Dedikasi Buat...  

Posted by: ~princess Islam~ in

Bismillahirrahmanirrahim..

INTRO..
Alhamdulillah, pertama dan selamanya pujian dirafakan kehadrat Allah taala kerna dengan izinnya dapat lagi mengirup udaranya di samping menikmati nikmat Iman dan Islam,alhamdulillah..

Semalam, telah berlangsungnya Kem Halawatul Islam di Surau al-Ghazali..Sepanjang program ni berlangsung, saya dikehendaki mengendalikan ldk mengikut kumpulan usrah..trima kasih kepada adik2 usrah (nawal,izzah,wani,farhana,thirah,ami,fatin) yang telah memberi kerjasama yang mantap..dan akak dapat rasakan kemanisan ukhuwwah antara kita..
pujian dari akak, tahniah atas lakonan adik2,memang berbakat!:)
dan terima kasih atas perkongsian yang sangat bermakna..:)


PESAN AKAK......

Ingatlah dimana sekalipun kita berada..
Di waktu mana pun..
Hiasilah peribadimu..
Jagalah dan perbaikilah akhlakmu..
Ingat Allah selalu..
Setiap dugaan dan ujian yang berlaku ada hikmahnya..
Dan setiap nikmat yang kita kecapi pun ada hikmahnya..
Ingat..
"Nafsu mengatakan wanita cantik atas dasar rupanya, akal mengatakan wanita cantik atas dasar ilmu dan kepandaiannya, dan hati mengatakan wanita cantik atas dasar akhlaknya."

Firman Allah di dalam Surah Hud ayat 23 yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan dan merendahkan diri kepada Tuhan, mereka itu penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.."

Di dalam hadis Qudsi Allah berfirman;
"Wahai anak Adam, luangkan masamu beribadat, maka hatimu akan senang, Aku tutup pintu miskin, dan sekiranya engkau berdegil, Aku akan buat hatimu serabut, dan pintu miskin akan terbuka.."
(au kama qal..)

Coretan serba ringkas..dedikasi buat adik2 usrah tersayang..:)


CIRI-CIRI PENDAKWAH RABBANI  

Posted by: ~princess Islam~ in


Menjadi seorang pendakwah adalah merupakan satu kewajipan kepada setiap individu. Kewajipan tidak hanya terhad kepada orang-orang tertentu bahkan ia meliputi seluruh tenaga yang terdapat di dalam masyarakat Islam. Apa yang membezakannya ialah peranan mengikut bidang kemahiran masing-masing.


Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran, 110)

Namun perlulah diingatkan pendakwah rabbani tidak akan lahir secara automatik dan sendirinya dalam gerakan Islam. Ia perlulah dibentuk dan melalui pelbagai marhalah. Namun pembentukan ini bukanlah satu proses yang mutlak. Ada yang dipilih untuk dibentuk namun gagal lahir sebagai jundi dakwah dan ada yang tidak dibentuk, namun ternyata keikhlasan bekerja untuk Islam ternyata melebihi orang lain.

Ciri-ciri Pendakwah Rabbani

1. Mempunyai Ilmu Yang Mantap

Ilmu yang mantap adalah merupakan bekalan ang perlu ada kepada setiap tenaga dakwah. Berapa banyak keaiban yang diterima oleh Islam hanya kerana pendakwah-pendakwah yang bergerak di atas namannya ternyata tidak mempunyai kemantapan ilmu lalu mendatangkan krisis keyakinan kepada masyarakat. Pepatah Arab ada menyebut : “Orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak akan dapat memberikan apa-apa”.

2. Mengutamakan kepentingan Islam.

Sabda Rasulullah SAW: mafhumnya; “Berkisarlah untuk kepentingan Islam di mana kepentingannya berkisar.”

Baginda mengingatkan lagi dengan sabda yang bermaksud; “Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat hal ehwal orang Islam yang lain maka ia bukanlah dari golongan mereka (Islam).”

