TIBB NABAWI : PETUNJUK RASULULLAH TENTANG BEKAM (HIJAMAH)  

Posted by: ~princess Islam~


“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih”

Alhamdulillah, dengan sedikit masa yang Allah kurniakan, saya dapat menyambung lagi minat dalam penulisan tentang perawatan Islam. Ayuh kita telusuri suatu petunjuk Rasulullah s.a.w tentang Madu, rawatan Bekam dan Kayy (besi panas) lewat sebuah hadis dalam Sahih al-Bukhari yang diriwayatkan oleh Said bin Jubair, daripada Ibnu Abbas, daripada Nabi Muhammad s.a.w. bahawa baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud :

“ Kesembuhan (rawatan) boleh diperoleh dengan tiga cara. Pertama, dengan meminum madu.Kedua, dengan pembekaman. Ketiga, dengan besi panas dan saya tidak menggalakkan umatku melakukan pengubatan dengan besi panas.”

Abu Abdillah al-Mazari menyatakan, “Penyakit kerana penyumbatan ada tiga jenis.Jenis yang menyerang darah, jenis kuning, jenis yang menyerang tenggorok dan jenis hitam. Jenis yang menyerang darah, caranya adalah dengan mengeluarkan darah yang tersumbat. Bila termasuk ketiga jenis lainnya, caranya adalah dengan meminum ubat pencahar (pelarut zat) yang berkhasiat untuk mengatasi setiap sumbatan yang komplikasi sekalipun.”

Dengan menyebut madu, seolah-olah Nabi Muhammad s.a.w. hendak mengisyaratkannya sebagai ubat pencahar. Bekam sebagai proses mengeluarkan darah kotor termasuk dalam sabda baginda ‘pembekaman’. Kalau semua cara tersebut tidak Berjaya, maka kaedah terakhir adalah kayy (pengubatan dengan besi panas). Nabi menyebut kayy sebagai kaedah rawatan dan pengubatan, kerana perubatan itu digunakan ketika kuatnya penyakit mengalahkan kekuatan ubat-ubat tersebut, sehingga ubat yang diminum tidak lagi bermanfaat.

Erti sabda Nabi,”Saya melarang pengubatan dengan besi panas,” dalam hadith lain,” Saya tidak suka melakukan pengubatan dengan besi panas,” adalah satu isyarat bahawa pengubatan besi panas hanya menjadi cara terakhir sahaja, yakni bila sudah terpaksa. Pengubatan dengan besi panas tidak boleh tergesa-gesa dilakukan kerana penyakit yang akan diatasi dengan besi panas kadangkala lebih ringan rasa sakitnya berbanding dengan rasa sakit kerana besi panas itu sendiri.

Sebahagian pakar perubatan menyatakan,”Sementara berbagai penyakit metabolisma kadangkala terjadi kerana ada unsur bendasing yang mengganggu, kadangkala pula tidak. Unsur bendasing yang mengganggu itu kadangkala bersifat panas, dingin, lembap atau kering, atau boleh juga merupakan kombinasi daripada beberapa sifat tersebut.”

Di antara empat keadaan tersebut, ada dua keadaan yang bersifat aktif, yakni panas dan dingin. Oleh sebab itu ucapan Nabi Muhammad s.a.w. secara langsung menyentuh kaedah terhadap penyakit yang disebabkan suhu sejuk dan panas, adalah sebagai contoh sahaja. Kalau penyakitnya panas, kita atasi dengan cara mengeluarkan benda-benda/ unsur-unsur buruk dari dalam tubuh serta mendinginkan metabolism.

Namun kalau penyakitnya dingin, boleh kita atasi dengan pemanasan. Cara itu boleh dilakukan dengan meminum madu. Selain itu juga perlu mengeluarkan zat dingin dari tubuh, maka madu juga bermanfaat untuk itu, kerana madu mengandungi zat pembasah dan perencah, pencahar, pelarut dan pelembut. Dengan semua zat itu, seluruh zat dingin berbahaya boleh dikeluarkan dengan cara mudah dan aman daripada berbagai bentuk ubat pelancar berat.

