai, sebab ianya boleh membentuk racun yang membawa maut. Jika hendak makan tembikai, makanlah sesudah berlalu masa lima jam sesudah itu.

Kita sebagai manusia harus bersyukur kepada Allah s.w.t. yang sentiasa mewahyukan kepada jutaan lebah agar keluar terbang ke tempat-tempat yang jauh bagi mengumpulkan debu-debu air madu dalam berbagai jenis bunga pokok yang tumbuh di tanah-tanah tinggi dan rendah yang kaya dengan segala khasiat.

Alangkah ruginya kita yang beriman dengan wahyu Allah mengabaikan suatu Firman-Nya ini untuk diamalkan… Sebarkan kepada sesama Muslim. Budayakan Sunnah dalam kehidupan…



“Membangun Bersama Islam”

“Produk Halal Tanggungjawab Bersama”

Sungai Petani,Kedah

5.00 p.m/16 Jamadilawal 1432