Ustaz Asri Ibrahim, vokalis kumpulan nasyid nombor satu negara, Rabbani, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 11 pagi tadi. Beliau yang sedang menjalani rakaman program Syahadah di RTM, rebah, dipercayai akibat serangan jantung. Ustaz Asri Ibrahim dibawa ke Hospital Pantai dan diisytiharkan meninggal dunia di situ.
Kehilangan Ustaz Asri Ibrahim amat dirasa kerana beliau dan nasyidnya di dalam kumpulan Nadamurni dan kemudiannya Rabbani, telah saya dampingi semenjak di usia kecil. Nasyidnya, zikirnya, doanya, malah tazkirah dan nasihatnya, adalah peneman diri dalam kehidupan dan perjuangan. Moga segalanya menjadi amal kebaikan peneman diri beliau dalam kembara pergi tak kembali itu.
Memetik ucapan Ustaz Asri Ibrahim di blog beliau:Semoga Allah melimpahkan seluas-luas rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya ke atas roh Almarhum, dan mengurniakan sabar dan tabah sebanyak-banyakkan buat seluruh ahli keluarga beliau.“Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku…“
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” [al-Baqarah 2: 156]
PERGI TAK KEMBALI
Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa
Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata
Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya
Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana
Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim
Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi
Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kanangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi
Setelah seluruh hidupku pada liku suka dukanya ditemani oleh buah tangan Ustaz Asri Ibrahim, mudah-mudahan buah tangan itu kini menjadi amal soleh yang menemani perjalanan al-Marhum di alam yang sepi dan sunyi itu.
Bilakah pula perjanjian itu ke atas diriku dan dirimu?
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Sedikit komentar dariku..
Seperti lirik nasyid di atas, kita datang dari Allah,kepadaNya jua kita dikembalikan..Kudoakan moga2 roh beliau ditempatkan dalam kalangan roh orang2 yang soleh..dan moga2 alam yang allahyarham alami sekarang menjadi tempat istirehat untuk beliau..terasa satu kehilangan dalam seni nasyid tanah air..atas perjuangannya dalam memartabatkan industri nasyid seterusnya meluaskan gerakan dakwah..allahummaghfirlahu warhamhu..amin..
Selepas ini,kita pula yang akan menyusul pergi..memang sudah menjadi satu kemestian..ya!kita harus pergi..cuma sedang menunggu masanya..namun, sejauh mana persediaan kita???