Tanah dan Hujan?  

Posted by: ~princess Islam~ in

TINTAKU..

Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran dirafa'kan kehadrat Allah swt kerna izin dan limpah kurniaNya dapat kita bersua kembali untuk berkongsi serba sedikit pengalaman dan coretan perjalanan sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Alhamdulillah, kerna kita masih lagi diberi peluang untuk terus menghirup oksigen yang tidak pernah putus-putus sejak dari kita dilahirkan. Dan yang paling utama dan pertama, kita masih diberi peluang untuk mengecap nikmat iman dan Islam dan sama2 kita doakan agar dapat terus-menerus mengecap nikmat ini sehingga akhir hayat kita. Amin ya rabbal 'alamin. Hari dan tika ini, bumi IPG Kampus Tuanku Bainun dibasahi dan disimbahi hujan setelah beberapa hari dipancar dengan sinaran cahaya matahari. Alhamdulillah, moga-moga hujan yang turun ini adalah rahmat dari Allah swt. Mendengar rintik-rintik hujan dan melihat titisan hujan yang membasahi bumi menerusi jendela, aku teringat dengan pembacaan Majalah Solusi tempoh hari yang mana membicarakan tentang tanah dan hujan. Untuk itu, ingin kukongsikan bersama dengan sahabat2 sekalian tentang satu hadis Rasulullah saw.
_____________________________________________________________________________________


IBARAT TANAH DAN HUJAN..


Dalam sebuah hadis sahih (Riwayat Al-Bukhari no. 79 dan Muslim no. 6093), Rasulullah saw telah membuat satu perumpamaan tentang hidayah dan ilmu yang dibawa oleh Baginda untuk seluruh alam diibaratkan seperti 'hujan'. Manakala hati-hati manusia pula Baginda ibaratkan seperti "tanah". Ya, memang tepat dengan perbandingan tersebut, kerna memang asal kita daripada tanah dan akan dikembalikan jua di dalam tanah. Secara ringkasnya :


  • Hidayah dan Ilmu- hujan yang lebat dan turun menimpa bumi
  • Manusia - tanah di bumi

Untuk keterangan yang lebih jelas, Rasulullah saw lalu membahagikan pula tanah-tanah bumi yang menerima hujan ini kepada 3 jenis.


:: PERTAMA ::


Maksud hadis:


"Di antara tanah itu ada yang suci dan baik boleh menerima air, lalu tumbuhlah di atasnya rumput-rumput dan tumbuhan yang banyak."


Tahukah anda siapakah golongan ini? Mereka ialah manusia yang menerima ilmu dan hidayah daripada Allah swt lalu beramal dan memanfaatkannya untuk diri mereka. Malah kesan ilmu dan hidayah itu bukan sahaja untuk diri, malah mereka memanfaatkan juga orang lain yang berada di sekeliling mereka dengan mengajarkannya dan menyebarkannya.



:: KEDUA ::


Maksud hadis:


"Di antara tanah itu pula ada yang tidak menumbuhkan tanaman, ia menakung air, maka dengannya Allah swt memberikan manfaat kepada orang ramai, mereka minum, memberi minum dan juga bercucuk tanam."


Inilah golongan yang juga baik. Walaupun mungkin mereka tidak begitu mengambil faedah daripadanya atau ilmu itu tidak begitu berkesan pada diri mereka, namun mereka berjaya menyebarkannya dan menyampaikannya kepada orang lain. Maka dengan itu ramai manusia yang mengambil faedah malah lebih baik daripada dirinya. Namun tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya kelebihan menyampaikan ilmu tetap menambakan sahamnya di akhirat.



:: KETIGA ::


Maksud hadis:


"Dan hujan itu menimpa pula satu jenis tanah lagi, ia hanyalah tanah gersang, tidak mampu menakung air dan tidak pula menumbuhkan rumput."


Mampukah kita berkata apa-apa lagi tentang golongan ketiga ini? Sudahlah tidak mahu menerima ilmu, dirinya juga tidak memberikan apa-apa manfaat kepada orang lain.


Di akhir bicara, Baginda saw telah membuat kesimpulan jenis tanah-tanah tersebut. Yakni maksud hadis yang berbunyi:


"Begitulah diibaratkan seseorang yang memahami agama Allah dan dirinya mendapat kebaikan daripada apa yang Allah berikan kepadaku. Dia mengetahui lalu mengajarnya kepada yang lain. Begitu jugalah diibaratkan pula seseorang yang tidak mempedulikan apa yang diberikan kepadaku dan tidak menerima petunjuk Allah yang diutuskan aku dengannya."

_____________________________________________________________________________________


Ayuh sama-sama kita fikirkan. Tanah jenis apakah kita ini? Adakah selama ini kita benar-benar memanfaatkan "hujan" itu? Hadis ini sudah cukup jelas untuk kita renung dan sama2 fikirkan. Mudah-mudahan kita ditetapkan iman dan tetap dipandu hidayah dan ilmu untuk mengharungi bahtera akhirat yang bakal kita tempuhi.


Rujukan : Majalah Solusi Isu 18