Tribute dari sahabat..  

Posted by: ~princess Islam~

Upin n kawan2 mewakili ana mengucapkan "Selamat Hari Lahir" buat saudari Su'aidah Mohd Ameen.
Semoga hidupmu diberkati dan dirahmati Allah sentiasa.
Bingkisan istimewa buat adikku dikanvas maya ini.

20 tahun yang lalu...
Tanah ini menerima seorang lagi khalifah penyambung risalah Muhammadiah
tangisannya akan bertukar menjadi mutiara kata yang indah
menghiasi dada-dada manusia yang kehausan seteguk ilmu buat bekalan melayari bahtera kehidupan
Tangan yang kecil itu bakal menuntun manusia yang hilang arah tujuan
menghulur semula tongkat ilmu yang sengaja dilemparkan atas desakan nafsu yang menyesatkan
tangan itu juga akan bersama-sama tangan yang lain mengibar bendera hijau
keseluruh tanah ini..
agar nikmat sebuah iman dapat direguk bersama
20 tahun yang lalu
bidadari kecil telah lahir ditanah ini
menambah kuntuman bunga yang benar-benar bunga
yang punya duri yang benar-benar duri
yang punya aroma yang menghidupkan bukan mematikan
yang punya akar yang menghunjam jauh ke dalam tanah
datanglah angin,datanglah badai dia tetap teguh disitu menjadi mawar yang berduri yang punya akar yang teguh
sukar disentuh,sukar digugat ,teguh disitu tetapi manfaatnya dirasai sesiapa yang memandang
kuntumnya dihiasi ilmu yang berwarna-warni
aromanya akhlak yang mewangi
durinya jilbab dan hijab yang melitupi
dan akarnya iman dan khauf pada Yang Maha Mengerti..
Doaku...
Moga bidadari ini terus menambahkan keindahan yang dimiliki
agar kasih Illahi dan cinta Rasul menyuntingnya
Moga bidadari ini terus tegar dijalan yang dipilihnya
agar manfaatnya dirasai ayah dan bondanya
Moga bidadari ini dikabukan segala hajatnya
kerana kutahu hajatnya akan mendatangkan manfaat buat agamanya..

Selamat Hari Lahir...
dariku untukmu
Salam Naungan Hijau
Kak Hawa...

p/s : Alhamdulillah, sudah genap umurku20 tahun..sajak ini hasil bingkisan sahabatku, Kak Hawa..subhanallah! aku tidak sehebat itu! dan jauh lagi untukku mencapai darjat seperti itu..namun, ku berharap, sahabat2 mendoakanku menjadi seperti itu, amin..Terima kasih kepada semua yang mengucapkan selamat kepadaku..namun, hakikatnya semakin bertambah umurku, semakin hampir aku ke saat itu..Allahummaghfirli zunubi ya Allahh..:(

E.X.A.M.M.O.O.D.  

Posted by: ~princess Islam~ in

Daripada Ali Bin Abi Tholib r.a berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Orang yang paling baik itu ialah orang yang alim. Jika ia diperlukan maka ia akan memberi manafaat bagi orang lain. Dan jikalau ia tidak diperlukan maka ia mencukupkan dirinya sendiri (tidak menyusahkan orang lain)”.

Justeru, jadilah penuntut ilmu. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang mendekatkan kita dengan Pencipta kita, Allah Azzawajalla..

~~E.X.A.M.M.O.O.D.~~
Gud luck utk smua kakak2, abg2, sgbt2 yg sedng berada dlm kemelut exam sekrg..
ecspecially kpd shbt2 classmate yg dikasihi..

Doakan saya jugak ye!
Maattaufiq wannajah!!

bersemangat! fOkus! seimbang! patuh!
wassalam..

madrasati habibati..  

Posted by: ~princess Islam~ in



Kunjunganku ke blog sekolah lamaku, SMKA Melor, menggamit kembali kenangan-kenangan lalu yang memahatkan seribu satu memori yang tidak dilupakan. Pengalaman bersama teman-teman seperjuangan, dan guru-guru kesayangan. Manakan tidak, di situlah aku mengenal erti hidup berdikari, di situlah aku mengenal erti perjuangan, dan di situlah aku mengenal fikrah yang sebenar. Walaupun pada mulanya diriku masih tercari-cari dalam kesamaran, tapi akhirnya aku menemui cahayanya. Alhamdulillah, dipertemukan aku dengan sahabat-sahabat sefikrah. Rindu untuk bertemu kalian.



rindu untuk berada di sini..

