Back To Islamic Healthcare  

Posted by: ~princess Islam~ in


Madu Lebah: Penyembuh Dalam Wahyu

Oleh : Ahmad Zakir Bin Mohd Amin



Sabda Baginda Rasulullah S.A.W:

“Madu adalah penawar kepada setiap penyakit dan Al-Quran adalah penawar kepada penyakit jiwa. Madu dan Al Quran adalah sebaik-baik penawar bagi segala jenis penyakit, maka adanya kedua-dua penawar adalah yang terbaik bagi kamu.”


Keistimewaan Tersendiri Madu

Madu merupakan cecair pekat yang berkhasiat dan mengenyangkan serta mengandungi bahan-bahan penting yang diperlukan oleh badan kita.Madu juga adalah bahan utama dalam pembuatan ubatan melalui penambahan antioksida ‘polyphenoplic’ didalam darah, justeru mengurangkan kesan kerosakan akibat pendedahan kepada radikal bebas semenjak zaman Mesir purba lagi.

Terdapat beberapa perbahasan tentang faedah yang terdapat pada madu yang dijalankan di University of California, Davis. Satu contoh yang boleh diberikan dari kesimpulan perbahasan tersebut adalah seperti berikut :

“Dengan pengambilan madu lebah setiap hari dapat meningkatkan ketahanan badan dari diserang penyakit. Hasilnya kita akan memiliki tubuh badan yang sihat dan jasad yang kuat…”

(All sail Therapeutic Alternative Medicine,University of California, Davis March 2004)

Dalam pada itu, Dr Muhammad Abdul Aziz al-Humairi, Presiden Pejabat kumpulan Asy-Syifa’, Yaman pula berkata,” Sebelum kita bercerita mengenai madu, kita mestilah mengetahui maknanya terlebih dahulu seperti terkandung di dalam Surah an-Nahl ayat 68-69.

Dari dua ayat ini dapat diketahui bahawa madu itu adalah cecair yang mengenyangkan dan merawat melalui perantaraan lebah dengan perintah Allah. Dan inilah yang membezakan madu dengan cecair yang lain.


Riwayat Berkenaan Madu


“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah Engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan Yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari Segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang Engkau sukai), serta Turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu Yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (dengan itu) akan keluarlah dari Dalam badannya minuman (madu) Yang berlainan warnanya, Yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada Yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang Yang mahu berfikir.” (An-Nahl : 68-69)


Di dalam satu riwayat hadis yang dinukilkan oleh Abu Sa’id Al Khudri r.a, beliau berkata,”Seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah s.a.w untuk mengadu tentang sakit perut.” Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada beliau,”Berilah dia meminum madu.” Lalu lelaki itu pun memberikan madu untuk diminum oleh saudaranya itu. Kemudian beliau datang lagi untuk bertemu Rasulullah s.a.w dan berkata,”Aku telah memberikannya minum madu,tetapi perutnya masih sakit.” Rasulullah s.a.w telah bersabda,”Berikanlah ia minum madu.” Kemudian lelaki itu datang lagi dengan pengaduan bahawa penyakit perut saudaranya masih juga belum sembuh. Demikianlah yang dilakukannya sehingga tiga kali. Rasulullah s.a.w masih menyuruhnya meminum madu. Namun demikian lelaki itu tetap juga datang dengan pengaduan yang serupa. Dengan yang demikian,Rasulullah s.a.w telah bersabda.”Allah Maha Besar, perut saudaramu telah berdusta.” (Riwayat Muslim)


Daripada Aisyah r.a katanya, “Madu adalah makanan kesukaan Rasulullah s.a.w.”

Ibnu Abbas r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Penawar itu terdapat tiga perkara. Bekam, meminum madu, dan mencos (membakar) diri dengan besi panas (dengan tujuan membunuh kuman ) dan aku menegah umatku dari melakukan pembakaran badan dengan besi panas (al kay).” (Riwayat Bukhari)


Tradisi Kualiti Turun Temurun


Pengambilan MADU LEBAH secara berterusan banyak memberi manfaat kepada kesihatan serta mampu menghindari dari pelbagai jenis penyakit seperti :-

Kencing manis ; Barah/Kanser ; Mata kelabu ; Letih/ Lesu/ Tenat ; Tenaga Batin/ Seks ; Lendir/ Kahak ; Penyeri Muka ; Awet Muda ; Pendarahan Otak ; Gastrik ; Gagap ; Bersalin senang ; Batuk ; Penyakit Kulit ; Sakit Telinga ; Lemah Jantung ; Jerawat ; Pening ; Pekak ; Lumpuh ; Uban (Berpenyakit) ; Susah Tidur ; Sakit Sendi; Sembelit ; Selsema ; Sakit Puan ; Resdung ; Darah Tinggi; Sakit Kepala; Angin ; Luka ; Keputihan; Bintik-bintik hitam ; Rambut Gugur ; Sakit Pinggang; Melecur ; Haid ; Buasir ; Batuk Kering ; Lupa ; Keracunan Makanan ; Asma/ Lelah Kurang Darah; Alahan/Allergic

Madu juga selalu dihidangkan dalam jamuan-jamuan dan keramaian. Madu dicampur dengan telur dianggap penting untuk kesuburan dan kekuatan fizikal. Oleh itu ia diberikan kepada pengantin-pengantin lelaki dan juga kepada kanak-kanak lelaki yang berkhatan.