Rasulullah SAW menjelaskan secara langsung dengan sabda yang bermaksud; “Engkau memegang pos-pos penting daripada pos-pos Islam, maka (awas) jangan sampai musuh dapat lolos daripada penjagaanmu.”

3. Menyertai Jemaah

Apabila kita mengaku Muslim, kita harus bekerja untuk Islam. Kita patut bekerja secara berjama’ah, bekerjasama dengan para pendakwah lain yang menyeru kepada Allah SWT, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran. Kita harus bekerja keras untuk mewujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang melaksanakan Islam dalam pemerintahan.

Firman Allah SWT: maksudnya; “Kami akan perkuatkan tenagamu dengan saudaramu.” (Al-Qashash: 35)


Firman Allah SWT lagi: bermaksud; “Bertolong-menolonglah kamu dalam urusan kebaikan dan jangan kamu bertolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah: 2)

Sabda Rasulullah SAW: maksudnya; “Hendaklah kamu bersama-sama Jama’ah al-Muslimin dan kepimpinan mereka.” (Shahih Bukhari, Kitab Fitnah)

4. Tabah dan Sabar Dalam Menghadapi Ujian

Ketabahan dan istiqomah inilah yang merupakan kunci terakhir untuk mendapat kejayaan di sisi Allah SWT. Betapa ramai orang ang ingin lahir sebagai pendakwah namun akhirnya kelayuan sebelum sempat untuk berkembang. Allah SWT berfirman yang bermaksud : Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (Surah Ali-Imran, 142)

Oleh :
Ustaz Ahmad Fadhli b. Shaari

Berzikirlah 24 Jam  

Posted by: ~princess Islam~ in


Firman Allah swt di dalam Surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud :
" Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat(pula) kepadamu dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku."

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
" Perumpamaan orang yang menyebut (nama) Tuhannya dengan orang yang tidak menyebut (nama) Tuhannya umpama orang yang hidup dengan orang yang mati."
(Sahih al-Bukhari serta Fath al-Bari (11/208)

Banyak lagi ayat2 al-Quran dan hadis Rasulullah dalam menyatakan kelebihan berzikir atau mengingati Allah dalam hidup kita. Ini kerana sesunnguhnya kita dituntut untuk mengingati Allah 24 jam. Sesetengah orang mungkin akan bertanya,"Bagaimana mungkin ada masa untuk berzikir selama 24 jam? Mana ada masa untuk bekerja, tidur dan lain-lain?" Tanggapan sebegini amat biasa didengari dalam masyarakat kita. Namun, pada hakikatnya, zikir sebenarnya dilaksanakan dalam 3 bentuk :

  • Zikir qauli - zikir yang paling khusus iaitu berkaitan sebutan. Inilah yang sering difahami orang.
  • Zikir qalbi - zikir dlm hati di mana hati sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan sama ada bekerja dsb lebih2 lagi dalam solat.
  • Zikir fi'li - zikir perbuatan spt mulut terkumat-kamit, jari mengira buah tasbih, anggota tubuh menunjukkan perbuatan baik spt kaki berjalan ke masjid dsb.

Dengan itu, dapatlah kita fahami seluruh 24 jam dalam kehidupan kita seharian, kita hendaklah sentiasa berada dalam keadaan berzikir kepada Allah.

Tidak syak lagi, sesungguhnya beramal dengan amalan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. sangat besar pahalanya. Sebaik2 zikir atau amalan ialah beramal dengan amalan yang diambil dari kitab Allah dan amalan yang diajar Rasulullah s.a.w. Selain mempunyai mempunyai fadilat yang besar, kita juga dapat beramal dan menghidupkan kembali sunnah Rasulullah s.a.w. yang banyak dilupakan.