Dan mana mungkin aku dapat melupakan tempat yang menjadi medan tarbiahku. Ketika di usia masih mentah lagi, aku sudah diberi kepercayaan untuk mengendalikan usrah. Entah apa kelebihanku membuatkan aku terpilih, padahal masih ramai lagi yang berkebolehan. Apabila ditolak, mereka mengtakan.."su layak, ni peluang.."aku terima. Mungkin ini peluangku untuk mengenal dakwah. Pernah satu ketika aku ingin menolak satu jawatan yang aku anggap cukup besar dalam organisasi dan pelajar asrama khususnya. Teringat lagi saat dan ketika aku diumumkan, aku menangis. Satu ucapan takziah buatku. Terkedu dengan amanah yang cukup besar yang tidak mampu aku tanggung. Semua mengerumuniku, masing2 memberikan kata semangat kepadaku. Masih ingat lagi ketika itu ada seorang adik datang kepadaku, katanya "kak su, terimalah..menolak sesuatu jawatan samalah seperti menolak satu perjuangan.." Aku terkelu, tidak ada apa yang mampu diungkapkan lagi. aku terima dengan hati yang terbuka.

asrama..tempat persinggahanku selama 5 tahun..

dewan makan..tempatku membesar..

Di sebalik kemanisan pastinya terselit kepahitan. Kepahitan yang terpaksa aku telan sendirian atau bersama teman-teman. Dan aku rasa tidak perlu untuk aku nyatakan di sini. Biarlah ia berlalu bersama kenanganku yang dulu. Apabila mengenangkan kembali, itulah hakikat kehidupan. Kadang di atas, kadang di bawah, tidak dinamakan kehidupan sekiranya setiap detik masa penuh dengan kemanisan. Manakan sedap makanan yang tidak dimasak walau dengan secubit garam. Kepahitan itulah sebenarnya telah mematangkanku, dalam usaha untuk menjadi manusia sesempurna insan.

alhamdulillah..semoga terus subur benih2 keimanan..

Rasanya masih belum puas lagi untuk 'bekerja' di sekolah. Terasa seperti aku belum melaksanakan tugasku sesempurna mungkin. Medan persekolahan lah medan yang paling manis buatku, medan di mana guru-guru memberikan sepenuh perhatian, medan di mana sentiasa di sisi kawan-kawan seharian, dan medan di mana tempat dicurahkan ilmu ukhrawi dan duniawi. Adik-adik yang masih di sana, teruskan perjuanganmu, supaya kalian tidak akan menyesal di kemudian hari. Timbalah ilmu sebanyak mungkin, ambillah pengalaman seluas mungkin, sebagai bekalanmu untuk melayari hari-hari mendatang. Sayangilah guru-guru dan sahabat anda kerna anda pasti merindui mereka suatu hari nanti.

aku pernah di sini suatu ketika dahulu..

guru-guru.. aku merindui kalian..

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul Quran  

Posted by: ~princess Islam~ in



Oleh; Dr. Samsu Adabi Mamat

Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam

Universiti Kebangsaan Malaysia

Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran

2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.

3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan.

Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan.

Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

Kesimpulan


Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi.

Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan.

Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).


Cintailah al-Quran..dekatinya, basahkan lidah dgn senantiasa membaca kalimah2 Tuhan, bertadabbur dgnnya, dan berusaha utk mengamalkan apa yg tersirat di dlmnya..insyaAllah, ia kan menjadi peguam bela kita di mahkamah Allah Rabbul Jalil kelak..amin..

Manusia : "Bacalah dengan nama Tuhanmu.."  

Posted by: ~princess Islam~

Bismillahirrahmanirrahim..Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
" Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
~ al-'Alaq : 1-5 ~

Tafsirul Quran

Menurut jumhur ulamak, permulaan surah ini merupakan ayat-ayal al-Quran yang pertama
yang diturunkan. Ujar al-Imam Ahmad: Kami telah diceritakan oleh ‘Abdur-Razzaq, kami telah diceritakan oleh Ma’mar- ibn az-Zuhri dan ‘Urwah dari Aisyah r.anha katanya: Wahyu pertama yang mula diterima Rasulullah s.a.w. ialah yang benar dalam masa tidur. Beliau tidak melihat satu mimpi melainkan yang dengan jelas seperti serlahan cahaya pagi. Kemudian beliau diberi kegemaran bersemadi di tempat yang sunyi. Beliau bersemadi di Gua Hira.