Kandungan Madu


Vitamin A > Natrium > Vitamin E > Iodin > Karbon > Magnesium > Vitamin C > Klorin > Zat Besi > Magganasee > Vitamin B lengkap > Kalium > Kalsium Sulfur > Kuprum > Silica



Keistimewaan Madu

• Sebagai makanan pelengkap

• Sebagai penyembuh penyakit

• Sebagai antiseptic

Keistimewaan Gula Madu

• Gula ringkas : mudah hadam

• Tidak mengganggu usus

• Mudah/ cepat diserap oleh sel

• Membekalkan tenaga segera

• Mudah diproses oleh buah pinggang

Peringatan

• Jangan menyimpan madu di dalam peti sejuk untuk mengekalkan kualiti madu

• Simpan madu pada suhu bilik

• Elakkan terkena pancaran matahari

• Jauhkan daripada cas elektrik

Cara Pemakanan

• Dua kali sehari- pagi dan malam

• Makan ketika perut kosong- sebelum makan & sebelum tidur

• Gunakan sudu plastic- untuk mengekalkan kualiti madu

Minumlah Madu Bagi Menarik Kekuatan Baru

Para pengkaji telah mendapati bahawa madu asli amat berguna kepada kesihatan manusia dari segi pembekalan vitamin, pemberian tenaga, penyembuhan, anti penyakit, kecergasan dan tenaga pengingat.

Di samping ianya dapat mewujudkan tenaga baru sesudah keletihan, maka ia juga dengan izin Allah dapat menahankan rasa lapar dan dahaga kira-kira selama dua jam sesudah meminumnya.Bagi memulihkan tenaga kekuatan baru, madu asli hendaklah diminum dua sudu besar secara begitu sahaja tanpa dicampur dengan bahan-bahan lain dan tanpa air kosong.

Bagi orang yang telah berumur 50 tahun ke atas, lebih baik baginya meminum madu sebelum atau selepas bekerja kuat, bersenggama dan sebagainya.

Bagi ahli sukan (atlit) atau pelumba lari, gunakan madu sebelum atau sesudah sesuatu acara atau sewaktu berehat seketika bagi menjaga kejayaan pasukan atau kejuaraan.

Oleh sebab madu itu bahan makanan atau minuman (cairan) ia tetap menjadi minuman sebab manisnya dan ia pula menjadi ubat penyembuh dengan sebab kandungan vitaminnya yang berkhasiat. Oleh kerana itu ia tidaklah berbahaya bila diminum dengan banyak, di mana Rasulullah s.a.w. pernah meminumnya semangkuk di waktu pagi.

Walau bagaimanapun dikatakan berbahaya minum madu secara serentak dengan buah tembikai, sebab ianya boleh membentuk racun yang membawa maut. Jika hendak makan tembikai, makanlah sesudah berlalu masa lima jam sesudah itu.

Kita sebagai manusia harus bersyukur kepada Allah s.w.t. yang sentiasa mewahyukan kepada jutaan lebah agar keluar terbang ke tempat-tempat yang jauh bagi mengumpulkan debu-debu air madu dalam berbagai jenis bunga pokok yang tumbuh di tanah-tanah tinggi dan rendah yang kaya dengan segala khasiat.

Alangkah ruginya kita yang beriman dengan wahyu Allah mengabaikan suatu Firman-Nya ini untuk diamalkan… Sebarkan kepada sesama Muslim. Budayakan Sunnah dalam kehidupan…



“Membangun Bersama Islam”

“Produk Halal Tanggungjawab Bersama”

Sungai Petani,Kedah

5.00 p.m/16 Jamadilawal 1432

Jiwa Yang Tenteram : Ayuh sama2 mendapatkannya!!  

Posted by: ~princess Islam~ in


Jiwa yang sihat dan tenteram memiliki beberapa tanda, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah di dalam kitab ،§Ighatsatul Lahfan min Mashayid asy-Syaithan.،¨ Di antara tanda-tanda tersebut adalah mampu memilih segala sesuatu yang bermanfaat dan memberikan ketenteraman kepada jiwanya. Dia tidak memilih perkara-perkara yang berbahaya atau yang menjadikan jiwanya sakit atau menderita. Tanda jiwa yang sakit adalah sebaliknya. Santapan jiwa yang paling bermanfaat adalah keimanan dan ubat yang paling mujarab adalah al-Quran. Selain itu, jiwa yang sihat memiliki sifat sebagaimana berikut:



1. Matlamatnya Akhirat

Jiwa yang sihat bergerak dari dunia menuju ke akhirat dan seakan-akan telah sampai di sana. Sehingga dia merasa seperti telah menjadi penghuni akhirat dan putera-puteri akhirat. Dia datang dan berada di dunia ini seakan-akan sebagai orang asing, yang mengambil sekadar keperluannya, untuk segera kembali ke negeri asalnya. Nabi s.a.w bersabda,

"Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau (musafir) yang melalui suatu jalan." (HR. al-Bukhari)

Bila jiwa seseorang itu sihat, dia akan mengembara menuju akhirat dan menghampirinya, sehingga seakan-akan dia telah menjadi penghuninya. Sedangkan bila jiwa tersebut sakit, maka dia akan terlena dengan dunia dan menganggapnya sebagai negerinya yang kekal, sehingga jadilah dia hamba kepadanya.


2. Keinginan Menuju Allah s.w.t.

Di antara tanda tenteramnya jiwa ialah selalu mendorong seseorang untuk kembali kepada Allah s.w.t. dan tunduk kepada-Nya. Dia bergantung hanya kepada Allah, mencintai-Nya sebagaimana seseorang mencintai kekasihnya. Tidak ada kehidupan, kebahagiaan, kenikmatan, kesenangan kecuali hanya dengan ridha Allah, merasa dekat dan rasa jinak terhadap-Nya. Merasa tenang dan tenteram dengan Allah, berlindung kepada-Nya, bahagia bersama-Nya, bertawakkal hanya kepada-Nya, yakin, berharap dan takut hanya kepada Allah .