Nabi s.a.w. pernah keluar pada suatu hari dari rumah isterinya Juwairiah r.ha. untuk solat Subuh dan Juwairiah sedang berada di tempat solatnya. Sewaktu Nabi s.a.w. kembali, matahari sudah mula tinggi (dhuha) dan beliau masih berada di tempat itu. Apabila Nabi s.a.w. melihatnya Baginda bersabda yang bermaksud, "Awak masih berada di tempat yang saya lihat sewaktu keluar tadi?""Ya." jawab isterinya. Sabdanya lagi : "Sesungguhnya saya telah membaca selepas meninggalkan awak empat kalimah sebanyak 3 kali, yang jika ditimbang dengan bacaan yang awak baca pada hari ini, timbangannya lebih berat lagi."(Sahih Muslim no.2726)


Harga : RM 4.00

Harga : RM 17.00

Di dalam buku kecil ini, penyusun telah memilih bacaan doa atau zikir daripada hadis-hadis yang sahih, hasan atau yang mempunyai sanad yang baik yang boleh beramal dengannya berdasarkan hukum yang diputuskan oleh ulama hadis.

Berkata Abdullah bin Mas'ud r.a.:
القصد في السنة خير من الإجتهاد في البدعة
Maksudnya : "Beramal dengan al-sunnah walaupun sedikit lebih baik daripada beramal banyak dengan amalan yang tidak bersumberkan al-Sunnah."
(Riwayat al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra 3/19)

p/s : Selamat beramal! Saya sudah pun mendapatkannya,anda bila lagi?Boleh dapatkan di mana-mana kedai buku berdekatan. Jom sama2 kita menghidupkan kembali sunnah Rasulullah saw yang semakin pudar.


Polemik Nama ALLAH  

Posted by: ~princess Islam~ in

By : Maulana 'Asri Yusuf

Tak Mahu Hipokrit, Akhirnya Bertambah Dosa  

Posted by: ~princess Islam~ in


SOALAN

Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.

Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).

Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.

Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.

Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.

Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.

Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...

- Diera -

JAWAPAN

Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-

1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh.

Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-

Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.

Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.

Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.

Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.

Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.

Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!

Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.

Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.

Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.

Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.

Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.

Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.

Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.

Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum

Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung.

Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.

Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.

Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.

Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'

Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.

Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha

Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.

Sabda Nabi :-

خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..

Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.

Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.

Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.

Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.

Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama, saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :

Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.

Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.

Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan iaitu seksi.

Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.

Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.

4) BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH?

Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.

Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.

Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.

Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.


Dipetik dari :

www.zaharuddin.net


Mengenali Tokoh Ilmuwan Islam Terulung  

Posted by: ~princess Islam~ in

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah ialah nama yang tidak asing lagi di sisi para pendukung dan pencinta al-Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, mengingatkan sumbangannya yang begitu besar di dalam meneruskan kesinambungan usaha memelihara dan mendakwahkan al-Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada umat manusia serta berusaha gigih memeliharanya dari sebarang unsur luar yang menghakis ketulenannya.

Siapakah Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah ?

Nama penuh beliau ialah Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Ab al-Salam al-Harani, merupakan seorang Imam Mujtahid yang dilahirkan pada tahun 661H dan meninggal dunia pada tahun 728H di Damsyik. Beliau terkenal sebagai seorang yang bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu-ilmu agama sehingga akhirnya beliau telah menjadi seorang yang amat pakar di dalam bidang keilmuan seperti bidang usul, hadis, tafsir, fiqh, bahasa, syari’at, mantik, falsafah, perbandingan agama dan pelbagai lagi. Beliau juga begitu terkenal sebagai seorang ulamak Islam yang banyak berkarya sehingga mencapai beratus-ratus judul (diterangkan bahawa beliau memiliki lebih kurang 300 buah karya) dan kitab beliau yang paling terkenal adalah bertajuk Majmu’ al-Fatwa.

Pandangan tokoh-tokoh Islam ke atas Syaikhul Islam.

Setelah kita mengetahui serba sedikit mengenai latar belakang Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah, maka ada baiknya kita melihat pula apakah pandangan para imam muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih ke atas Syaikhul Islam.