Di sanalah beliau beribadat beberapa malam lamanya sebelum beliau pulang kepada keluarganya dan berbekal untuk itu, kemudian beliau pulang lagi kepada Khadijah dan berbekal pula seperti itu sehingga datanglah kebenaran semasa beliau berada dalam Gua Hira. Ia didatangi malaikat Jibril yang berkata kepada beliau: “Bacalah!” Jawab beliau: “Aku tidak pandai membaca.” Dan beliau bercerita: Lalu malaikat itu datang memelukku hingga membuat aku penat, kemudian ia melepaskan aku sambil berkata: “Bacalah!” Aku menjawab “Aku tidak pandai membaca.” Lalu ia memelukku kali yang kedua sehingga membuat aku penat kemudian ia melepaskan aku sambil berkata: “Bacalah” Aku menjawab: “Aku tidak pandai membaca”. Lalu ia memelukku
kali yang ketiga kemudian ia membaca ayat di atas (surah al-'Alaq :ayat 1-5).

Begitulah serba ringkas kisah wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. melalui perantaraan malaikat Jibril. Ia adalah peristiwa yang agung dari sudut hakikatnya, dari sudut
maknanya dan dari sudut kesan-kesannya kepada kehidupan seluruh manusia. Hakikatnya ialah Allah Yang Maha Agung, Maha Berkuasa dan Yang Maha Besar yang memiliki seluruh alam ini telah sudi dan berkenan memandang kepada makhluk-Nya yang bernama manusia yang duduk
tersorok di satu sudut alam buana, yang namanya hampir-hampir tidak dilihat bumi, lalu Ia muliakannya dengan memilih salah seorang dari makhluk ini untuk menjadi pusat pancaran nur-Nya, khazanah hikmat-Nya, tempat turun kalam-Nya yang suci dan pelaksana perencanaan-perencanaan yang dikehendaki-Nya terhadap makhluk manusia ini.

Rujukan : Tafsir Fi Dzilalil Quran

Hidupkan Roh Iqra

Didikan Allah kepada manusia tidak sewajarnya dibiarkan terkubur begitu sahaja. Malah sangat perlu untuk diambil sebagai pendekatan untuk membangunkan modal insan di dunia dan akhirat. Sekiranya roh iqra' dihidupkan dan dihembuskan ke dalam setiap jiwa individu, dengan sendirinya akan membunuh kepalsuan yang disebarkan oleh bahan bacaan picisan yang tidak langsung mendatangkan manfaat kepada manusia. Apa yang berlaku pada hari ini alQuran hanyalah dibaca tanpa mengetahui terjemahan apalagi tafsirannya. Malah, apa yang lagi menyedihkan masih ramai yang tidak tahu membacanya! Barangkali alQuran entah ada atau tidak dalam rumah mereka.

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah wajar dihidupkan kembali dan disemarakkan kembali. Dengan roh iqra' masyarakat jahiliah dipulihkan dan dengan itu juga jahiliah moden ini dirawat. Kata Imam Ahmad ; "Usaha pembaikan umat kemudian mesti meneladani kaedah pembaikan umat yang terdahulu." Mana mungkin umat sekarang akan pulih selagimana mereka membelakangkan wahyu Allah yang diturunkan? Rasulullah diutuskan dalam masyarakat jahiliah, dengan roh alQuran lah semuanya berubah menjadi sebuah tamadun manusia yang tidak ada tolok bandingnya. Perubahan dan keadaan ini bukan sahaja diakui oleh orang2 Islam, malah turut diakui oleh orang-orang Barat.

Sebagai contoh, Robert Briffault di dalam bukunya The Making of Humanity memuji umat Islam dengan berkata, " Renaissance atau era kebangkitan sebenarnya sudah berlaku di tangan orang2 Arab dan Islam Sepanyol dan bukannya di tangan org2 Eropah. Sepanyol dan bukan Itali peledak kepada kebangkitan di Eropah."