Maka jiwa tersebut akan selalu mengajak dan mendorong pemiliknya untuk mecari ketenangan dan ketenteraman bersama Ilah sembahannya. Tatkala itulah ruh benar-benar merasa kehidupan dan kenikmatan dan menjadikan hidupnya lain daripada yang lain, bukan kehidupan yang penuh dengan kelalaian dan berpaling dari tujuan penciptaan manusia. Untuk tujuan menghamba kepada Allah s.w.t inilah syurga dan neraka diciptakan, para rasul diutus dan kitab-kitab diturunkan.

Abul Husain al-Warraq berkata, "Hidupnya jiwa adalah dengan mengingat Zat Yang Maha Hidup dan Tidak Pernah Mati, dan kehidupan yang nikmat adalah kehidupan bersama Allah, bukan selain-Nya."

Oleh karena itu terputusnya hubungan seseorang dengan Allah s.w.t. adalah lebih dahsyat kepada orang-orang arif yang mengenal Allah daripada kematian, karena terputus dari Allah adalah terputus dari al-Haq, sedang kematian adalah terputus dari sesama manusia.


3. Tidak Bosan Berzikir

Di antara tanda sihatnya jiwa adalah tidak pernah bosan untuk berzikir mengingat Allah s.w.t Tidak pernah merasa jemu untuk mengabdi kepada-Nya, tidak terlena dan asyik dengan selain dari Nya, kecuali kepada orang yang menunjukkan jalan kepada Nya, orang yang mengingatkan dia kepada Allah s.w.t. atau saling mengingatkan dalam kerangka berzikir kepada-Nya.


4. Menyesal jika Tertinggal dari Berzikir

Jiwa yang sihat akan rasa menyesal, merasa sedih dan sakit melebihi sedihnya seorang bakhil yang kehilangan hartanya jika tertinggal atau terlupa berzikir.


5. Rindu Untuk Beribadah

Jiwa yang sihat selalu rindu untuk menghamba dan mengabdi kepada Allah s.w.t. , sebagaimana rindunya seorang yang lapar terhadap makanan dan minuman.


6.Khusyu' Dalam Shalat

Jiwa yang sihat akan meninggalkan segala keinginan dan sesuatu yang bersifat keduniaan ketika sedang menunaikan solat. Sangat berhati-hati dalam masalah solat dan bersegera melakukannya, serta memperolehi ketenangan dan kenikmatan di dalam solat tersebut. Baginya solat merupakan kebahagiaan dan penyejuk hati dan jiwa.


7.Keinginannya Hanya kepada Allah

Jiwa yang sihat, keinginannya hanya satu, iaitu kepada segala sesuatu yang diridhai Allah s.w.t..


8. Menjaga Waktu

Di antara tanda sihatnya jiwa adalah merasa sayang jika waktunya hilang dengan sia-sia, melebihi sayang seorang yang kikir terhadap hartanya.


9. Muhasabah dan Memperbaiki Diri

Jiwa yang sihat senantiasa memberi perhatian untuk terus memperbaiki amal, melebihi perhatian terhadap amal itu sendiri. Dia terus bersemangat untuk meningkatkan keikhlasan dalam beramal, mengharap nasihat, mutaba'ah dan ihsan (seakan-akan melihat Allah s.w.t. dalam beribadah, atau selalu merasa dilihat Allah). Di samping itu dia selalu memperhatikan pemberian dan nikmat dari Allah s.w.t. serta kekurangan dirinya di dalam memenuhi hak-hak-Nya.



Demikian di antara beberapa fenomena dan karakteristik yang menunjukkan sihatnya jiwa seseorang.

Dapat disimpulkan bahwa jiwa yang sihat dan tenteram adalah qalbu yang himmah (keinginannya ) kepada sesuatu yang menuju Allah s.w.t. , mencintai-Nya dengan sepenuhnya, menjadikan-Nya sebagai matlamat. Jiwa raganya untuk Allah, amalan, tidur, bangun dan bicaranya hanyalah untuk-Nya. Dan ucapan tentang segala yang diridhai Allah lebih dia sukai daripada segala pembicaraan yang lain, fikirannya selalu tertuju kepada apa sahaja yang diridhai dan dicintai-Nya.


Berkhalwah (menyendiri) untuk mengingat Allah s.w.t lebih dia sukai daripada bergaul dengan orang, kecuali dalam pergaulan yang dicintai dan diridhai-Nya. Kebahagiaan dan ketenangannya adalah bersama Allah, dan ketika dia mendapati dirinya berpaling kepada selain Allah, maka dia segera mengingat firman-Nya,

”Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya.،¨ (QS. 89:27-28)


Dia selalu mengulang-ulang ayat tersebut, dengan harapan dia akan mendengarnya nanti pada hari Kiamat dari Rabbnya. Maka akhirnya jiwa tersebut di hadapan Ilah dan Sesembahannya yang Haq akan terwarna dengan sibghah (celupan) sifat kehambaan. Sehingga jadilah dia abdi sejati sebagai di segi sifat dan karakternya, ibadah adalah nikmat bukannya beban yang memberatkan. Dia melakukan ibadah dengan rasa gembira, cinta dan rasa dekat kepada Rabbnya.


Ketika diajukan kepadanya perintah atau larangan dari Rabbnya, maka hatinya berkata , "Aku sambut panggilan-Mu, aku penuhi dengan suka cita, sesungguhnya aku mendengar, taat dan akan melaksanakannya. Engkau berhak dan layak mendapat semua itu, dan segala puji kembali hanya kepada-Mu.،¨

Apabila ada takdir menimpanya maka dia mengatakan, " Ya Allah, aku adalah hamba-Mu, miskin dan memerlukan-Mu, aku hamba-Mu yang fakir, lemah tidak berdaya. Engkau adalah Rabbku yang Maha Mulia dan Maha Penyayang. Aku tidak mampu untuk bersabar jika Engkau tidak menolongku untuk bersabar, tidak ada kekuatan bagiku jika Engkau tidak membantuku dan memberiku kekuatan. Tidak ada tempat bersandar bagiku kecuali hanya kepada-Mu, tidak ada yang dapat memberikan pertolongan kepadaku kecuali hanya Engkau. Tidak ada tempat berpaling bagiku dari pintu-Mu, dan tidak ada tempat untuk lari dari-Mu.،¨


Dia mempersembahkan segalanya hanya untuk Allah s.w.t, dan dia hanya bersandar kepada-Nya. Apabila ditimpa sesuatu yang tidak disukai maka dia berkata, "Rahmat telah dihadiahkan untukku, ubat yang sangat bermanfaat dari Zat Pemberi Kesembuhan yang mengasihiku." Jika dia kehilangan sesuatu yang dia sukai, maka dia berkata, "Telah disingkirkan keburukan dari sisiku."


Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.( Al-Ra`d:28)


Semoga Allah s.w.t memperbaiki jiwa kita semua, dan menjaganya dari penyakit-penyakit yang merosak dan membinasakan, Amin.


Sumber Asal : Mawaridul Aman al Muntaqa min Ighatsatil Lahfan fi Mashayid asy-Syaithan, penyusun Syaikh Ali bin Hasan bin Ali al-Halabi.

Teroka Dakwah Ilmiah & Kebajikan ~Banda Acheh  

Posted by: ~princess Islam~

Assalamualaikum wbt.

Allahumma solli wasallim ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Musafir kami ke Banda Acheh dan medan selama seminggu kurang sehari (12 Mac 2011 - 17 Mac 2011) telah memberikan kami seribu satu input dan ibrah yang berkesan dalam diri kami. Kunjungan kami ke sana punya matlamat yang besar, bukan hanya merantau ke tempat orang semata-mata, tetapi ingin belajar secara praktikal dan ingin melihat dengan lebih dekat lagi kesan peninggalan musibah tsunami supaya ianya bukan sahaja dilihat dengan mata, tetapi dilihat dengan mata hati dan sanubari.

Sesungguhnya bermusafir untuk mencari ilmu pengetahuan sangat dituntut, bahkan ia berada padajalan Allah. Ini berdasarkan hadis :

“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya untuk mencari ilmu pengetahuan, maka ia berada di dalam jalan Allah sehingga ia kembali”(HR Tarmizi)

Para ulamak terdahulu telah menunjukkan kepada kita betapa pentingnya bermusafir dengan tujuan mencari ilmu. Ada yang sanggup meredah padang pasir yang panas terik, perjalanan beribu-ribu batu demi mendapatkan sebebis ilmu atau untuk meriwayatkan sepotong hadis Rasulullah s.a.w.

Teringat lirik nasyid “Musafir Kelana” yang didendangkan oleh Kumpulan Rabbani , antara lirknya,

“Berjalan bermusafirlah
Melihat keagungan Allah
Meninjau menitilah
Rahsia ciptaan Allah

Ziarahilah makam kekasih
Kenangilah rasulallah
Bangunkan jiwa jihad Islami
Semangat syuhada ilahi

Marilah bermusafir
Laksanakan tuntutan jiwa
Bermusafir berkelana
Luaskan pandangan saujana

Bermusafir berkelana
Kenal tuhan maha pencipta

Allah hu robbi 8x

Berbekal keimanan
Penyuluh disempanjang jalan
Mengharap keredaan
Doa menjadi kelaziman

Penat lelah mainan safar
Tempuhi ranjau banyak bersabar
Letih lesu tidak menentu
Syurga menjadi idaman kalbu

Ya! Bermusafir bukan bererti berjalan atau melancong semata-mata, bahkan meluaskan pandangan saujana, menambahkan lagi iman di hati.

Perkuburan Masal Siron : menempatkan 46,000 nyawa yang terkorban ketika tsunami

Program Teroka Dakwah Ilmiah dan Kebajikan ini secara langsungnya adalah bertujuan untuk meneroka perkembangan dakwah di negara orang di samping berbuat kebajikan sekadar yang termampu. Kerja kebajikan semestinya kerja yang mulia dengan menghulurkan tangan memberikan bantuan, bahkan ia adalah perintah Allah, berdasarkan firmanNya surah albaqarah ayat 195 mafhumnya :

“Dan infakkanlah hartamu di jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah. Sungguh, Allah menyukai orang2 yang berbuat baik.”

Bukan itu sahaja, orang yang menginfakkan sebahagian hartanya di jalan Allah adalah merupakan antara ciri orang yang bertaqwa. Ini dijelaskan dalam firmanNya yang bermaksud :

" Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa Iaitu orang-orang Yang beriman kepada perkara-perkara Yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka." {QS al-Baqarah :2-3}

Sungguh, rombongan kami sangat berharap untuk menjadi sebahagian daripada orang-orang yang dicintai Allah.

Ketibaan kami di lapangan terbang Banda Acheh disambut baik oleh penduduk di sana terutamanya Ustaz Abdullah yang banyak memberikan kami informasi dan panduan kepada kami sepanjang berada di Acheh selama 3 hari. Hanya Allah yang mampu membalas jasa Ustaz.

Kami menginap di Hotel Lading yang mana bertempat tidak jauh dari Masjid Raya Baiturrahman, berjalan kaki, 10 minit sudah sampai.

Kami sempat melawat ke tempat-tempat peninggalan tsunami . Dengan mata kasar kami sendiri, kami melihat sebuah kapal penjana elektrik yang beratnya 2600 tan berada di atas daratan diheret ombak tsunami lebih 5 kilometer dari lautan pada 26 disember 2004 yang lalu. Walaupun hampir 7 tahun tragedi itu berlaku, ia tetap meninggalkan sejarah dan iktibar buat warga Banda Acheh khususnya, dan seluruh pelusuk dunia amnya. Sememangnya peristiwa itu tidak dapat dilenyapkan dari fikiran warga Acheh.