· Pertama: Pujian al-Hafiz al-Zahabi rahimahullah (w.748H), seorang tokoh agung dalam Ilmu Hadis - yang juga merupakan murid Ibn Taimiyyah – menyenaraikan gurunya itu di dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz yang dikhaskan untuk para hafiz dalam hadis. Beliau memuji Ibn Taimiyyah dengan pujian yang sangat hebat juga menggelarnya dengan gelaran Syaikhul Islam, antara lain katanya:

"Ibn Taimiyyah: Seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim), al-hafiz (dalam hadis), seorang yang kritis, mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau adalah syaikhul Islam….dari lautan ilmu, dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh penyokong dan penentang." [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3); dalam edisi e-book, Hafiz Firdaus Abdullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2005), ms. 115].

· Kedua: Pujian al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani rahimahullah (w.852H) dalam kitabnya al-Durar al-Kaminah menceritakan mengenaikan fitnah yang dikenakan kepada Ibn Taimiyah, sehingga beliau menyebut:

"Ibn Taimiyyah terus dipenjara sehingga kembali ke rahmat Allah. Kepada Allah juga kembali segala urusan. Dia memerhatikan mereka yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada. Hari kematian Ibn Taimiyyah itu menjadi bukti, manusia memenuhi jalan menyambut jenazahnya, orang Islam datang dari serata pelusuk. Mereka mengambil keberkatan dengan menghadiri jenazahnya, pada hari yang ditegakkan bukti, mereka semua ingin memegang kerandanya sehingga patah kayunya …… Ibn Taimiyyah imam kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan ulama, pewaris para anbiya." Sehinggalah beliau juga menggelarnya sebagai “Syeikhul Islam”. [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3), ms. 116].

· Ketiga: Pujian al-Imam Sayuti rahimahullah (w.911H) juga menyenaraikan Ibn Taimiyyah dalam senarai para huffaz hadis (para hafiz hadis), iaitu dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz. al-Imam Sayuti yang bermazhab Syafi’i itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut:

"Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syeikhul Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini …… salah seorang tokoh terbilang …… memberi perhatian dalam bidang hadis, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadis (kecacatan tersembunyi hadis) juga fiqh hadis, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan." [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3), ms. 116-117].

· Keempat: Pujian al-Imam al-Subki rahimahullah (w.756H), iaitu seorang ahli tafsir dan ahli dalam medan debat terkemuka bermazhab Syafi'e. Beliau berkata mengenai Ibn Taimiyyah semasa menjawab surat gurunya, al-Hafiz al-Zahabi yang memarahinya di atas perkataannya terhadap Ibn Taimiyyah sebelum ini dimana dia berkata:

"Adapun apa yang tuan katakan mengenai al-Syaikh Taqiyuddin (Ibn Taimiyyah), maka hamba ini (saya) telah pun pasti ketinggian kemampuannya, limpahan dan keluasan lautan ilmunya dalam naql (al-Qur'an dan al-Sunnah) dan akal, kehebatan dan kebijaksanaan dan ijtihadnya, juga dia mencapai kesemuanya itu lebih dari yang disifatkan. Hamba ini (saya) sentiasa akan mengakuinya. Nilainnya (Ibn Taimiyyah) pada diri ini lebih besar dan mulia dari segalanya. Dengan apa yang telah Allah himpunkan padanya dari sifat zuhud, warak, kuat beragama, membela dan menegakkan agama kebenaran semata-mata kerana Allah. Dia melalui perjalanan ulamak salaf dengan sepenuhnya, sangat asing orang sepertinya pada zaman ini bahkan di mana-mana zaman pun." [Dinukil daripada buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor, 2005), ms. 123].

Demikianlah beberapa pujian dan pengiktirafan yang diberikan oleh para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terhadap Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Sungguhpun demikian pujian dan pengiktirafan yang telah diberikan oleh para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ke atas beliau rahimahullah, namun di sebalik itu semua masih ada lagi segolongan manusia yang dilihat begitu tegar di dalam memerangi dakwah Syaikhul Islam.

Oleh : Mohd Hairi bin Nonchi

Begitulah adat perjuangan, fitnah dan tohmahan menjadi tabiat dalam memperjuangkan yang haq..semoga kita mencontohi perjuangan dan mengambil iktibar dari ketokohan Syeikhul Islam, insyaAllah..