Sebahagian kajian pakar perubatan mendapati bahawa salah satu sebab madu mengandungi berbagai macam zat ubat adalah kerana lebah yang menghasilkan madu tersebut memakan berbagai jenis bunga dan buah-buahan. Maha Benar Allah s.w.t. yang telah menyatakan perkara ini menerusi firman-Nya yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah Engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan Yang didirikan oleh manusia.Kemudian makanlah dari Segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang Engkau sukai), serta Turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu Yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (dengan itu) akan keluarlah dari Dalam badannya minuman (madu) Yang berlainan warnanya, Yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada Yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang Yang mahu berfikir." (An-Nahl : 68-69)

Berkaitan dengan kayy pula, disebabkan setiap penyakit fizikal kadangkala bersifat tajam dan ada kalanya mudah berubah menjadi dingin atau panas, maka kayy pada asalnya tidak diperlukan. Namun kalau penyakit itu sudah bertahun-tahun, maka pengubatan terbaik setelah mengeluarkan materi atau zat-zat yang berbahaya dari tubuh adalah dengan rawatan kayy. Iaitu meletakkan besi panas pada tubuh bersesuaian.

Pada umumnya penyakit yang bertahun-tahun disebabkan unsur dingin yang kuat dan sudah bersarang lama dalam salah satu organ tubuh sehingga merosakkan metabolism dan mengubah substansinya menjadi mirip dengan unsur dingin dan akhirnya menjadi hiperaktif dalam organ berkenaan. Unsur itu mesti dikeluarkan dari dalam tubuh dengan kayy iaitu dengan cara melenyapkan unsur api yang terdapat dalam tubuh atau organ yang terbabit.

Dengan hadith ini kita mempelajari cara penyembuhan seluruh penyakit fizikal. Kita juga dapat mengambil iktibar penyembuhan penyakit sederhana melalui sabda baginda berbunyi; “Sesungguhnya demam itu berasal daripada wap Jahannam, maka dinginkanlah dengan air.”

Berkaitan bekam, ia disebutkan dalam Sunan Ibnu Majah dari hadith Jubarah bin al-Mugallis, namun dia adalah perawi yang lemah, daripada Kathir bin Salim diriwayatkan bahawa dia berkata, saya mendengar Anas Bin Malik berkata, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bermaksud :

“Setiap kali aku lalu sekumpulan orang pada malam al-Isra’ pasti mereka berkata, “Hai Muhammad, perintahkan umatmu untuk menggunakan bekam.”

Imam at-Tirmizi meriwayatkan dalam Jami’-nya dari hadith Ibnu Abbas dengan makna yang serupa bahawa baginda bersabda, “Hendaklah kamu menggunakan bekam,hai Muhammad.”

Dalam Sahih Bukhari dan Muslim diriwayatkan daripada Thawus, daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berbekam dan memberi upah kepada tukang bekamnya.

Dalam Sahih Bukhari dan Muslim diriwayatkan daripada Humaid at-Tawil daripada Anas bin Malik diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah dibekam oleh Abu Tayyib, maka Nabi memerintahkan agar dia diberi upah dua sha’ bahan makanan. Baginda menurunkan beban daribah bagi orang tersebut, lalu baginda berkata kepada para sahabat,”Sebaik-baik cara pengubatan bagi kamu sekalian adalah berbekam.

Dalam Jami’ at-Tirmizi diriwayatkan daripada Abbad bin Manshur bahawa dia berkata, saya pernah mendengar Ikrimah meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas memiliki tiga orang hamba sahaya yang pandai membekam. Dua di antaranya biasa mengambil upah daripada beliau dan keluarganya ketika membekam. Seorang lagi di antaranya biasa membantu beliau dan keluarga beliau dengan kepandaian bekamnya.

Ibnu Abbas pernah berkata, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Orang yang paling baik adalah seorang tukang bekam, kerana ia mengeluarkan darah, meringankan otot kaku dan mempertajamkan pandangan mata orang yang dibekamnya.”

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ketika pergi melakukan mikraj setiap kali melalui sekumpulan malaikat, pasti mereka akan berkata,” Hendaklah engkau membiasakan diri melakukan bekam.”

Ibnu Abbas menambahkan ,”Waktu terbaik untuk melakukan bekam adalah tarikh tujuh belas, Sembilan belas dan dua puluh satu. Rasulullah s.a.w. bersabda,”Sesungguhnya pengubatan terbaik bagi kamu sekalian adalah sa’uuth, ladud, bekam dan berjalan kaki.”

