B.I.G. K.U.A.K. H.U.L.U. (Siri 1)  

Posted by: ~princess Islam~

Dekat dihatiku

Hatiku kembali tersentuh
Membisik untuk pulang ke sana
Di balik pergunungan itu
Di laman kedamaian kita

Biarpun ku jauh di sini
Namun tak pernah lupakanmu
Itulah sebagai tandanya
Hiasan sanubari ini
Hanya kau yang amat ku sayang

Andai kau dengar lagu ini
Walau di mana dikau berada
Yang hidup atau yang telah tiada
Mengertilah wahai saudaraku
Dikaulah yang amat ku rindu
Yang ku sayang buat selamanya

Tapi apalah daya diriku
Tak terucap lagi di bibir
Walau air mata mengalir
Ku tabahkan demi mereka
Kerna ku tahu ku kan pulang jua

Subhanallah..Alhamdulillah..Allahu akbar!

Sayunya hati bila mendengar lagu ini. Teringat kepada keluarga angkat yang baru semalam berpisah dengan mereka, Berpisah di mata, tapi bukan di hati. Kami semua cukup seronok bila dikhabarkan kami akan ke Pengkalan Hulu di hulu negeri Perak bagi menyelesaikan komponen wajib setiap semester iaitu program Bina Insan Guru.

Program BIG yang dijalankan pada kali ini agak berlainan daripada sebelum ini kerana kali inilah 1st time saya akan menerima keluarga angkat. Suasana Kampung Kuak Hulu agak berbeza dengan kebanyakan kampong. Suasananya subur dengan nilai-nilai Islam membuatkan diriku terasa berat untuk meninggalkannya. Masjid di sana aktif dengan aktiviti dan kuliah agama, masjid penuh dengan jemaah, dan ramai dalam kalangan mereka merupakan kaki masjid. Penduduknya juga sangat ramah dan sangat memuliakan tetamu.

Di sana, saya bersama 2 sahabat saya (Nur Syazwani & Nurfarhan) telah menerima keluarga angkat dari keluarga Encik Redzuan dan Pn Hafizah. Tanpa segan silu, kami membiasakan diri untuk memanggil Abah dan Ummi memandangkan semua anak-anaknya memanggil dengan panggilan sedemikian walaupun pada anggapan kami Abah dan Ummi terlalu muda untuk panggilan tersebut. Walaupun sempat kenal selama 2 hari, saya terasa seperti sudah lama kenal. Layanan yang diberikan kepada kami sangatlah istimewa. Bertuah dapat kenal keluarga ini yang agak sporting.

Hari pertama kami ke sana, kami sudah dihidang dengan bermacam-macam makanan sehinggakan kami tersenyum sesama sendiri. Bermula dari kami sampai jam 4.30 petang hinggalah jam 6.30 petang, mulut tidak berhenti mengunyah. Durian pelbagai versi kami makan, pulut durian, donut, dan macam-macamlah lagi! Apakan daya kami untuk menolaknya.

Haa! Yang ni my favourite. Durian kod 101.

Hari kedua ke sana kami banyak menghabiskan masa bersama mereka. Pagi-pagi lagi Abah membawa kami meronda sekitar Pengkalan Hulu. Kami bertiga sebenarnya dah merancang apa yang akan kami buat untuk berkhidmat, tetapi Abah dan Ummi lagi hebat! Mereka dah merancang sebelum kami lagi. Mahu atau tidak, kami ikut dengan hati yang gembira. Setibanya di rumah, kami menolong Ummi dan Mak Teh (kakak Abah) untuk sediakan hidangan tengah hari. Kata Abah, kita nak pergi berkelah. Ingatkan berkelah di rumah, berkelah di Lata Pelangi rupanya. Apa lagi, kami ikut je lah. Habis satu family ikut, Mak Long, Pak Teh, Mak Teh, Kak Chik, dan semua anak-anak mereka. Kehadiran mereka memeriahkan lagi ‘Family Day’ kami di Lata Pelangi. Layanan mereka membuatkan kami tidak merasa kekok.

Berkhidmat serba sedikit. Sebab sekitar rumah dah bersih!

Berkelah di Lata pelangi.

Sepulangnya kami dari Lata Pelangi, kata Abah, “Ok, siap-siap la, nanti kita ke Baling..” Kami bertiga berpandangan sesama sendiri, semuanya tersenyum, mengiyakan ajakan Abah. Lagi sekali Abah berkhidmat kepada kami. Kami ke Pekan Baling yang terletak lebih kurang 30 minit dari Pengkalan Hulu. Kami di bawa berjalan-jalan sekitar pekan Baling. Pulang sahaja dari Baling, jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang, kami kembali ke SK Kuak Hulu.


Di pekan Baling

Kami tidak akan pernah lupa kepada semua adik-adik kami, Along (Iqmal), Angah (Iqbal), Kakak(Ayuni), dan Adik (Iqram). Seronok melayan kerenah adik-adik walaupun mereka agak segan pada mulanya. InsyaAllah, kakak-kakak semua mendoakan Along bakal pilot, Angah bakal saintis, kakak bakal guru, dan Adik bakal Imam Muda. Tidak kering gusi bila dengar cerita dari Abah dan Ummi tentang kerenah adik-adik. Anak-anak Abah dan Ummi semuanya pandai-pandai, mendengar kata, dan sangat menjaga solat. Kami malu sendiri bila melihat telatah adik-adik walaupun dalam usia yang masih muda.

Along (bakal pilot)

Angah (bakal saintis) dan Adik (bakal Imam Muda)

Kakak (bakal pendidik bangsa)

Baru semalam Abah menghantar mesej, “Saintis menangis kakak-kakak semua dah balik..”

Alahai, sedihnya kakak-kakak di sini baca mesej tu. InsyaAllah, ada masa, panjang umur, kakak-kakak datang balik ke sana. Kenangan manis tiada pahit bersama kalian ku abadikan dalam memori hidupku. Semoga Allah memberkati Abah sekeluarga. Semoga berjumpa lagi, kalau bukan di dunia, di akhirat sana sama2 kita berkumpul semula, bagaikan sebuah keluarga kandung, InsyaAllah!

Pengalaman yang ditimba semuanya diharap memberi iktibar kepada seorang hamba. Bila dinilai dengan kekuasaan Allah, banyak benda yang boleh dipelajari dan disyukuri, subhanallah! Allah berkuasa menyatukan hati-hati yang tiada talian persaudaraan untuk berkasih saying atas dasar ukhuwwah Islamiyyah!

Inilah keluarga kami..

Sama-sama kita merenung satu hadis Rasulullah s.a.w. maksudnya :

“Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit”.

Orang mukmin akan menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri. Begitulah hebatnya kasih saying dalam Islam, berkasih sayang semata-mata keranaNya, kerna itulah satu-satunya CINTA yang HAKIKI!

This entry was posted on 11:57 AM . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

2 comments

Post a Comment