Berbanggalah Menjadi Hamba ALLAH!  

Posted by: ~princess Islam~ in

Alhamdulillah..tika ini aku masih lagi diberi kesempatan oleh Allah untuk menghirup udara segar secara percuma ini. dan tika ini aku baharu sahaja melepaskan kekusutan yang bersarang di mindaku. Ku sedar, ini semua adalah ujian dari Allah. Masakan orang beriman itu mengaku beriman sedangkan dia tidak diuji? Ku capai al-Quran di hadapanku lalu ku memerhatikan ayat ini.

Firman Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud, "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "kami telah beriman", dan mereka tidak diuji?".

Tiada siapa pun yang mampu menolak ayat ini. Menitis air mataku. Subhanallah! Ayat-ayat al-Quran seolah2 memujukku. Diteruskan lagi sehingga ayat yang ketujuh seolah menusuk kalbuku.

Firman Allah dalam al-ankabut ayat 7," Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, pasti akan Kami hapus kesalahan2nya dan mereka pasti akan Kami beri balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.."

Nah!inilah janji Allah. Wahai diri, akuilah hakikat yang tersurat, semuanya ada hikmahnya. Tika ini juga, saya terjumpa satu artikel yang amat bermanfaat untuk dikongsi bersama yang mana telah ditulis oleh Ustaz Zaharuddin ,"Berbangga Menjadi Hamba Allah.."Ya!Saya berbangga menjadi hamba ALLAH!! Selamat membaca!

BERBANGGA MENJADI HAMBA ALLAH

Saya masih ingat ketika pertama kali membaca rantaian sanad yang menghubungkan diri saya dengan kitab “Sunan Al-Tirmidzi”. Saya begitu gembira melihat nama-nama ulama yang tercantum di dalamnya sambil membayangkan kebesaran jiwa dan ketinggian ilmu mereka. Salah satu dari nama itu sangat saya kenali, iaitu Abdul Wahab bin Ahmad Al-Sya’rani.

Beliau seorang ulama Mesir yang dilahirkan pada tahun 898 H dan wafat pada tahun 973 H. Beliau sempat berjumpa dengan Imam ahli hadis di Mesir, Jalaluddin Al-Suyuthi, dan belajar dengan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Zakaria Al-Anshari, Nashiruddin Al-Laqani, Syihabuddin Al-Ramli dan lain-lain. Singkat cerita, Asy Sya’rani kemudian terkenal sebagai seorang ulama Mesir yang memiliki ramai murid. Bukan hanya itu, tokoh-tokoh besar kerajaan juga sering berkunjung ke tempatnya.

Saya teringat suatu kisah. Suatu hari Perdana Menteri Ali Pasya berkata kepadanya, “Besok aku akan menghadap sultan. Jika engkau mempunyai hajat yang hendak disampaikan kepadanya, beritahukan kami.” Apakah jawapan al-Sya’rani? Sebagai ulama yang bangga dengan kedudukannya di sisi Allah, beliau hanya tersenyum lalu berkata, “Alhamdulillah, kami tidak memerlukan apa-apa daripada sultan. Namun jika engkau mempunyai hajat yang hendak disampaikan kepada Allah, beritahukan kami.”

Mendengar itu, Ali Pasya menunduk beberapa lama. Dia lalu berkata, “Astaghfirullah. Kalian sangat bergantung kepada Allah, sementara kami sangat bergantung kepada hamba-Nya. Kalian yang lebih benar. Sebab Allah memiliki semua kerajaan di langit dan di bumi.”

Tingkatan Golongan Faqih

Kebanyakan manusia pada hari ini begitu buta mata hatinya sehingga mereka melihat kelebihan duniawi satu-satunya ukuran kemuliaan dan kebanggaan. Harta dan pangkat menentukan status sosial; semakin banyak hartanya dan semakin tinggi pangkatnya, maka semakin tinggi kedudukannya di dalam pergaulan masyarakat.