George Bernard Shaw di dalam Genuine Islam mengatakan, "Islam adalam satu-satunya agama yang mempunyai kemampuan bagi menyesuaikan ajarannya dengan suasana kehidupan yang berubah-ubah dan mampu menjadi tarikan di setiap zaman."

Malah, di dalam senarai orang2 yang sangat terpengaruh di dunia, Nabi Muhammad s.a.w. merupakan tempat pertama dan teratas berbanding dengan yang lain. Hal ini diakui oleh orang2 bukan Islam sendiri. Sekiranya umat Islam sekarang tahu akan sejarah umat Islam dan mengamalkan Islam yang sebenarnya yang dibawa oleh Nabi Muhammad, nescaya akan terbentuklah kembali tamadun Islam yang telah dilenyapkan hari demi hari.

Kejadian Manusia

Buku " For Men of Understanding" = Bagi Golongan yang Berpemikiran yang dikarang oleh Harun Yahya, benar2 membuka mindaku akan kehebatan Maha Pencipta. Ada yang tidak pernah terfikir pun sebelum ini dirungkaikan satu persatu. Semuanya di datangkan dengan dalil2 al-Quran yang jelas menunjukkan kemukjizatan al-Quran yang diturunkan lebih 1400 dahulu.

Seperti yang disebut dalam Surah al-'Alaq di atas ayat yang ke-2 ,“Ia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.” Dalam Tafsir Fi Dzilalil Quran, segumpal darah yang dimaksudkan yakni dari titik darah beku yang melekat di dalam rahim. Iaitu dari asal mula yang sangat kecil dan bersahaja, kemudian dengan limpah kemurahan-Nya dan dengan qudrat kuasa-Nya. Allah mengangkatkan
segumpal darah itu kepada darjat manusia yang mengerti dan boleh belajar:
( اْقرَْأ وَرَبُّكَ الَْأكْرَمُ ( 3
“Bacalah dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah.”

Dalam surah Fatir ayat 11 yang bermaksud, " Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari mani, kemudian Kami menjadikan kamu berpasangan. Seorang perempuan tidak akan mengandung dan melahirkan kandungannya melainkan di dalam pengetahuan Allah. Dan tidak akan dipanjangkan umur orang yang panjang umurnya dan tidak akan dikurangi umurnya melainkan tertulis di dalam Kitab. Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah amat mudah." Subhanallah!

Penemuan di dalam sains diketahui dan dirungkaikan satu- persatu yang mana semuanya telah termaktub di dalam al-Quran yang agung. Apa yang ditemui di dalam sains telah disebutkan Allah dan disampaikan Nabi lebih satu abad yang lalu! Hebatnya mukjizat al-Quran. Dan ini telah mendangkal penipuan evolusi yang mengatakan alam dan makhluk dijadikan secara kebetulah. Maha Suci Allah!!


Wallahua'lam..Semoga ia bermanfaat bagi golongan yang memikirkan..Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita akan dikembalikan..Tetapkan matlamat, jalan menuju Allah..

.::Alkisah Tudung Labuh::.  

Posted by: ~princess Islam~ in

Tudung Labuh - Pengalaman menarik Fatimah Syarha menerusi kolum Remaja Majalah Solusi isu no 21

Bacaan ini bukanlah menggalakkan kita menjadi judgmental. Diharap dapat baca dengan hati yang terbuka. Semoga bacaan ini dapat "put things into perspective" buat kita dalam menilai dan memahami kewajipan menutup aurat sebagaimana yang dituntut agama, insyaAllah.

Corat-Coret Kisah Tudung Labuh…

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.

Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.

Yang Tertutup Itu Indah

Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.

Tanah dan Hujan?  

Posted by: ~princess Islam~ in

TINTAKU..

Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran dirafa'kan kehadrat Allah swt kerna izin dan limpah kurniaNya dapat kita bersua kembali untuk berkongsi serba sedikit pengalaman dan coretan perjalanan sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Alhamdulillah, kerna kita masih lagi diberi peluang untuk terus menghirup oksigen yang tidak pernah putus-putus sejak dari kita dilahirkan. Dan yang paling utama dan pertama, kita masih diberi peluang untuk mengecap nikmat iman dan Islam dan sama2 kita doakan agar dapat terus-menerus mengecap nikmat ini sehingga akhir hayat kita. Amin ya rabbal 'alamin. Hari dan tika ini, bumi IPG Kampus Tuanku Bainun dibasahi dan disimbahi hujan setelah beberapa hari dipancar dengan sinaran cahaya matahari. Alhamdulillah, moga-moga hujan yang turun ini adalah rahmat dari Allah swt. Mendengar rintik-rintik hujan dan melihat titisan hujan yang membasahi bumi menerusi jendela, aku teringat dengan pembacaan Majalah Solusi tempoh hari yang mana membicarakan tentang tanah dan hujan. Untuk itu, ingin kukongsikan bersama dengan sahabat2 sekalian tentang satu hadis Rasulullah saw.
_____________________________________________________________________________________