Rasulullah s.a.w. pernah melakukan ladud. Baginda pernah berkata, “Sesiapa yang boleh melakukan ladud terhadapku? Mereka diam sahaja. Yang tinggal di rumah ini hanyalah yang boleh melakukan ladud, yakni al-Abbas.” Hadis ini gharib dan diriwayatkan oleh Ibnu Majah.

Adapun faedah bekam di antaranya adalah membersihkan kulit tubuh secara lebih baik daripada mencuci darah. Cuci darah mungkin lebih baik untuk membersihkan bahagian tubuh yang lebih dalam. Bekam juga mengeluarkan darah kotor dari sekitar bawah kulit.

Bekam dan cuci darah amat berbeza-beza aplikasinya pada setiap zaman dan tempat, heterogensi, negeri-negeri panas dan masa –masa yang panas. Di negeri yang panas yang rata-rata darah penduduknya amat matang, bekam lebih baik dari cuci darah. Kerana darah mereka matang, lalu memancar dan mengalir ke bahagian atas tubuh bahagian dalamnya (bawah kulit), sehingga proses bekam dalam mengeluarkan darah kotor yang tidak boleh dikeluarkan dengan cara cuci darah. Oleh sebab itu bekam lebih baik pada anak-anak kecil berbanding cuci darah.

Pakar perubatan juga menyatakan bahawa di negeri-negeri panas bekam lebih bermanfaat daripada cuci darah. Namun disarankan untuk melakukannya pada pertengahan bulan atau sesudah pertengahan bulan, Secara umum, pada tarikh seperempat yang akhir setiap bulan, itulah yang terbaik. Pada awal bulan, darah belum bergolak dan belum melimpah. Namun pada akhir bulan, darah sudah menjadi tenang semula. Dan di pertengahan bulan atau sesudahnya beberapa hari, darah berada di puncak frekuensinya.

Penulis al-Qanun mengatakan, ‘Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar kita menggunakan bekam bukan di awal bulan, kerana komposisi unsur-unsur darah belum bergejolak pada ketika itu, juga bukan pada akhir bulan, kerana pergolakan darah sudah berhenti tetapi yang benar adalah di pertengahan bulan, ketika komposisi unsure-unsur darah dan frekuensinya meningkat tajam kerana cahaya bulan yang juga memuncak frekuensinya.

Diriwayatkan daripada Nabi Muhammad s.a.w. bersabda :

خيرما تداويتم به الحجامة

Ertinya : “Pengubatan yang terbaik bagi kamu sekalian adalah bekam dan cuci darah.”

Dalam riwayat lain disebutkan :

خير الدواء الحجامة والفصاد

Ertinya :”Ubat yang terbaik adalah bekam dan cuci darah.”

Sabda Nabi, :”Pengubatan yang terbaik bagi kamu sekalian adalah bekam” sebagai isyarat terhadap penduduk Hijaz dan negeri-negeri panas lainnya, kerana darah mereka cair, yakni bekam itu lebih sesuai bagi tubuh mereka sehingga mampu menarik keluar panas tubuh mereka dan berkumpul di sebalik kulit. Juga kerana liang-liang tubuh mereka lebar dan stamina tubuh mereka bagus. Namun cuci darah adalah berbahaya bagi mereka.

Bekam dapat memecah saluran darah tetapi tetap satu arah dan konsisten, diiringi dengan terbukanya sumbatan pembuluh darah, terutama pembuluh yang tidak banyak mengeluarkan darah. Meskipun cuci darah pada masing-masing organ tubuh tetap memberikan khasiat. Contohnya adalah cuci darah pada dada sangat berguna bagi mengubati hati dan limpa (paruh) yang panas, demikian juga berbagai peradangan yang berdarah, selain juga berguna mengubati radang paru-paru, juga bermanfaat untuk usus dan ginjal (buah pinggang) serta berbagai penyakit darah bermula dari lutut hinggalah ke pinggul.

Cuci darah pada kelopak mata sangat berguna bagi mengubati berbagai penyakit tubuh (yang berkaitan dengan darah, atau bila terjadi darah kotor pada tubuh). Cuci darah pada pipi juga sangat berguna bagi memperbaiki sakit limpa,asma, bronkus dan penyakit kepala bahagian depan.