Semua orang tahu dan yakin bahawa semua kenikmatan duniawi ini tidak abadi, oleh sebab itu tidak layaklah ia menjadi ukuran kemuliaan. Sebab mengapa berbangga dengan kemuliaan yang hanya beberapa saat sahaja dan diikuti dengan kehinaan selama-lamanya? Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Pada hari kiamat nanti, akan didatangkan seseorang penduduk dunia yang paling berbahagia. Dia akan dilalukan ke dalam Neraka beberapa saat, dan ditanyakan kepadanya, “Pernahkah engkau merasakan kenikmatan walau hanya sedikit?” Ia menjawab, “Tidak pernah wahai tuhan.” Demikian hadis riwayat Muslim dari Syaddad bin Aus.

“Laluan” sesaat di neraka ternyata dapat melupakan semua kenikmatan yang dirasakan sepanjang hidupnya di dunia.

Atas dasar ini, orang yang terbuka mata hatinya tidak pernah bangga dengan kelebihan duniawi yang dimilikinya. Dan jika melihat orang lain yang memiliki kelebihan, dia tidak akan rasa kagum apalagi iri hati hendak menyamainya. Dia selalu teringat ucapan Al-Hasan Al-Basri (w. 110 H) katanya, “Jika seseorang berusaha mengalahkanmu dalam urusan dunia, maka kalahkanlah dia dalam urusan akhirat.” (Riwayat Imam Ahmad dalam kitab Al-Zuhd ).

Imam al-Sya’rani melakukan itu dengan ucapan tegas, namun masih ada sopannya kepada pejabat tertinggi kerajaan. Ketika orang ini tertipu dengan membanggakan kedudukannya di sisi manusia, al-Sya’rani menyandarkan dirinya dengan membanggakan kedudukannya di sisi Allah. “Alhamdulillah, kami tidak memerlukan apa-apa dari sultan. Namun jika engkau mempunyai hajat yang hendak disampaikan kepada Allah, beritahu kami.”

Kata-kata ini hanya lahir dari hati yang benar-benar faqih. Sebab sebagaimana makna asalnya, fiqh bererti memahami bentuk dan roh ajaran agama dengan mendalam. Abu Hamid al-Ghazali dalam Ihya berkata, “Darjat paling rendah seorang faqih (pakar fiqh) ialah dia meyakini bahawa akhirat lebih baik daripada dunia.”

Semakin mendalam pengetahuannya tentang agama, semakin hatinya menyandari kebesaran Allah s.w.t. sehingga melahirkan rasa hormat, takut dan cinta kepada-Nya. Mujahid bin Jabr (w. 101 H) berkata, “Faqih (ahli fiqah) adalah orang yang takut kepada Allah s.w.t.” Imam al-Hasan al-Basri (w. 110 H) juga berkata, “Faqih ialah orang yang zuhud terhadap dunia, selalu mengharapkan akhirat, menyedari dosa-dosanya dan sentiasa beribadah kepada Allah s.w.t.” Semua ini diriwayatkan Imam Ahmad dalam kitab Al-Zuhd.

Indahnya menjadi Hamba Allah

Semakin hatinya mengenal Allah, semakin ia bangga menjadi hamba-Nya. Sebab Allah adalah tuhan pemilik alam semesta dan seisinya. Pangkat-Nya berada jauh di atas semua pangkat. Dan menjadi hamba-Nya, apalagi diakui sebagai hamba yang berbakti, merupakan kehormatan besar bahkan kedudukan paling berpengaruh di semesta raya wujud ini.

Itu rahsianya mengapa Allah menyebut Muhammad s.a.w. sebagai hamba-Nya dalam ayat yang bercerita tentang perjalanan Isra’ dan Mi’raj. “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al- Masjidil Haram ke al-Masjidil Aqsha.” (Surah Al-Isra: 1).