Kapal Penjana Elektrik yang terdampar di daratan

Tragedi ini wajar dijadikan ibrah untuk manusia menilai keajaiban dan kebesaran Allah Yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Dalam surah Yasin ayat 83 maksudnya :

“ Sesungguhnya urusanNya apabila dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu.”

Ya! Allah Maha Berkuasa ke atas sesuatu! Sesungguhnya sangat mudah urusan Allah, hnya Dia berkata jadilah, maka tidak ada kudrat manusia untuk menolaknya. Air laut yang dilihat tenang, apabila diberi kekuasaan oleh Allah, mampu menghancurkan bumi dan seisinya. Subhanallah! Maha Suci Allah!

Seterusnya, kembara ke Lampulo bagi melihat bagaimana sebuah kapal nelayan terapung di atas sebuah rumah yang mampu menyelamatkan 59 nyawa daripada terkorban menjadi mangsa tsunami. Aku termenung sendirian, bagaimana mungkin bot tersebut boleh tersangkut di atas rumah tersebut melainkan diberi ilham oleh Allah swt.

Kapal nelayan yang masih tersangkut di atas sebuah rumah

Begitu juga lawatan kami ke beberapa buah masjid yang terselamat dari bencana tsunami termasuklah Masjid Raya Baiturrahman, Masjid Baiturrahim, dan Masjid Gurrah.

Masjid Raya Baiturrahman

Jemaah Maghrib Masjid Baiturrahman


Betapa bahagianya hati ini apabila dapat menjejakkan kaki ke masjid-masjid tersebut, terutama Masjid Raya Baiturrahman yang berada tidak jauh dari hotel yang kami menginap. Kami sempat berjemaah Subuh dan Maghrib di sana. Bisik hatiku , “tidak hairanlah masjid ini terselamat dari bencana tsunami, jemaahnya ramai, program tersusun elok, dan suasananya hidup! ” Ya! Mungkin ini menjadi ibrah kepada segenap penduduk supaya terus menghidupkan rumah Allah.

Bersama penghuni Yayasan Anak Yatim Antarabangsa YAPIEM
(anak yatim mangsa tsunami)

Nukilan mereka..

Di Yayasan Syeikh Abdul Rauf : Program Bestari Solat & Mahabbah Rasul

Kami juga telah melawat Rumah Anak Yatim Antarabangsa dan beberapa Yayasan atau Pesantren di Acheh iaitu Yayasan Syeikh Abdul Rauf dan Yayasan Omar Diyan.

Sesungguhnya memuliakan anak yatim sangat dianjur dalam Islam kerana orang yang menzalimi anak yatim disifatkan sebagai orang yang mendustakan agama, berdasarkan ayatNya :

"Tahukah Engkau akan orang Yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah Yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim" {QS al-Maaun :1-2}

Kunjungan kami disambut dengan meriah bagi meraikan tamu. Memang, warga Acheh sangat memuliakan tamu. Kerna mereka yakin dengan hadis Rasulullah s.a.w. :

“ Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim” (Hadis Muttafaqun ‘alaih)

Hadis yang lain ada menyebut :

Dari abu Hurairah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka janganlah dia menyakiti tetangganya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
(HR Muslim)

Kedatangan kami disambut dengan meriah dengan deretan anak-anak berbaris dan bersalaman dengan ahli rombongan. Siap dengan persembahan anak-anak lagi! Wah, sangat terpegun dengan layanan penduduk di sana.

Sempat menyinggah di Taman Puteri Gunongan

Juga ke IAIN Ar-Raniry : Majlis Silaturrahim

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pensyarah khususnya JPIM lagi khusus Baba kerana telah bertungkus lumus menjayakan program ini, diikuti sahabat-sahabat yang telah memerah keringat supaya usaha mereka turut dinikmati oleh sahabat mereka yang lain. Jazakallahukhairan jaza’, hanya itu yang mampu dikatakan.

Begitulah serba sedikit coretan perjalanan seorang musafir untuk dikongsi bersama. Semoga kembara musafir bukan hanya memberi manfaat kepada diri saya, malah kepada kalian juga. Kembara ke bumi Medan bersambung ke siri yang lain sekiranya punya kesempatan waktu. Wallahua’lam.

~PESAN TAQWA~  

Posted by: ~princess Islam~

fRoM { genta-rasa.com }

Imej umat Islam yang buruk dan negatif ini perlukan satu usaha pembaikan yang total dan menyeluruh. Usaha ini sangat perlu kerana sudah acap kali Islam terhukum oleh kelemahan umatnya sendiri. Walaupun kita boleh berhujah, kelemahan umat Islam bukanlah bukti kelemahan ajaran Islam, tetapi dunia akan terus tertanya-tanya, “Kalau begitu, di manakah keupayaan Islam dalam memacu kejayaan dan kecemerlangan umatnya?

Sebenarnya apa yang kita cari berada terlalu dekat dengan kita. Setiap minggu kita mendengarkan kekuatan itu dilaungkan oleh khatib-khatib dari mimbar masjid di seluruh dunia pada setiap hari Jumaat. Rahsia kekuatan itu adalah taqwa. Kita perlu kembali kepada taqwa – memahami, menghayati, mengamalkan dan memperjuangkannya. Tidak ada kekuatan lain selain taqwa yang mampu membawa kita keluar daripada belenggu kehinaan ini.

Namun kenyataan di atas mungkin dipandang sinis atau skeptik oleh banyak pihak dikalangan umat Islam sendiri. Mungkin tidak diluahkan dengan kata-kata, tetapi melalui praktiknya ramai yang memandang sepi pada pesan taqwa yang sangat penting itu. Apa tindakan kita untuk memahaminya? Apa program kita untuk membinanya? Apakah ada kebimbangan dan kerisauan kita apabila kita melanggar prinsip-prinsip? Jawapannya, sangat menyedihkan.