Bekam pada bahagian bahu sangat berfaedah bagi mengubati penyakit bahu dan leher.Bekam di bahagian pelipis (kening) sangat berguna untuk mengubati penyakit kepala dengan berbagai jenisnya, seperti penyakit wajah, gigi, telinga, mata, hidung dan kerongkongan, yang disebabkan berlebihnya darah atau darah kotor atau kerana kedua-duanya.

Anas bin Malik menceritakan,”Dahulu Rasulullah s.a.w. biasa berbekam pada bahu dan dua pelipis (kening) baginda.”

Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim juga diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah melakukan bekam sebanyak tiga kali pada dua pelipis (kening) dan bahunya.

Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim juga diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah melakukan bekam ketika baginda sedang berihram pada bahagian kepala kerana penyakit pening yang sedang berjangkit pada diri baginda.

Dalam Sunan Ibnu Majah diriwayatkan daripada Ali bahawa Jibril pernah turun menemui Rasulullah s.a.w. untuk mengajarkan bekam pada dua pelipis dan bahu baginda.

Di dalam Sunan Abu Daud disebutkan daripada hadith Jabir bahawa Rasulullah s.a.w. pernah melakukan bekam pada pinggulnya kerana penyakit pegal-pegal (sengal) yang dideritainya.

Titik-titik bekam

Di kalangan pengamal perubatan berbeza pendapat tentang pembekaman pada satu titik di tengkuk yang disebut titik qamahduwah.

Abu Na’im dalam bukunya at-Tibbun Nabawi menyebut sebuah hadith marfu’, “Hendaklah kamu sekalian melakukan bekam di titik qamahduwah di bahagian tengkuk, kerana itu dapat menyembuhkan lima jenis penyakit, di antaranya adalah lepra (kusta).”

Pada hadith lain disebutkan.” Hendaklah kamu sekalian melakukan bekam di titik qamahduwah di bahagian tengkuk, kerana hal itu dapat menyembuhkan tujuh puluh dua jenis penyakit.”

Ada di kalangan ahli perubatan menganggap bahawa bekam di titik itu cukup baik, kerana boleh mengatasi rabun dan benjolan yang timbul di mata serta berbagai penyakit mata lainnya, juga berkhasiat mengatasi sakit pada belakang alis dan pelupuk mata.

Dikisahkan bahawa Ahmad bin Hanbal pernah berkeinginan melakukan bekam. Beliau melakukannya pada dua sisi tengkuknya, namun tidak menyentuh titik qamahduwah. Di antara pakar perubatan yang tidak menyukainya adalah penulis al-Qanun. Beliau berkata, “Bekam pada titik itu dapat menimbulkan penyakit lupa, sebagaimana yang dinyatakan penghulu kita, Rasulullah Muhammad s.a.w. bahawa sesungguhnya bahagian belakang kepala itu adalah letak kemampuan menghafal. Bekam dapat melenyapkan kemampuan itu.” Demikianlah ulasan beliau.

Namun pakar yang lain membantah bahawa hadith itu tidak sahih. Kalaupun hadith itu sahih, maka bekam hanya membahayakan bahagian belakang kepala bila digunakan tidak pada ketika yang diperlukan. Namun kalau digunakan ketika organ itu kelebihan darah, maka secara perubatan dan mengikut ajaran syariat itu sangatlah bermanfaat.

Diriwayatkan dengan sahih bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri pernah melakukan bekam pada beberapa titik di belakang kepalanya sesuai dengan keperluan. Baginda juga melakukan bekam di bahagian tubuh lain sesuai mengikut keperluan.

Bekam di bahagian bawah dagu sangat berguna bagi mengatasi penyakit gigi, penyakit wajah dan tekak, bahkan juga boleh membersihkan darah kepala dan tapak tangan, bila memang dilakukan secara benar.

Bekam pada bahagian tapak kaki boleh menyamai fungsinya dengan cuci darah pada urat shaafin, yakni urat besar di bahagian mata kaki, boleh mengatasi penyakit koreng (luka lama yang bernanah) di peha dan betis, dan penyakit gatal-gatal pada biji kemaluan.