Itu juga sebabnya mengapa Allah memanggil kaum mukminin kesayangan-Nya dengan sebutan hamba-hamba-Ku. “Wahai hamba-hamba-Ku, tiada kekhawatiran terhadapmu pada hari ini dan tidak pula kamu bersedih hati.” (Surah Al-Zukhruf: 68).

Pakar Tafsir terkenal dari Tunisia Syeikh M. Thahir bin ‘Asyur berkata: “Allah sering kali menyebut kaum mukmin dengan gelaran hamba yang di-mudhaf-kan kepada-Nya untuk menunjukkan kehormatan dan hampir.”

Aduhai betapa indah menjadi hamba Allah s.w.t. lalu mendengar panggilan Ilahi, “wahai hamba-Ku”. Keindahan itu melahirkan kepuasan dan kenikmatan di dalam hati melebihi kenikmatan apa pun yang ada di muka bumi ini.

Bangga Menjadi Muslim

Kenikmatan dan kebahagiaan yang dirasai seorang faqih jauh lebih tinggi daripada kenikmatan yang dirasai manusia mana pun. Ibrahim bin Adham pernah berkata: “Andai raja-raja dan putera-putera mahkota mengetahui kebahagiaan dan kenikmatan hidup kami, nescaya mereka akan berusaha merebutnya walau harus dengan pedang.”

Maka tidak mungkin seorang faqih seperti ini melihat tokoh-tokoh dunia dengan mata kagum, lalu mencari berbagai cara untuk mendekatkan diri kepadanya walau harus dengan menjual idealisme dan kesucian agamanya. Abdullah bin ‘Amr (seorang sahabat Nabi s.a.w.) berkata: “Barang siapa yang membaca al-Quran, namun ia masih merasa bahawa orang lain memiliki sesuatu yang lebih berharga daripada apa yang dimilikinya, maka ia telah menghina sesuatu yang Allah hormati dan menghormati sesuatu yang Allah hinakan.” Demikian seperti yang diriwayatkan Ibn Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd.

Sebaliknya, kita selalu menyaksikan jiwa besar para ulama yang selalu menjaga kehormatan diri dan agamanya. Bagi mereka, nikmat Islam satu-satunya kebanggaan yang patut disyukuri. Ibn Abi Syaibah di al-Musannaf dan Al-Hakim di al-Mustadrak meriwayatkan ucapan Umar bin Al-Khattab yang sangat faqih: “Allah telah memuliakan kita dengan Islam. Jika kita cuba memuliakan diri dengan selainnya, Allah akan menghinakan kita.”

Hammad bin Zaid bercerita, “Ayyub pernah bersahabat dengan Yazid bin Al-Walid. Ketika Yazid menjadi khalifah, Ayyub berdoa: Ya Allah, buatlah dia melupakan diriku.” Kisah ini dapat ditemui dalam kitab Tazkiratul Huffaz karya Al-Dzahabi. Ayyub yang dimaksud di sini ialah Ayyub bin Abi Tamimah al-Sakhtiani, seorang ulama tabiin pakar hadis dan fiqah di Basrah. Beliau salah seorang guru hadis Imam Malik; Al-Bukhari dan Muslim yang banyak sekali meriwayatkan hadis melalui salurannya.

Dalam kitab Manaqib Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn al-Jauzi meriwayatkan dari Said bin Ya’qub katanya, “Ahmad bin Hanbal pernah menulis surat kepadaku (isinya): bismillahirrahmanirrahim. Dari Ahmad untuk Ya’qub. Amma ba’du. Dunia ini penyakit, penguasa penyakit, dan ulama adalah doktornya. Jika engkau melihat seorang doktor menarik penyakit kepada dirinya, maka jauhilah ia.Wassalam.”

Jiwa Pendakwah

Setiap al-da’i ilallah (pendakwah yang mengajak manusia kembali kepada Allah) wajib bersifat faqih dan meyakini kebaikan dakwahnya. Alasannya sederhana; seorang penjual harus meyakini kelebihan barang jualannya. Jika tidak begitu, dia tidak mungkin menjadi penjual yang berjaya. Wallahu a’lam.