KEPENTINGAN TAQWA

Taqwa sangat penting. Justeru, ia dijadikan satu pesanan yang wajib diperdengarkan oleh khatib apabila berkhutbah. Seorang lelaki yang berumur 45 tahun akan mendengar sekurang-kurangnya 1560 kali pesan taqwa dalam hidupnya (jika dia tidak pernah meninggalkan solat Jumaat bermula daripada umurnya 15 tahun). Dan di dalam Al Quran, perkataan yang berkaitan taqwa Allah sebutkan sebanyak 272.

Taqwa inilah yang diwasiatkan oleh Allah awal-awal lagi kepada Nabi Adam a.s: “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat ( Al-A’raf : 26)

Taqwa juga diletakan sebagai penanda aras kemuliaan manusia oleh Pencipta manusia sendiri (Allah). Perbedaan manusia dan kemuliaan manusia ditentukan oleh nilai dan kadar taqwanya yang ada di dalam dadanya. Firman Allah: “Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang bertaqwa.”(Al-Hujurat: 13)

Seruan Allah pada surat Ali Imran ayat 102, “Bertaqwalah kamu sekalian dengan sebenar-benarnya taqwa dan janganlah kamu sekali-kali mati kecuali dalam keadaan muslim”. Dalam ayat yang lain, Allah menegaskan lagi, “telah Aku wasiatkan kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan kepada kamu agar kamu sekelian bertaqwa kepada Allah.

Bayangkan jika ada seorang pemimpin negara mengulang-ulang satu perkara sama ada dalam bentuk gagasan, wawasan, peringatan atau amaran, tentulah perkara itu sangat penting kepada rakyatnya. Maka lebih-lebih lagi bila Allah – Pemerintah sekalian alam, telah menegaskan berkali-kali tentang kepentingan taqwa. Sudah tentu akan beruntunglah mereka yang mengambil berat tentang pesan itu dan celakalah mereka yang mengabaikannya.

Sesungguhnya Allah lebih mengetahui kemaslahatan hamba-Nya dari sesiapa pun dan Allah lebih sayang kepada kita lebih dari sesiapa pun, jika ada di dalam kehidupan ini yang lebih banyak manfaat dan kebaikannya dan menyelamatkan selain daripada taqwa, nescaya Allah akan memerintahkan kepada manusia untuk menngambil berat tentang perkara itu. Namun kerana peringatan Allah hanya difokuskan kepada taqwa, maka tentu sahaja itulah perkara yang pertama dan utama mengatasi segala-galanya.

MANFAAT TAQWA

Imam Ghazali ketika menjelaskan manfaat taqwa telah berkata:

“Taqwa itu harta terpendam yang berharga sekali jika engkau mendapatnya. Maka seolah-olah berkumpul kebaikan dunia dan akhirat di dalam taqwa itu. Dan perhatikan apa yang difirmankan dalam Al Quran mengenai taqwa. Banyak sekali Allah memberi nkeuntungan, pahala yang besar dan keselamatan yang disandarkan pada sifat taqwa.”

Apa yang dikatakan oleh Imam Ghazali itu adalah bersumberkan ayat Quran ini:

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di Akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah.Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” (Yunus: 62-64)

Antara kelebihan taqwa di dalam Al Quran ialah:

  1. 1. Bantuan dan perlindungan Allah.

Allah akan hanya membela orang yang bertaqwa. Menjadi seorang Islam, belum ada jaminan mendapat bantuan Allah. Ini menjelaskan mengapa umat Islam ditindas dan dikalahkan oleh musuh-musuh Islam pada hari ini. Firman Allah:

“Allah jadi pembela (pembantu) bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19)

  1. 2. Penyelesaian masalah dan rezeki.

Selain daripada rajin berusaha dan sentiasa produktif, orang bertaqwa akan mendapat menyelesaikan masalah dalam hidup dan rezekinya dijamin oleh Allah saw.Firman Allah:

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia daripada masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya.” (At Thalaq: 2-3)

“Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)

3. Dijanjikan syurga dan diselamatkan dari neraka.

“Akan tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhannya bagi mereka Syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal dari sisi Allah.” (Ali Imran: 198)

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Tuhanmu dan kepada Syurga yang luas seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 133)

“ Itulah Syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa.” (Maryam: 63)

“Lalu Aku selamatkan orang-orang bertaqwa dan menjauhkan Neraka bagi mereka yang bertaqwa.”

4. Ditutupi kesalahan dan dilipatgandakan pahala.

“Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu. Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan melipatgandakan pahala baginya.” (At Thalaq: 5)

5. Darjat yang tinggi di Hari Akhirat.

“Kehidupan dunia kelihatan indah bagi orang kafir sehingga mereka memandang rendah kepada orang beriman, tetapi orang yang bertaqwa adalah lebih tinggi daripada mereka di hari Kiamat.” (Al Baqarah: 212)

6. Dicintai Allah.

“Sebenarnya, siapa yang menepati janji (yang dibuatnya) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 76)

7. Diampuni dosa.

Orang bertaqwa begitu sensitif dengan dosa. Bahkan mereka sentiasa merasa berdosa walaupun tidak terlibat dengan dosa. Justeru mereka sentiasa melazimi taubat. Dan taubat mereka akan sentiasa diterima.

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahan kamu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Al Anfal: 29)

8. Diterima amalan.

“Sesungguhnya Allah hanya menerima ibadah (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.” (Al Maidah: 27)

9. Dikurniakan keberkatan hidup.

“Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)

10. Pewaris kekuasaan di bumi.

“Akan Aku wariskan bumi ini kepada orang-orang yang soleh (bertaqwa).” (Al Anbiya: 105)

11. Diberi ilmu yang bermanfaat.

Orang bertaqwa akan mendapat tambahan ilmu menerusi pengalaman ilmu yang sedia diketahuinya. Bahkan, ilmu itu bukan hanya berlegar di minda, tetapi menjunam ke hati dengan kefahaman dan pengahayatan yang mendalam.

“Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.” (Al Baqarah: 282)

12. Dipermudahkan urusan.

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan permudahkan segala urusannya.” (At Thalaq: 4)

13. Diselamatkan dari tipu-daya musuh.

Yahudi dan Nasrani terkenal dengan strategi dan perancangan yang licik untuk menghancurkan umat Islam. Mereka begitu sistematik, fokus dan komited untuk melemahkan perjuangan umat Islam. Namun, orang bertaqwa sentiasa berjaya mengenal dan mengatasi tipu-daya mereka itu.

“Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudharatan kepada kamu.” (Ali Imran: 120)

14. Diberi petunjuk dalam membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

Di tengah kecelaruan faham dan kekeliruan bertindak tidak kira pada zaman apa dan situasi apa pun orang bertaqwa sentiasa dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

“Hai orang-orang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, Dia akan memberi kepada kamu furqan (membezakan antara kebenaran dan kebatilan.” Al Anfal: 29

TAQWA MENURUT AL QURAN

Mari kita lihat dulu makna taqwa melalui ayat al Quran. Di dalam Kitab Minhajul Abidin, Imam Ghazali menyenaraikan makna taqwa mengikut Al Quran:

  • Perasaan takut dan hebat.

“Dan kepadaKulah kamu harus takut.”

“Takutlah kamu pada hari dikembalikan kepada Allah.”

  • Bakti dan Tunduk.

“wahai sekalian orang-orang beriman berbaktilah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar bakti.”

  • Membersih hati daripada dosa.

“Sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya, dan takut kepada Allah serta taqwa kepada-nya maka mereka adalah orang-orang yang beruntung.”

Jadi, kesimpulan rengkas erti taqwa melalui ayat Quran tersebut adalah taat, takut juga membersihkan hati daripada sebarang kederhakaan. Sebenarnya banyak lagi erti taqwa yang boleh diambil dari al Quran. Antaranya ialah tauhid dan iman, taubat, meninggalkan maksiat dan ikhlas.

Justeru, taqwa itu bolehlah disifatkan sebagai himpunan segala sifat-sifat kebaikan (mahmudah) sama ada yang zahir ataupun yang batin. Rasulullah saw bersabda:“Hendaknya kamu bertaqwa sebab ia adalah kumpulan segala kebaikan, dan hendaknya engkau berjihad karena ia sikap kependetaan seorang muslim, dan hendaknya engkau selalu berdzikir menyebut nama Allah karena dia cahaya bagimu” (HR. Ibnu Dharis dari Abu Said Al-Khudhari).

ANALOGI PARA SAHABAT

Para sahabat utama Rasulullah saw juga ada memberikan pengertian taqwa dengan pelbagai pendekatan. Ubay bin Ka’ab umpamanya, telah memberi satu analogi yang sangat jelas bila dia ditanya oleh Sayidina Umar r.a, apakah itu taqwa? Dia menjawab; “Pernahkah kamu melalui jalan berduri?” Umar menjawab; “Pernah!” Ubay menyambung, “Lalu apa yang kamu lakukan?” Umar menjawab; “Aku berhati-hati, waspada dan penuh keseriusan.” Maka Ubay berkata; “Maka demikian pulalah taqwa!”

Manakala seorang lagi sahabat Rasulullah saw, yakni Abu Darda r.a telah berkata:
“Kesempurnaan taqwa itu adalah sentiasa seorang hamba itu sentiasa berjaga-jaga dengan Allah ( arahan dan larangannya) walau dalam hal sekecil zarah, sehingga dia akan meninggalkan sesuatu yang halal sekalipun, kerana takut jatuh di dalam yangharam.”

Apa yang dikatakan oleh Abu Darda itu selaras dengan hadis Rasulullah saw:
“Tidak akan sampai seorang hamba ke darjat orang bertaqwa sehingga dia meninggalkan yang hal kecil yang mungkin tidak mengapa, kerana bimbang jatuh di dalam yang ditegah Allah. ( Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari).

TAQWA DARI SEGI BAHASA

Manakala dari segi bahasa taqwa bererti pemeliharaan, penjagaan atau perlindungan. Ertinya, taqwa itu adalah rasa di dalam hati yang menggerakkan seseorang memelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara dosa sama ada besar atau kecil yang boleh memudaratkan agama. Asal-usul taqwa adalah menjaga dari kemusyrikan, dosa dan kejahatan dan hal-hal yang meragukan (syubhat).

Keadaan itu sama dengan orang sakit yang berpantang daripada sesuatu makanan kerana takut penyakitnya bertambah kronik. Taqwa juga berarti kewaspadaan, menjaga benar-benar perintah dan menjauhi larangan.

Perkara yang memudaratkan agama itu terbahagi dua. Pertama, perkara-perkara yang jelas haram. Kedua, perkara-perkara halal yang diambil secara berlebihan. Justeru Imam Ghazali telah membahagikan taqwa itu kepada dua bahagian. Pertama, Taqwa Fardu – istiqamah dan taat menjaga diri daripada melakukan perkara yang haram. Kedua, Taqwa Adab – menahan diri daripada berlebih-lebihan dengan perkara yang halal kerana takut dihisab dan malu kepada Allah pada hari Kiamat kelak.

Menurut para ulama tingkatan taqwa itu ada tiga:

  1. Membersihkan diri dari syirik.

Maksudnya seseorang itu membersihkan dirinya daripada menyekutukan Allah sama ada dalam akidah (menyembah selain Allah) mahupun dalam ibadah (riyak, ujub, sum’ah).