Bekam pada bahagian bawah dada juga berguna bagi mengatasi bisul di peha bahkan juga penyakit kudis dan jerawat, penyakit buasir, penyakit gajah dan gatal punggung.

Penyembuhan melalui rawatan bekam

Arahan Nabi Tentang Waktu Berbekam

Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dalam Jami’-nya daripada hadith Ibnu Abbas secara marfu’:

ان خير ما تحتجمون فيه يوم سابع عشرة أو تاسع عشرة ويوم احدى وعشرون

Ertinya :

“Sesungguhnya waktu terbaik untuk melakukan bekam adalah pada tarikh 17,19 dan 21 setiap bulannya.”

Terdapat riwayat serupa dengan hadith di atas, iaitu hadith yang diriwayatkan daripada Anas r.a. yang bermaksud :”Rasulullah biasa melakukan pembekaman pada pelipis dan najunya. Baginda biasa melakukannya pada tarikh 17,19 atau 21.”

Dalam Sunan Ibnu Majah daripada Anas r.a. diriwayatkan secara marfu’ bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

من أراد الحجمة فاليتحر سبعة عشر أو تسعة عشر أو احدى وعشرين ولا يتبيغ بأحدكم الدم فيقتله

Ertinya : “Barangsiapa ingin berbekam, hendaklah mencari tarikh 17, 19 dan 21. Jangan sampai mengalami ketidakstabilan darah, kerana hal itu boleh mematikan.”

Di dalam Sunan Abu Daud, dari hadith Abu Hurairah r.a. disebutkan secara marfu’, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

من احتجم لسبع عشرة أو تسع عشرة أو احدى وعشرين كانت شفاء من كل داء

Ertinya :”Barangsiapa melakukan bekam pada tarikh 17,19 atau 21, maka akan sembuh dari setiap penyakit.”

Yakni setiap penyakit yang disebabkan oleh kelebihan darah.

Hadith ini sangat berkait rapat dengan kesepakatan ulama yang menyatakan bahawa proses pembekaman yang dilakukan pada separuh bulan terakhir hingga mendekati sepertiga terakhir setiap bulannya itu lebih baik daripada yang dilakukan pada awal atau akhir bulan .Namun bila pembekaman dilakukan sesuai dengan keperluan tubuh, tetap sahaja akan berguna, meski dilakukan di awal atau di akhir bulan.

Al-Khallal menyatakan, Ushmah bin Isham menceritakan, Ahmad bin Hanbal telah menceritakan sebuah riwayat kepada kami. Dia berkata, Abu Abdillah, Ahmad bin Hanbal biasa melakukan bekam pada ketika apapun terjadi ketidakstabilan pada aliran darahnya. Beliau melakukannya juga pada pukul berapa pun bila diperlukan.

Penulis al-Qanun menyatakan,” Waktu pembekaman (yang terbaik) dilakukan pada siang hari yakni lebih kurang pukul dua hingga pukul tiga petang. Sebaiknya hal itu dilakukan selesai mandi, kecuali bagi orang yang berdarah kuat, ia mestilah mandi air hangat terlebih dahulu, sehingga tubuhnya menjadi hangat, barulah dilakukan pembekaman.”

Kami tidak menyukai pembekaman pada ketika perut kenyang. Hal itu boleh menyebabkan timbulnya penyumbatan darah atau berbagai penyakit kritikal yang lain, terutama bila makanan yang dijamah terlalu berat dan tidak sihat.

Dalam satu athar disebutkan :

“Pembekaman yang dilakukan ketika haus, boleh membantu proses penyembuhan. Apabila dilakukan ketika kenyang, boleh menimbulkan penyakit. Bila dilakukan tarikh 17, juga boleh membantu penyembuhan.”

Pemilihan waktu-waktu tersebut untuk melakukan pembekaman hanyalah dilakukan sebagai tindakan preventif (berjaga-jaga) sahaja, untuk menjaga kesihatan dan menghindarkan bahaya. Adapun dalam soal rawatannya, bila sahaja diperlukan pembekaman boleh saja dilakukan.

