Syarah Hadis : Memantapkan Keimanan Dengan Istiqamah  

Posted by: ~princess Islam~ in

Sumber : http://www.darulkautsar.net/


عن سفيان بن عبد الله الثَّقفي قال: قلت "يا رسول الله، قل لي في الإسلام قولاً لا أسأل عنه أحداً بعدك. قال: قل: آمنت بالله، ثم استقم" رواه مسلم.


Daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi berkata bahawasaya berkata: Wahai Rasulullah! Katakanlah kepadaku satu perkataan tentang Islam yang aku tidak perlu bertanya kepada orang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ucapkanlah ‘aku beriman dengan Allah’ kemudian beristiqamahlah." (hadis riwayat Muslim)

Sahabat ini bertanyakan kepada baginda satu ucapan yang menghimpunkan segala kebaikan dan faedah yang membawa kejayaan abadi. Rasulullah s.a.w. telah dikurniakan oleh Allah s.w.t kemampuan untuk menyampaikan ucapan yang ringkas tetapi mengandungi maksud yang padat. Baginda menasihatkannya tentang beriman dengan Allah s.w.t. yang merangkumi keseluruhan aqidah, amalan hati, penyerahan diri kepadaNya dengan perbuatan-perbuatan secara berterusan sampai akhir hayat yang dikatakan sebagai istiqamah. Hal ini selari dengan maksud al-Qur’an:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ


Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata; ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhid, maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka tidak pula akan berduka cita. (Al-Ahqaf: 13)


Keimanan dan istiqamah ini akan menatijahkan keselamatan dari segala bahaya dan memperolehi keredhaan Allah dengan memasuki syurga. Nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah jelas menyatakan bahawa iman meliputi aqidah yang benar, amalan hati seperti keinginan kepada kebaikan dan membenci kejahatan, perbuatan anggota fizikal seperti solat, zakat, haji, menolong orang lain dan sebagainya.


Hadis ini menegaskan makna ayat di atas iaitu keimanan hendaklah dinyatakan dengan ucapan dan juga tubuh badan. Iman tidak memadai dengan keyakinan di dalam hati tanpa diisytiharkan dan didakwahkan kepada orang lain. Begitu juga iman bukan sekadar ucapan yang bermain di bibir tetapi merangkumi amalan hati, lidah dan tubuh badan. Pada diri muslim ini zahirnya erti keimanan kepada Allah. Pernyataan sebagai beriman kepada Allah mestilah ditegaskan dan sentiasa diteguhkan.


Keteguhan dalam keimanan akan menentukan ketepatan dalam amalan-amalan iaitu dengan mengikhlaskan diri kepada Allah serta melakukannya menurut petunjuk Rasulullah s.a.w. Amalan-amalan ini akan menjadi lebih sempurna apabila dilakukan dengan penuh istiqamah dan keteguhan baik dalam apa jua kebaikan. Halangan-halangan yang berlaku kepada seseorang tidak akan menyekatnya dari terus mengabdikan diri kepada Allah baik ketika sakit atau sihat, senang atau susah, dalam perjalanan atau di tempat sendiri. Ringkasnya, kita katakan, istiqamah merupakan tanda kesempurnaan amalan mukmin yang merangkumi hati, ucapan dan perbuatan.


Istiqamah menuntut seseorang itu menerima segala ajaran Islam mengikut apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. tanpa mengurangkan, menambahkan sesuatu yang bukan daripadanya, meminda-minda atau menukar ganti dengan yang lain. Sebagaimana yang diperintah itulah yang dilaksanakan.

فَلِذَلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ


Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka wahai Muhammad kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka. (Al-Syura:15)


Dan sabda Rasulullah s.a.w.:

عن أبي هريرة. قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم "قاربوا وسددوا. واعلموا أنه لن ينجو أحد منكم بعمله" قالوا: يا رسول الله! ولا أنت؟ قال "ولا أنا. إلا أن يتغمدني الله برحمة منه وفضل".

Hendaklah kamu bersederhana dan tetap lurus beristiqamah dan ketahuilah seorangpun dari kalangan kamu tidak terselamat(dari neraka) dengan amalannya. Lalu sahabat bertanya: Anda juga wahai Rasulullah?, baginda menjawab: Ya, tidak juga saya melainkan Allah menyelimutiku dengan rahmat dan limpahan-Nya.(hadis riwayat Muslim)


Apa yang penting kita mesti berusaha sedaya usaha kita dalam keadaan mengharapkan rahmat dan kurniaan Allah s.w.t. kerana kita tidak ditugaskan dengan sesuatu hukum melainkan dalam batas kemampuan kita. Sifat berterusan patut dikekalkan dan itu lebih baik daripada amalan yang banyak kerana semangat yang yang berkobar-kobar yang kemudiannya sepi tanpa penerusan. Ibarat air paip yang kecil lebih baik daripada curahan air setangki yang kemudiannya kering tidak ada walaupun setitik.

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu (Al-Taghabun: 16)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ


Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (Ali `Imran: 106)


Ketaqwaan perlu diusahakan dan dikekalkan sehingga akhir usia kita sehinggalah kita meninggal dunia dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Kehidupan ini mesti ditempuhi dalam keadaan mengharapkan rahmat Allah dan rasa takut kepada-NYa. Tidak ada jalan lain untuk memperolehi husnul khatimah kecuali dengan meneguhkan keimanan dan beristiqamah di atas jalan hidayat dan taqwa selagi hayat dikandung badan.


(Syarah hadis disediakan oleh Ust Muhammad Hanief Awang Yahya untuk www.darulkautsar.com )

This entry was posted on 8:01 AM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments

Post a Comment