  1. Membersihkan diri daripada dosa besar.

Taqwa peringkat ini tercapai apabila seseorang menjauhi dosa besar yang zahir seperti minum arak, berzina, judi dan lain-lain. Juga meninggalkan dosa besar yang batin seperti takabur, hasad dengki, tamak dan lain-lain.

  1. Menjauhi dosa-dosa kecil.

Orang bertaqwa tidak memandang kecil atau besarnya dosa tetapi mereka melihat kepada siapa mereka berdosa. Oleh sebab sedar perbuatan dosa itu adalah kepada Allah maka mereka sangat berhati-hati untuk tidak melakukan sebarang dosa sekalipun dosa kecil. Dalam konteks ini Ibn Abbas telah berkata: “Orang bertaqwa itu ialah orang yang menjauhi (menjaga dirinya) daripada syikrik, dosa-dosa besar dan kejahatan (dosa-dosa kecil.”

SUDAHKAH KITA BERTAQWA?

Justeru, orang bertaqwa akan sentiasa memelihara dirinya daripada semua batas dan hukum-hukum agama. Segala yang wajib dan sunat akan dilaksanakannya. Manakala segala yang haram dan makruh akan ditinggalkannya. Bukan itu sahaja malah, mereka sangat berpada-pada dengan segala yang halal kerana takut dihisab (diperhitungkan di akhirat kelak). Ini selaras dengan kata-kata Sayidina Ali: “Aku sangat berhati-hati dengan dunia kerana haramnya diazab, halalnya dihisab.”

Apabila seseorang memelihara hukum-hukum Allah, maka Allah akan memeliharanya. Dan Allahlah sebaik-baik pemelihara. Dalam erti kata yang lain, dengan bertaqwa seseorang telah mengambil Allah sebagai Pemelihara dalam kehidupan dunia dan akhiratnya. Rasulullah saw bersabada: “Peliharalah Allah, maka Allah akan memelihara kamu…”

Soalnya sekarang apakah kita telah dipelihara Allah? Jawabnya bergantung pada pertama, sejauhmanakah kita telah memelihara hukum-hukam, batasan dan segala kehendak Allah? Jelas sekali tahap ketaqwaan kita masih jauh daripada piawaian yang dikehendaki Allah. Al hasil, kita hingga kini belum mendapat bantuan Allah dalam menghadapi musuh-musuh Islam.

Al Quran telah menegaskan, jaminan kejayaan hanya untuk para muttaqin. Dan orang bertaqwa akan berjaya mengatasi masalahnya dan segala tipu-daya musuh. Hanya menjadi seorang Islam (muslim) belum menjamin kejayaan keatas musuh.

Dan ditegaskan bahawa para muttaqin ialah imereka yang memiliki dua kekuatan. Pertama, ke­kuatan rohaniah yang bersumberkan ibadah dan sifat-sifat mahmudah. Kedua, kekuatan lahiriah yang dibangunkan se­cara optimum mengikut batas keupayaan yang paling tinggi.

Maksudnya, orang bertaqwa ialah mereka yang baik hubu­ngannya dengan Allah dan manusia. Dan mereka juga cemerlang dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan ke­hidupan. Ini selaras dengan peranan manusia di muka bumi sepertimana yang tercatat dalam Al Quran – sebagai hamba, khalifah dan pemakmur muka bumi.

Dilihat dari sudut ini, jelas umat Islam ini belum bertaqwa. Walaupun masih mengakui Islam, tetapi ramai diantara kita tidak meletakkan Islam sebagai landasan pemikiran dan tindakan. Malah ramai pemimpin Islam di seluruh dunia masih di­dominasi oleh pemikiran sekular, sifat mazmumah dan perbuatan mungkar. Walau­pun masih beragama Islam, tetapi inilah yang menyebabkan kita belum layak mendapat pembelaan Allah.

Dari segi kekuatan lahiriah khususnya di bidang ke­tenteraan, ekonomi, sains teknologi, juga jelas kekuatan pihak musuh Islam masih mengatasi kita. Padahal orang muttaqin tidak pernah meminggir­kan faktor ini justeru Allah sendiri telah mengingatkan me­lalui firman-Nya:“Dan bersiap-sedialah kamu dengan segala kekuatan daripada tentera-tentera berkuda…”

Maksudnya, orang yang bertaqwa, tidak sekali-kali mengabaikan persiapan lahiriah secara optimu, justeru itu juga hakikatnya perintah Allah. Bahkan, merekalah yang paling serius mempersiapkan diri sebaik mungkin. Cuma andainya berlaku kekurangan juga maka bantuan Allah akan menampung ’kekurangan’ lahiriah itu dengan syarat ketaqwaan mereka sudah mencapai piawaian yang layak diberi bantuan.

Adalah salah sekali, jika dikatakan para muttaqin hanya bersenjatakan doa dan zikir untuk menentang musuh-musuhnya. Muttaqin yakin, taqwa kekuatan primer dan lahiriah adalah kekuatan sekunder. Inilah yang dibuktikan oleh pemimpin Islam seperti Muhammad Al Fateh dan Sultan Salehuddin Al Ayubi. Mereka ‘pakar’ rohani dan mereka juga ‘pakar’ strategi. Mereka dikurniakan kepintaran akal dan ilham yang luar biasa ketika mengahadapi musuh-musuh Islam.

Malangnya, ketaqwaan dan kekuatan lahiriah kita masih tidak mencapai tahap yang dimaksudkan. Ke­canggihan teknologi dan perancangan yang strategik musuh jauh mengatasi kita. Ditambah dengan kekurangan sifat taqwa, maka kita dengan mudah diratah oleh tipu daya dan kekuatan musuh. Dan ini jelas menunjukkan bahawa kita belum memahami sepenuhnya sama ada yang tersurat apatah lagi yang tersirat di sebalik pesan taqwa!