Erti ucapan dalam riwayat di atas :”…jangan sampai menimbulkan ketidakstabilan darah,” adalah sebagai petunjuk ke atas tindakan preventif tersebut. Yakni agar darah itu tidak bergolak. Erti darah yang tidak stabil yakni aliran darah yang bergejolak. Namun sebagaimana yang diriwayatkan, Imam Ahmad melakukan pembekaman setiap bulan, bila darahnya mengalami pergolakan.

Hari yang dipilih dalam satu minggu, disebutkan oleh al-Khallal dalam al-Jami’, Harb bin Ismail menceritakan satu riwayat kepadaku. Dia berkata, aku pernah bertanya kepada Imam Ahmad,”Apakah ada hari tertentu di mana dilarang untuk berbekam?” Beliau menjawab, “Ada riwayat yang melarang berbekam pada hari Rabu dan Sabtu.” Riwayat yang sama disebutkan daripada al-Husain Bin Hissan bahawa dia pernah bertanya kepada Abu Abdillah tentang bekam, Bilakah bekam dilarang?” Beliau menjawab, Hari Sabtu dan hari Rabu. Ada juga yang mengatakan dilarang pada hari Jumaat.”

Al-Khallal meriwayatkan daripada Abu Salamah dan Abu Said al-Maqburi, daripada Abu Hurairah r.a. secara marfu’ :

“Barangsiapa yang melakukan bekam pada hari Rabu atau Sabtu, lalu ia diserang penyakit panau atau kusta, hendaklah ia menyalahkan dirinya sendiri.”

Al-Khallal juga meriwayatkan, Muhammad bin Ali bin Ja’far mengkhabarkan bahawa Ya’qub bin Bakhtan menceritakan satu riwayat kepada mereka. Dia berkata, Imam Ahmad pernah ditanya tentang berkapur dan berbekam pada hari Sabtu dan Rabu. Imam Ahmad menganggapnya sebagai sesuatu yang makruh. Beliau berkata, “Aku pernah mendengar seseorang melakukan bekam dan seumpamanya pada hari Rabu, lalu dia dijangkiti kusta.” Aku bertanya kepada beliau.”Apakah kerana dia mengabaikan hadith tersebut?” Beliau menjawab.”Ya”.

Dalam kitab al-Afrad oleh al-Daruqutni dari hadith Nafi’ bahawa dia menceritakan, Abdullah bin Umar pernah bercerita kepadaku, “Darahku bergejolak, tolong panggilkan seorang tukang bekam. Tetapi jangan anak kecil atau orang yang sudah tersangat tua. Ini kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :

الحجامة تزيد الحافظ حفظا والعاقل عقلا فاحتجموا على اسم الله تعالى ولا تحتجموا الخميس والجمعة والسبت والأحد واحتجموا الاءثنين وما كان من جذام ولا برص الا نزل يوم الاربعاء

Ertinya : “Bekam itu boleh menambah daya tahan tubuh, boleh menambah kemampuan berfikir. Lakukanlah bekam dengan menyebut nama Allah. Namun jangan kamu lakukan pada hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad. Lakukanlah pada hari Isnin. Lepra dan Kusta hanya turun pada hari Rabu.”

Al-Daruqutni berkata, Ziyad bin Yahya keseorangan dalam meriwayatkan hadith tersebut, dan Ayyub telah meriwayatkannya daripada Nafi’, dalam riwayat ini baginda bersabda :

“Berbekamlah kamu sekalian pada hari Isnin dan Selasa dan janganlah kamu berbekam pada hari Rabu.”

Abu Daud juga meriwayatkan dalam Sunan-nya dari hadith Abu Bakrah bahawa beliau tidak suka melakukan bekam pada hari Selasa. Beliau mengatakan,”Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Hari Selasa adalah hari berdarah. Ada satu waktu di hari itu di mana darah tidak boleh berhenti daripada mengalir.”

Semua hadith tersebut mengandungi galakan untuk berubat dan galakan untuk melakukan bekam. Namun semua itu dilakukan pada ketika diperlukan sahaja. Orang yang sedang berihram juga harus melakukan bekam. Kalau pembekaman itu mengharuskan sebahagian rambut dicukur, juga tidak apa-apa. Adapun pendapat yang mengatakan bahawa bila sampai mencukur sebahagian rambut harus membayar fidyah, maka hal itu perlu dikaji semula.

