Assalamualaikum wbt..Alhamdulillah, hari ini dapat juga saya meng'update' blog saya nie untuk memasukkan serba sedikit perkongsian ilmu yang saya cetak dari beberapa sumber..Hari ni, merupakan hari yg bertarikh 1 Rejab mengikut kalendar Hijrah..ramai dalam kalangan kita yang berlumba2 berpuasa dan juga berazam untuk mempertingkatkan amalan dalam bulan Rejab..Tapi, betulkah amalan2 yang dikhususkan dalam bulan Rejab ini benar2 diamalkan oleh Rasulullah?..Muncul pula fadilat2 berpuasa dalam bulan Rejab..so, untuk itu, saya tertarik untuk mem'post'kan artikel dan hadis2 yang berkaitan dengan disertakan dengan sumber-sumber yang saya petik dari www.darulkautsar.net..Diharapkan artikel ini memberi kita kesedaran dalam mengamalkan sesuatu ibadah dalam Islam..Moga dapat manfaat..
Bulan Rejab dan amalan yang dilakukan di dalamnya.
Bulan Rejab adalah antara salah satu bulan yang termasuk di dalam bulan-bulan yang suci. Dinamakan dengan Rejab bersempena dengan penghormatan terhadapnya di zaman jahiliyyah dengan tidak melakukan sebarang peperangan di dalam bulan ini. (Al-Razi, Mukhtar al-Sihah (Bierut: Muassah al-Risalah, 2001), m/s 215)
Telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan ini dengan pelbagai amalan. Persoalannya, adakah amalan-amalan tersebut dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima? Menyentuh tentang persoalan ikhlas, kemungkinan semua orang memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah Rasulullah saw. Justeru, menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk menyemak dan memastikan segala amalan yang dilakukannya itu bertepatan dengan syariat dan sama dengan cara yang dilakukan oleh Rasulullah saw.
Antara amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam dalam bulan Rejab ini yang tidak menepati sunnah Rasulullah saw ialah:
1) Menghidupkan malam ke-27, dan dinamakan dengan malam al-Isra’ wa al-Mi’raj.
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj merupakan salah satu daripada peristiwa besar dan penting di dalam sejarah Islam. Ianya bukti kepada kebesaran Allah swt dan kebenaran Nabi Muhamad saw serta risalah yang dibawa oleh Baginda. Tersebar luas di kalangan umat Islam bahawa peristiwa agung ini berlaku di malam dua puluh tujuh di bulan Rejab. Maka sebahagian besar umat Islam menyambut dan menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus dengan mengharapkan fadhilat-fadhilat tertentu. Tetapi pendapat ini adalah tidak tepat sepertimana yang disebut oleh Syeikh Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz: Dan malam ini yang dikatakan berlaku padanya peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj, tidak ada satu hadith sahih pun yang menyebut tentang tarikh peristiwa ini secara khusus, dan semua pendapat yang menyebut tentang tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah tidak thabit daripada Rasulullah saw di sisi ulamak hadith, dan kepada Allah jualah diserahkan segala hikmah disebalik kerahsiaan ini kepada manusia, dan walau sekiranya terdapat hadith sahih yang menjelaskan tentang perkara ini, tetap juga tidak dibenarkan umat Islam untuk menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus, serta tidak harus untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan kerana Rasulullah saw dan para sahabat r.a tidak pernah merayakannya dan tidak melakukan sebarang amalan yang khusus. Sekiranya menghidupkan atau merayakan malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan, semestinya Nabi saw akan menunjukan panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya, dan sekiranya amalan ini pernah dilakukan oleh Baginda saw, semestinya akan diketahui dan masyhur serta akan disampaikan oleh para sahabat ra kepada kita.
(Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni. Islam Madinah, m/s 7).
2) Solat Raghaib
Solat ini dilakukan berdasarkan kepada satu hadith maudhu’ (palsu) yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra, katanya: Telah bersabda Rasulullah saw: Rejab bulan Allah, Sya’ban bulan-ku, dan Ramadhan bulan umatku… dan tidak ada seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis yang pertama dalam bulan Rejab kemudian melakukan solat diantara waktu Maghrib dan ‘Atamah (waktu sepertiga awal malam), iaitu dilakukan pada malam Jumaat sebanyak dua belas rakaat, dibaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah sekali dan surah al-Qadr tiga kali, dan surah al-Ikhlas sebanyak dua belas kali, dan diselangi setiap dua rakaat dengan salam, dan apabila telah selesai, ia berselawat ke atasku sebanyak 70 kali, kemudian membaca: (Allahumma salli ‘ala Muhammadin Nabiy al-Ummiy wa ‘ala alihi), kemudian sujud dan membaca: (Subbhuhun Quddusun Rabbu al-Malaikatu wa al-Ruh) sebanyak 70 kali, kemudian ia angkat kepalanya dan kemudian membaca: (Rabbi ighfir warham watajawaj ‘amma ta’lamu innaka anta al-‘azizu al-a’dzam) sebanyak 70 kali, kemudian ia sujud kali kedua dan membaca seperti bacaan di sujud pertama, kemudian ia mohon kepada Allah segala hajatnya, nescaya akan ditunaikan. Bersabda Rasulullah saw lagi: Dan demi diriku yang di tangan-Nya, tidak ada seorang hamba pun, lelaki mahupun perempuan yang mengerjakan solat ini melainkan akan diampunkan Allah sekelian dosanya, walau pun seperti buih di lautan dan sebanyak dedaun di pohonan, dan ia akan dapat memberi syafaat pada hari Qiamat untuk 700 orang di kalangan kaum keluarganya…))
(Diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi, di dalam kitabnya al-Maudhu ‘at, jilid 2, m/s 124-125).
