CIRI-CIRI PENDAKWAH RABBANI  

Posted by: ~princess Islam~ in


Menjadi seorang pendakwah adalah merupakan satu kewajipan kepada setiap individu. Kewajipan tidak hanya terhad kepada orang-orang tertentu bahkan ia meliputi seluruh tenaga yang terdapat di dalam masyarakat Islam. Apa yang membezakannya ialah peranan mengikut bidang kemahiran masing-masing.


Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran, 110)

Namun perlulah diingatkan pendakwah rabbani tidak akan lahir secara automatik dan sendirinya dalam gerakan Islam. Ia perlulah dibentuk dan melalui pelbagai marhalah. Namun pembentukan ini bukanlah satu proses yang mutlak. Ada yang dipilih untuk dibentuk namun gagal lahir sebagai jundi dakwah dan ada yang tidak dibentuk, namun ternyata keikhlasan bekerja untuk Islam ternyata melebihi orang lain.

Ciri-ciri Pendakwah Rabbani

1. Mempunyai Ilmu Yang Mantap

Ilmu yang mantap adalah merupakan bekalan ang perlu ada kepada setiap tenaga dakwah. Berapa banyak keaiban yang diterima oleh Islam hanya kerana pendakwah-pendakwah yang bergerak di atas namannya ternyata tidak mempunyai kemantapan ilmu lalu mendatangkan krisis keyakinan kepada masyarakat. Pepatah Arab ada menyebut : “Orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak akan dapat memberikan apa-apa”.

2. Mengutamakan kepentingan Islam.

Sabda Rasulullah SAW: mafhumnya; “Berkisarlah untuk kepentingan Islam di mana kepentingannya berkisar.”

Baginda mengingatkan lagi dengan sabda yang bermaksud; “Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat hal ehwal orang Islam yang lain maka ia bukanlah dari golongan mereka (Islam).”

Rasulullah SAW menjelaskan secara langsung dengan sabda yang bermaksud; “Engkau memegang pos-pos penting daripada pos-pos Islam, maka (awas) jangan sampai musuh dapat lolos daripada penjagaanmu.”

3. Menyertai Jemaah

Apabila kita mengaku Muslim, kita harus bekerja untuk Islam. Kita patut bekerja secara berjama’ah, bekerjasama dengan para pendakwah lain yang menyeru kepada Allah SWT, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran. Kita harus bekerja keras untuk mewujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang melaksanakan Islam dalam pemerintahan.

Firman Allah SWT: maksudnya; “Kami akan perkuatkan tenagamu dengan saudaramu.” (Al-Qashash: 35)


Firman Allah SWT lagi: bermaksud; “Bertolong-menolonglah kamu dalam urusan kebaikan dan jangan kamu bertolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah: 2)

Sabda Rasulullah SAW: maksudnya; “Hendaklah kamu bersama-sama Jama’ah al-Muslimin dan kepimpinan mereka.” (Shahih Bukhari, Kitab Fitnah)

4. Tabah dan Sabar Dalam Menghadapi Ujian

Ketabahan dan istiqomah inilah yang merupakan kunci terakhir untuk mendapat kejayaan di sisi Allah SWT. Betapa ramai orang ang ingin lahir sebagai pendakwah namun akhirnya kelayuan sebelum sempat untuk berkembang. Allah SWT berfirman yang bermaksud : Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (Surah Ali-Imran, 142)

Oleh :
Ustaz Ahmad Fadhli b. Shaari

This entry was posted on 6:06 AM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments

Post a Comment