Tidak tepat bila dikatakan wajib membayar fidyah apabila orang berpuasa melakukan bekam. Kerana dalam Sahih al-Bukhari disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w juga pernah melakukan bekam pada ketika berpuasa. Namun apakah dengan demikian puasanya batal atau tidak? Itu masalah lain. Yang benar, bahawa puasanya tetap batal kerana berbekam. Di situ ada riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w. dan tidak ada dalil yang membantahnya. Yang ada hanyalah hadith yang menunjukkan bahawa baginda s.a.w. melakukan bekam ketika berpuasa.

Bagaimanapun, hal itu tidak menunjukkan bahawa puasa baginda tidak batal, kecuali bila memenuhi empat perkara. Pertama, bahawa puasa yang baginda lakukan adalah puasa wajib. Kedua, baginda dalam keadaan mukmin. Ketiga, ketika baginda tidak dalam keadaan sakit yang memerlukan bekam. Keempat, bahawa riwayat ini terjadi setelah riwayat,”Orang yang membekam dan dibekam sama-sama batal puasanya.”

Kalau keempat-empat hal ini dipenuhi, perbuatan Rasulullah s.a.w. itu boleh dijadikan dalil bahawa puasa itu tidak batal kerana bekam. Kalau tidak dipenuhi, boleh sahaja puasa yang baginda lakukan adalah puasa sunnah sehingga boleh dibatalkan kerana bekam dan sejenisnya. Atau boleh juga puasa Ramadhan, tetapi ketika bermusafir. Atau boleh jadi juga pada bulan Ramadhan ketika baginda bermukim, tetapi baginda melakukan bekam itu dalam keadaan terpaksa, seperti sakit yang mengharuskan baginda berbuka. Atau boleh jadi juga dilakukan di bulan Ramadhan dan tanpa adanya sebarang keperluan mendesak, namun hokum bekam di sini dijadikan sebagai hokum asal.

Lalu Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud,” Orang yang berbekam dan orang yang dibekam sama-sama batal puasanya,”adalah hokum transisi atau peralihan yang datang kemudian. Sehingga akhirnya itulah yang dijadikan ukuran hokumnya. Namun malangnya keempat hal tersebut tidak berlaku satu pun apalagi keempat-empatnya!

Hadith tersebut juga mengandungi hokum diharuskan membayar upah seorang doctor dan tenaga perubatan lainnya tanpa terlebih dahulu melakukan transaksi pengupahan. Boleh diberikan upah yang sepatutnya sesuai dengan kapasitinya, atau dengan harga yang disepakatinya.

Hadith ini juga mengandungi hokum dibolehkan bekerja sebagai tukang bekam. Meskipun orang yang merdeka tidak layak mengambil upah daripada pekerjaan itu, tetapi hukumnya tidak haram. Kerana Nabi Muhammad s.a.w. memberikan upah kepada tukang bekam, dan tidak melarang tukang bekam itu untuk mengambil upah tersebut. Kalau dikatakan bahawa upah itu adalah ‘wang kotor’, maka tidak ubahnya dengan sabda baginda yang menyatakan bawang merah dan bawang putih sebagai barang kotor. Namun keduanya tidak menjadi haram dengan adanya sabda tersebut.

Hadith ini juga menunjukkan bahawa seorang tuan boleh memberikan waktu kerja kepada hambanya sekadar kemampuannya. Si hamba boleh sahaja menggunakan waktu di luar waktu kerja tersebut untuk mencari kerja lain, dan tidak perlu dilarang. Kalau itu dilarang, bererti seluruh kerja si hamba itu menjadi hak tuannya. Bererti penentuan waktu kerja itu tidak ada gunanya. Padahal si tuan telah memberikan peluang kepada si hamba di luar waktu kerja untuk bekerja mencari nafkah sesuka hatinya.Wallahu a’lam.

Oleh : Ahmad Zakir Bin Mohd Amin

* Dapatkan rawatan bekam di mana-mana pusat rawatan HPA. Buat MUSLIMAT yg terdekat, anda boleh mendapatkan khidmat bekam di bilik 1/8 blok gemilang (khusus buat muslimat IPGKTB) dengan hanya RM5/1 cup.

" Bersama Membudayakan Tibbun Nabawi"

This entry was posted on 1:28 AM . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

2 comments

Post a Comment