Seterusnya Ibn al-Jauzi menyebut: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan dusta ke atas Rasulullah saw, di dalam nya terdapat seorang perawi yang bernama Ibn Jahdham yang terkenal dengan dusta, dan aku mendengar guruku; Abd al-Wahab berkata: Para rawinya majhul (tidak dikenali) dan telah disemak tentang peribadi mereka ini di dalam semua kitab tetapi tidak ku temui tentang mereka).
Al-Imam al-Syaukaniy rh juga menyebut di dalam kitabnya: al-Fawaid al-Majmu ‘ah fi al-Ahadith al-Maudhu‘ah: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan perawinya adalah majhul (tidak dikenali), dan solat Raghaib yang masyhur ini telah sepakat para ulamak bahawa ia adalah maudhu’)).
Setelah kita mengetahui tentang kedudukan hadith yang menyebut tentang solat Raghaib ini, marilah kita melihat apakah pandangan para ulamak tentang hukum mengerjakan solat tersebut.
Imam al-Nawawi (w 676H) berkata: Sesungguhnya ia adalah bid ‘ah yang ditegah di antara bid ‘ah-bid ‘ah yang sesat, dan padanya terdapat pelbagai percanggahan yang jelas, Allah memerangi mereka yang mencipta dan mereka-reka solat ini, dan para imam telah menulis pelbagai penulisan yang bernilai dan bermutu yang menyebut tentang keburukannya, kesesatan orang yang mengerjakan sembahyang ini, dan yang melakukan bid ‘ah ini, serta dalil tentang kejelekan, kebatilan serta kesesatan orang yang mengamalkannya adalah terlalu banyak dan tidak terhitung.
(Al-Nawawi, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, (Beirut: Dar al-Ma’rifah, cetakan ke-7, 2000), jilid 8, m/s 262.
Al-Imam Ibn Taimiyah (w 728 H) juga menyanggah pendapat tentang kewujudan solat ini dengan berkata: Solat ini (Raghaib) ini tidak dilakukan oleh Rasulullah saw dan tidak pula oleh seorang pun dikalangan para sahabat Baginda, tabi‘in dan para imam kaum Muslimin, dan Nabi saw tidak menggalakkannya serta tidak terdapat seorang pun dikalangan ulamak salaf dan imam-imam yang menggalakannya dan mereka tidak pernah menyebut akan adanya keutamaan-keutamaan yang khusus bagi malam ini. Hadith-hadith yang menyebut mengenainya adalah dusta dan maudhu’ dengan sepakat ahli ilmu, maka oleh kerana itu ahli-ahli tahqiq mengatakan bahawa solat tersebut adalah makruh, bukan sunat)).
(Ibn Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 1/149)
Menurut al-Hafiz Ibn Rejab pula: Solat ini adalah bid‘ah di sisi jumhur (kebanyakan) ulamak, dan di antara mereka yang menyebut tentang perkara ini adalah di kalangan ulamak yang terkemudian seperti Abu Ismail al-Haruwi, Abu Bakar ibn al-Sam‘aniy, Abu al-Fadhl ibn Nasir, Abu al-Farj ibn al-Jawzi dan yang lain lagi, dan perkara ini tidak disebut oleh ulamak yang awal disebabkan ianya hanya muncul selepas daripada zaman mereka, dan yang terawal timbulnya perkara ini ialah selepas 400 tahun, maka sebab itulah golongan ulamak yang awal dan terdahulu tidak mengetahuinya dan tidak membincangkannya
(Ibn Rejab, Lataif al-Ma ‘arif, m/s 228)
Terdapat ramai lagi dikalangan ulamak yang membincangkan tentang hukum solat Raghaib ini. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada pendapat-pendapat mereka semuanya menafikan kewujudan solat ini dan menganggap ia sebagai salah satu bid ‘ah (ibadat yang direka-reka) yang amat ditegah dan tidak boleh mengamalkannya kerana ianya tidak thabit daripada Rasulullah saw mahupun para sahabat ra serta al-tabi’in..