IBARAT TANAH DAN HUJAN..


Dalam sebuah hadis sahih (Riwayat Al-Bukhari no. 79 dan Muslim no. 6093), Rasulullah saw telah membuat satu perumpamaan tentang hidayah dan ilmu yang dibawa oleh Baginda untuk seluruh alam diibaratkan seperti 'hujan'. Manakala hati-hati manusia pula Baginda ibaratkan seperti "tanah". Ya, memang tepat dengan perbandingan tersebut, kerna memang asal kita daripada tanah dan akan dikembalikan jua di dalam tanah. Secara ringkasnya :


  • Hidayah dan Ilmu- hujan yang lebat dan turun menimpa bumi
  • Manusia - tanah di bumi

Untuk keterangan yang lebih jelas, Rasulullah saw lalu membahagikan pula tanah-tanah bumi yang menerima hujan ini kepada 3 jenis.


:: PERTAMA ::


Maksud hadis:


"Di antara tanah itu ada yang suci dan baik boleh menerima air, lalu tumbuhlah di atasnya rumput-rumput dan tumbuhan yang banyak."


Tahukah anda siapakah golongan ini? Mereka ialah manusia yang menerima ilmu dan hidayah daripada Allah swt lalu beramal dan memanfaatkannya untuk diri mereka. Malah kesan ilmu dan hidayah itu bukan sahaja untuk diri, malah mereka memanfaatkan juga orang lain yang berada di sekeliling mereka dengan mengajarkannya dan menyebarkannya.



:: KEDUA ::


Maksud hadis:


"Di antara tanah itu pula ada yang tidak menumbuhkan tanaman, ia menakung air, maka dengannya Allah swt memberikan manfaat kepada orang ramai, mereka minum, memberi minum dan juga bercucuk tanam."


Inilah golongan yang juga baik. Walaupun mungkin mereka tidak begitu mengambil faedah daripadanya atau ilmu itu tidak begitu berkesan pada diri mereka, namun mereka berjaya menyebarkannya dan menyampaikannya kepada orang lain. Maka dengan itu ramai manusia yang mengambil faedah malah lebih baik daripada dirinya. Namun tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya kelebihan menyampaikan ilmu tetap menambakan sahamnya di akhirat.



:: KETIGA ::


Maksud hadis:


"Dan hujan itu menimpa pula satu jenis tanah lagi, ia hanyalah tanah gersang, tidak mampu menakung air dan tidak pula menumbuhkan rumput."


Mampukah kita berkata apa-apa lagi tentang golongan ketiga ini? Sudahlah tidak mahu menerima ilmu, dirinya juga tidak memberikan apa-apa manfaat kepada orang lain.


Di akhir bicara, Baginda saw telah membuat kesimpulan jenis tanah-tanah tersebut. Yakni maksud hadis yang berbunyi:


"Begitulah diibaratkan seseorang yang memahami agama Allah dan dirinya mendapat kebaikan daripada apa yang Allah berikan kepadaku. Dia mengetahui lalu mengajarnya kepada yang lain. Begitu jugalah diibaratkan pula seseorang yang tidak mempedulikan apa yang diberikan kepadaku dan tidak menerima petunjuk Allah yang diutuskan aku dengannya."

_____________________________________________________________________________________


Ayuh sama-sama kita fikirkan. Tanah jenis apakah kita ini? Adakah selama ini kita benar-benar memanfaatkan "hujan" itu? Hadis ini sudah cukup jelas untuk kita renung dan sama2 fikirkan. Mudah-mudahan kita ditetapkan iman dan tetap dipandu hidayah dan ilmu untuk mengharungi bahtera akhirat yang bakal kita tempuhi.


Rujukan : Majalah Solusi Isu 18