IBARAT TANAH DAN HUJAN..
Dalam sebuah hadis sahih (Riwayat Al-Bukhari no. 79 dan Muslim no. 6093), Rasulullah saw telah membuat satu perumpamaan tentang hidayah dan ilmu yang dibawa oleh Baginda untuk seluruh alam diibaratkan seperti 'hujan'. Manakala hati-hati manusia pula Baginda ibaratkan seperti "tanah". Ya, memang tepat dengan perbandingan tersebut, kerna memang asal kita daripada tanah dan akan dikembalikan jua di dalam tanah. Secara ringkasnya :
- Hidayah dan Ilmu- hujan yang lebat dan turun menimpa bumi
- Manusia - tanah di bumi
Untuk keterangan yang lebih jelas, Rasulullah saw lalu membahagikan pula tanah-tanah bumi yang menerima hujan ini kepada 3 jenis.
:: PERTAMA ::
Maksud hadis:
"Di antara tanah itu ada yang suci dan baik boleh menerima air, lalu tumbuhlah di atasnya rumput-rumput dan tumbuhan yang banyak."
Tahukah anda siapakah golongan ini? Mereka ialah manusia yang menerima ilmu dan hidayah daripada Allah swt lalu beramal dan memanfaatkannya untuk diri mereka. Malah kesan ilmu dan hidayah itu bukan sahaja untuk diri, malah mereka memanfaatkan juga orang lain yang berada di sekeliling mereka dengan mengajarkannya dan menyebarkannya.
:: KEDUA ::
Maksud hadis:
"Di antara tanah itu pula ada yang tidak menumbuhkan tanaman, ia menakung air, maka dengannya Allah swt memberikan manfaat kepada orang ramai, mereka minum, memberi minum dan juga bercucuk tanam."
Inilah golongan yang juga baik. Walaupun mungkin mereka tidak begitu mengambil faedah daripadanya atau ilmu itu tidak begitu berkesan pada diri mereka, namun mereka berjaya menyebarkannya dan menyampaikannya kepada orang lain. Maka dengan itu ramai manusia yang mengambil faedah malah lebih baik daripada dirinya. Namun tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya kelebihan menyampaikan ilmu tetap menambakan sahamnya di akhirat.
:: KETIGA ::
Maksud hadis:
"Dan hujan itu menimpa pula satu jenis tanah lagi, ia hanyalah tanah gersang, tidak mampu menakung air dan tidak pula menumbuhkan rumput."
Mampukah kita berkata apa-apa lagi tentang golongan ketiga ini? Sudahlah tidak mahu menerima ilmu, dirinya juga tidak memberikan apa-apa manfaat kepada orang lain.
Di akhir bicara, Baginda saw telah membuat kesimpulan jenis tanah-tanah tersebut. Yakni maksud hadis yang berbunyi:
"Begitulah diibaratkan seseorang yang memahami agama Allah dan dirinya mendapat kebaikan daripada apa yang Allah berikan kepadaku. Dia mengetahui lalu mengajarnya kepada yang lain. Begitu jugalah diibaratkan pula seseorang yang tidak mempedulikan apa yang diberikan kepadaku dan tidak menerima petunjuk Allah yang diutuskan aku dengannya."
_____________________________________________________________________________________
Ayuh sama-sama kita fikirkan. Tanah jenis apakah kita ini? Adakah selama ini kita benar-benar memanfaatkan "hujan" itu? Hadis ini sudah cukup jelas untuk kita renung dan sama2 fikirkan. Mudah-mudahan kita ditetapkan iman dan tetap dipandu hidayah dan ilmu untuk mengharungi bahtera akhirat yang bakal kita tempuhi.
Rujukan : Majalah Solusi Isu 18
Jazakillah ukhti, perkongsian ini membuka fikrah insan fitri tentang hakikat perkaitan antara manusia dan alam.....tanah yang tidak dibasahi hujan akn kering dan muncul rekahan, iman akan lemah andai tidak dibasahi zikir dan kecintaan pada Sang Pencipta....jazakillah
Ye, manusia dan alam tidak mungkin akan dipisahkan kerna hakikat manusia pun dijadikan daripada alam (tanah)..Sungguh cantik perkaitan yg Rasulullah berikan..bnyk lgi perumpaan dlm hadis Rasulullah yg mengaitkan manusia dgn alam dan tumbuh-tumbuhan..Subhanallah!!Semuanya yg diciptakan Allah ada ibrahnya yg tersendiri dlm kehidupan manusia..Tidak Allah jadikan sesuatu dgn sia2..So,Terpulang kpd manusia ingin mengmbil iktibar atau tidak..tepuk dada, tanya iman..Semoga bermanfaat kpd yg membaca..selamat beramal..=)