3) Berpuasa penuh di bulan Rejab atau sebahagiannya dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khas.
Sesetengah daripada umat Islam akan berpuasa di bulan ini sepenuhnya atau sebahagianya dan mereka menganggap puasa ini mempunyai kelebihan dan fadhilat yang khusus. Tetapi malangnya, ganjaran atau kelebihan yang khas bagi mereka yang melakukan amalan ini tidak bersumberkan daripada al-Quran atau hadith-hadith yang sahih. Bahkan ianya diambil daripada hadith-hadith yang maudhu’ (palsu) dan yang lebih malang lagi hadith-hadith ini disebarkan oleh golongan-golongan agama atau ustaz-ustaz kepada masyarakat Islam samada di dalam kuliah-kuliah mereka atau melalui penulisan. Antara hadith-hadith maudhu’ yang tersebar luas mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini ialah:
1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku, maka barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga al-Firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Barangsiapa yang berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan dari azab kubur…."
Ibnu al-Jawzi telah menghukum hadith ini dengan maudhu’.
2. Ibnu Shahin meriwayatkan dari Ali r.a dari Harun bin ‘Antarah bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Sesungguhya bulan Rejab adalah bulan yang agung, maka barangsiapa yang berpuasa sehari dari bulan Rejab nescaya Allah menuliskan baginya puasa seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka Allah menuliskan baginya puasa dua ribu tahun. Siapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menulis baginya puasa tiga ribu tahun…"
Menurut Ibnu ‘Iraq: Hadith ini adalah maudhu’ tanpa syak lagi. Harun bin ‘Antarah pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadith.
3. Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Aku dibangkitkan sebagai Nabi pada 27 Rejab, maka barangsiapa yang berpuasa pada hari itu dan ia berdoa sewaktu berbuka puasa, maka puasa itu menjadi kifarat baginya selama sepuluh tahun".
Hadith ini telah disebut oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dari kitab Fawaid susunan Abu al-Hassan bin Shakhr dengan sanad yang batil.
Demikianlah antara contoh sebahagian kecil daripada hadith-hadith palsu yang tersebar di kalangan masyarakat Islam mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini. Masih terdapat banyak lagi hadith-hadith palsu lain mengenai fadhilat puasa di bulan ini yang sesetengah daripada fadhilat tersebut tidak dapat diterima oleh akal yang sejahtera, apatah lagi ianya bercangggah dengan kaedah dan prinsip asas agama.
Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam menyentuh perkara ini berkata: Tidak terdapat hadith-hadith yang boleh dijadikan hujah yang menyebut tentang fadhilat khusus bulan Rejab, atau fadhilat berpuasa (sepenuhnya) di bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus.
(Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab, m/s 23).
Sayyidina Umar al-Khattab melarang orang berpuasa dibulan ini dan beliau pernah memukul tangan orang yang tidak mahu makan disebabkan berpuasa di bulan Rejab.
(al-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-nahyu an al-Ibtida’, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, cet.1, 1988), m/s 63).
Al-Imam Al-Syawkaniy pula menyebut di dalam kitabnya al-Fawaid: ((Dalam satu risalahnya Ali bin Ibrahim al-‘Athar berkata: Apa yang diriwayatkan mengenai keutamaan puasa Rejab semuanya maudhu’ dan dhaif tidak mempunyai sumber. Katanya lagi: Abdullah al-Anshari tidak berpuasa Rejab dan beliau melarangnya dan berkata: Tidak ada satu hadith pun yang sahih dari Nabi saw mengenainya)).
(Al-Syawkaniy, al-Fawaid al-Majmu’ah, m/s 440).
Selain daripada amalan yang disebutkan ini, terdapat lagi amalan khusus lain yang disebarkan seperti amalan membaca apa yang disebut sebagai ‘Istighfar Rejab’. Disebutkan di antara fadhilatnya ialah sesiapa yang menulis atau menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab maka ia akan mendapat pahala sebanyak 80, 000 pahala para Nabi.
Terdapat juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khusus jika dilakukan pada bulan Rejab.
Demikianlah sebahagian amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di dalam bulan Rejab ini yang tidak bersumberkan dari Rasulullah saw. Persoalan yang mesti diulang fikirkan lagi adakah amalan-amalan tersebut akan diterima oleh Allah dan mendapat ganjarannya?. Atau ianya tidak mendapat apa-apa kecuali penat dan letih sahaja. Semoga Allah swt mengampunkan kesalahan yang dilakukan di atas kejahilan kita. Marilah kita bersama-sama untuk membenteraskan kegiatan penyebaran hadith-hadith palsu di kalangan umat Islam. Pastikan ibadah yang kita lakukan benar-benar menepati sunnah Rasulullah saw dan diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt.
Sumber: www.al-qayyim.net (dengan sedikit pindaan)