Seorang Pahlawan yang terkenal amat dihormati dan digeruni di dalam negaranya. Para serdadu bawahan amat menyanjungi dan takutkan akan beliau. Sesiapa sahaja yang mencabar beliau akan pasti dapat dikalahkannya. Maka pada satu hari ketika pahlawan hebat ini berjalan dengan lagak yang sombong dan angkuhnya di pasar, beliau telah ditegur oleh seorang rahib yang sedang duduk memerhatikan gelagat manusia di pasar.
Sang rahib tersenyum menyindir dan menegur.
"Wahai anak muda, adakah kau pahlawan yang sering disanjungi itu?".
Dengan pandangan yang menyindir melalui lirik anak matanya, beliau segera menjawab "Akulah yang mereka sanjungi itu".
Sang rahib masih lagi tersenyum dan berkata, "Sayang sekali, kau masih lemah dan tidak selayaknya disanjungi itu".
Pahlawan yang gagah itu pun naik berang dan mula mengangkat suaranya. "Jangan kau mencabar aku wahai rahib, sekali aku tumbuk, aku pasti semua tulang-tulangmu akan patah remuk!". Dengan perasaan marah, si pahlawan meninggalkan sang rahib.
Tidak lama selepas peristiwa tersebut, berlaku peperangan di antara negeri tersebut dengan negeri jiran yang berdekatan. Negeri itu telah kalah teruk, serdadu mereka ramai yang telah terbunuh. Negeri jiran berjaya menawan negeri berkenaan. Di dalam keadaan yang parah dan luka, sang pahlawan yang gagah itu terpaksa mencari perlindungan di hujung kota. Beliau segera terjumpakan sang rahib.
Sang rahib pun bertanya. "Apakah yang telah berlaku kepada dirimu wahai pahlawan yang gagah?". Sang pahlawan dengan malunya berkata, "Benar katamu, aku amat lemah dan tidak segagah yang aku sangkakan wahai rahib". Sang rahib memegang bahu si pahlawan dan berkata,"Kau tersilap, sekarang kau telah menjadi gagah dan menyedari kekuatanmu. Kekuatan seorang pahlawan ialah apabila dia menyedari kelemahan dirinya dan berusaha mengatasinya. Bangkitlah wahai pahlawan, binalah kekuatanmu dan kumpulkan serdadu yang baru untuk bangkit menyerang semula!".
Selepas setahun sang pahlawan berjaya mengumpulkan tenteranya semula dan menyerang negeri jiran tersebut. Mereka telah menang dan berjaya memerdekakan negara tersebut. Pahlawan itu sedar bahawa kekalahan negerinya sebelum itu hanyalah merupkan permulaan untuk kejayaan yang sebenar...
from : http://maszleemalik.blogspot.com/
Assalamualaikum,
Apa khabar tuan rumah? Bagus ceritanya.. alhamdulillah.
Saya datang ingin melebar luaskan kenalan blog. Kalau kelapangan jemputlah ke blog saya, boleh bertukar pendapat dan link Insya'Allah.
Klik>>
Kembara Sufi Mencari Aspirasi
Waalaikumsalam wbt..
trima kasih sudi ziarah ke blog saya..insyaAllah,ada kelapangan saya ke blog anda,berkongsi pendapat untuk manfaat bersama..